Highlights
Irma dan Diana Kongsi Pengalaman Menyantuni ANAK YATIM di Gaziantep dan Bosnia. Ya Allah, Sedih...
Selebriti dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie dan Diana Amir telah mengambil inisiatif melancarkan kempen Sisters Care For Yateem secara atas talian di platform crowdfunding, antara terbesar di dunia dari Amerika Syarikat iaitu LaunchGood bagi membantu anak-anak yatim di seluruh dunia termasuk Indonesia, Bosnia Herzegovina, Palestin, Yemen dan Somalia.
Kempen yang dijalankan secara berperingkat bermula 28 September sehingga akhir November ini adalah salah satu usaha untuk menyokong kempen MyYateem #CareForOrphan anjuran Islamic Relief Malaysia. Kempen ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM50,000 bagi membantu kanak-kanak yang menjadi yatim ekoran konflik atau bencana merangkumi bantuan pendidikan, keperluan kesihatan asas, makanan dan nutrisi, serta sokongan psikososial.
Antara projek yang bakal dijalankan ialah projek Alternative Livelihoods for Orphan Family Sponsorship Programme (ALO) bagi memberikan manfaat kepada 175 isi rumah anak yatim di Indonesia. Ini bukan kali pertama Irma dan Diana bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan di peringkat global bersama Islamic Relief. Terdahulu, mereka bersama rakan-rakan ikon kemanusiaan yang lain telah melancarkan kempen memberikan bantuan berupa pek makanan Ramadan kepada penduduk di Syria, Bosnia dan Kosova melalui platform yang sama.
Kempen ini telah berjaya mengumpul dana melebihi sasaran awal sebanyak RM35,000 dengan bantuan dan sokongan penyumbang dari dalam dan luar negara. Irma dan Diana turut berkongsi pengalaman menyantuni anak yatim menerusi misi kemanusiaan Syria dan Bosnia bersama Islamic Relief di radio IKIMfm, baru-baru ini.
Irma dan Diana yang masing-masing mempunyai seramai satu juta pengikut di laman media sosial Instagram berharap semoga inisiatif mereka ini mendapat sokongan semua masyarakat dalam usaha memuliakan martabat anak yatim yang sama statusnya seperti yang dianjurkan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.
Orang ramai yang berminat untuk turut serta menyokong usaha murni Irma dan Diana boleh melakukan sumbangan menerusi platform berikut:
1) Kad kredit/debit (jika anda mengalami kesukaran untuk meneruskan langkah seterusnya, sila hubungi pusat khidmat pelanggan bank anda untuk pertanyaan lanjut).
2) Nombor akaun CIMB Islamic Relief Malaysia: 8602073818. Sila isikan bahagian butiran pembayaran dengan ‘LG_ICON’ untuk rujukan dan rekod pihak Islamic Relief Malaysia.
3) Bagi akaun bank yang tidak mempunyai bahagian butiran pembayaran, anda boleh hantarkan bukti pembayaran (resit/slip bank) ke aplikasi WhatsApp Islamic Relief Malaysia di +60196379788.
Keadaan masyarakat dunia pada ketika ini sangat membimbangkan, sehingga memaksa ribuan orang melarikan diri daripada konflik negara mereka dan memegang status pelarian. Lebih menyedihkan, ramai kanak-kanak menjadi yatim piatu ekoran konflik peperangan, musibah, atau bencana yang mengubah kehidupan mereka dalam sekelip mata.
Laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan lebih separuh daripada pelarian dunia adalah dalam kalangan kanak-kanak. Jumlah anak yatim di seluruh dunia tanpa salah satu atau kedua-dua ibu bapa adalah seramai 153 juta. Ada dalam kalangan mereka yang memiliki sejarah hitam menyaksikan sendiri kematian ibu bapa mereka, sekaligus memaksa mereka berjuang bersendirian di usia yang masih muda untuk kekal bertahan dalam kancah peperangan, bencana, kemarau, kebuluran, atau wabak penyakit.
Semoga dengan keprihatinan rakyat Malaysia sedikit sebanyak dapat membantu memberikan senyuman keceriaan kepada mereka dalam menjamin masa depan yang lebih cerah. Untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai kempen ini dan proses gerak kerja bantuan yang telah disalurkan, anda boleh mengunjungi laman sosial Irma Hasmie, Diana Amir, dan Islamic Relief Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Irma Hasmie Kongsi Pengalaman Santuni Anak Yatim Syria
“Sesiapa di luar sana yang sedang rasa terbeban dengan impak pandemik Covid-19 ini, jom sama-sama kita cuba berusaha kongsi rezeki dengan anak-anak yatim yang sedang diuji ini. Mudah-mudahan dengan niat sedekah yang kita hulurkan dengan ikhlas dan juga dengan niat mengasihi anak yatim ini, Allah akan limpahkan lagi rezeki kita, permudahkan segala urusan kita dan mengasihi kita selalu. InshaAllah.
Cabaran hidup anak yatim yang saya temui sewaktu saya mengikuti misi kemanusiaan ke Gaziantep, sempadan Turki bagi menyantuni pelarian Syria di sana sangat menyedihkan. Bayangkan anak kecil kehilangan ibu bapa dan terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga adik-adik disamping berdepan trauma kehilangan ibu ayah di depan mata dalam serangan dan sebagainya, suakr untuk digambarkan tekanan yang mereka lalui.
Walaupun berdepan kekangan untuk berkomunikasi tetapi saya tetap cuba untuk bersembang dengan anak-anak ini sebab saya nak sangat tengok mereka senyum dan bermain bersama-sama. Melihat anak-anak ini berebut-rebut untuk makan kentang goreng dan spageti seolah ini kali pertama mereka menjamah makanan sebegitu buat saya rasa terlalu sebak,” Kongsi Irma Hasmie.
Diana Amir Hiba Melihat Perjuangan Anak di Bosnia
“Berdasarkan pengalaman saya sewaktu mengikuti misi kemanusiaan ke Bosnia bersama Islamic Relief Malaysia dahulu, kehidupan anak yatim dan ibu tunggal di sana sangat susah. Bila saya lihat kertas yang anak-anak yatim ini tulis terima kasih Malaysia atas sumbangan yang diberikan, saya rasa terharu sangat.
Walaupun jauh, walaupun tidak pernah kenal, tapi bantuan anda sudah sampai dan berjaya menggembirakan anak-anak yatim di sana. Jadi, di sini saya ingin menyeru anda semua jom sama-sama kita bantu meringankan beban mereka,” Seru Diana Amir, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
Must-Watch Video