Adat hidup berumah tangga bukanlah bermakna kamu hanya mengahwini suami atau isteri sahaja. Tetapi seluruh keluarganya. Kedua ibu bapa, adik-beradiknya, iparnya yang juga biras kita, sepupu sepapatnya, pendek kata semualah! Bukan sahaja perlu pandai bawa diri, ringan tulang, ringan mulut bertanya tetapi yang penting tak perlu terlalu terdesak melakukan semua hanya kerana mahu diterima keluarga mentua. Chill dan relaks saja. Jadikan tiga kisah ini buat pengajaran buat kalian yang baru berumahtangga.


Kredit Foto: Google

Bersuamikan Anak Sulung, Faham-Faham Sajalah. Jangan Makan Hati Sudah…
Besar dan berat tanggungjawab jika bersuamikan anak sulung. Kerana menjadi kelaziman, ibu atau ayah banyak bergantung harap dengan anak sulung. Nak minta tolong atau apa-apa, mesti abang long yang jadi sasaran. Jadi sebagai isteri perlulah banyakkan bersabar dan faham ya. Tapi kalau dalam situasi ini:

“Abang kena ambil cuti minggu depan. Bawa mak check up di hospital. Kalau awak nak, apply cuti sekali kita balik sama. Kalau tak boleh abang balik seorang je,” terang suami selepas makan malam. “Baru minggu lepas kita balik, takkan tak boleh minta tolong angah ke alang ke? Asyik-asyik kita je. Rumah mak saya pun dah dua tak balik” luah Laila. Dalam hati terasa juga dengan sikap adik-adik iparnya yang seakan lepas tangan. Kalau sekali dua bolehlah terima lagi. Tapi kalau dah muka suaminya saja yang perlu galas tanggungjawab semua, mestilah makan hati. “Awak ni, dah memang tanggungjawab saya sebagai anak sulung. Biarlah saya yang buat. Masa nilah nak berbakti dengan mak. Kalau mak dah tiada nanti, takkan baru nak menyesal? Kalau awak tak nak balik, awak balik rumah mak awak,” balas Syukri dan episod dingin, tarik tali bakal bermula. “Sepatutnya gilir-gilirlah bawa mak. Bukan awak seorang aje anak mak. Adik-adik awak yang lagi tiga orang tu buat apa?” pintas Laila dan nada suara seakan tinggi. Sudahnya dengan hati yang berat, pulang juga dia ke kampung. Masih lagi lunaskan kewajipan sebagai menantu, sedangkan dalam hati hanya Tuhan yang tahu.


Ipar Duai Serba Tahu, Seboleh Mungkin Mahu Kita Ikut Caranya. Pening Kepala Dibuatnya…
“Kalau ada rezeki lebih, belilah rumah landed. Senang nak buat kenduri-kendara, senang nak parking, pendek kata semua senanglah,” ujar Kak Ita sambil asyik menghirup laksa. “Siapa yang tak nak rumah landed Kak Ita? Tapi tu lah, tak mampu nak beli. Maklum sajalah harga rumah kat KL ni. Rumah teres dua tingkat je dah dekat satu juta,” terang Amy dengan harapan kakak iparnya memahami walaupun dia dan suami bergaji besar. “Alah, kau orang muda lagi. Mesti lepas loan tu. Lagi satu, nanti kalau dah ada anak beli kereta SUV ke MPV ke. Senang nak konvoi ramai-ramai. Balik kampung pun senang nak bawa balik barang-barang,” belum sempat Kak Ita menyusun kata, suaminya mencelah; “Amboi awak bercakap, macamlah Amy dan Zul takt ahu nak uruskan hidup. Suruh beli rumah bawahlah, beli MPV lah; awak ke yang tolong bayar ansuran bulanan nanti?” bidas Abang Man sambil sesekali mahu menyindir isterinya. Amy dan Zul hanya berpandangan sesama sendiri. Siapalah kita mahu tentukan segala aturan hidup adik-beradik. Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing. Berbelanja mengikut kemampuan bukannya ikut telunjuk kakak ipar. Tak gitu?



Kredit Foto: Google

Demi Ambil Hati Mentua, Kakak Ipar dan Adik Ipar; Sanggup Dulukan Semua
Baru tiga bulan berkahwin dengan Borhan, Maya dilihat beria-ia meraikan keluarga mentua. Ya, bukannya tak boleh tetapi seeloknya berpada-pada sajalah. Sanggup tawarkan diri dahulukan duit untuk keperluan mak mentua, macam-macam dibelinya. Telekung, periuk belanga, pinggan mangkuk semua dihadiahkan kepada mak mentua. Tak cukup dengan itu, tudung mahupun alat kosmetik selain beg tangan viral koleksi Rizalman pun sanggup dibeli untuk dihadiahkan kepada kakak ipar dan adik iparnya. Mungkin mahu tunjukkan bahawa dialah menantu terbaik, sudahnya memakan diri. “Maya, mak tengok Go Shop tadi. Ada periuk pressure cooker boleh masak empat ekor ayam sekali. Mak teringinlah, nanti boleh tolong belikan untuk mak?” tanya Mak Senah kepada menantu kesayangannya. “Boleh mak, nanti Maya belikan ya,” jawabnya ringkas sedangkan sudah tiga bulan dia tak hulurkan duit kepada mak ayah di kampung. Maknya bukan jenis meminta-minta jauh sekali mahu menyusahkan anak tapi hati ibu manalah yang tak terasa apabila anak sendiri melebih-lebihkan ibu mentuanya. Dan malam itu dia menelefon emaknya. “Maaf mak, bulan ni tak cukup duit nak bagi. Insya-Allah bulan depan, Maya balik kampung Maya hulur sikit ya mak?” hurainya seakan cuba meyakinkan emaknya. “Tak apalah Maya. Kalau ada, adalah. Taka da pun tak apa” jawab maknya lagi. Sedangkan sudahnya mak Maya di kampung dapat tahu perihal Maya yang beria mendahulukan keluarga mentua. Adiknya Siti yang menunjukkan insta story apabila kakak ipar dan adik ipar Maya repost dengan kapsyen ‘Thank you my beloved adik ipar belikan iols tudung duck. Mak pun dapat periuk. Love you sil’. Mak dan adik-beradik di kampung yang makan hati. Sudahlah jarang balik, dilayani pula keluarga mentua dengan taraf lima bintang. Emak sendiri dibiarkan.


Kredit Foto: Google


Konklusinya, berpada-padalah dalam mengendalikan semuanya. Usah hipokrit mahu buktikan kita mampu serba-serbi. Tak perlu menghambakan diri, sanggup menelan segala beban yang akhirnya hanya akan memakan diri. Seimbangkan peranan dan fahami tanggungjawab kita sebagai menantu. Ada garis sempadan dan batas-batas yang perlu dijaga. Jangan pula memandai-mandai hinggakan nanti ada yang bersuara, “Ah, dia tu baru aje kahwin dah mula nak tunjuk pandai”. Ikut rentak dan fahami cara masing-masing dalam melayani kerenah ipar duai. Kerana keikhlasan itu bukan diukur dengan wang ringgit tetapi sikap mengambil berat, prihatin dan toleransi harus dijadikan pegangan.