gaya hidup

“Ish… Kalau Tak Buat Nanti, Orang Kata Apa Pula,” – Sampai Bila Kita Nak Berfikir Macam Ni?

gempak
Huda Hussain
30/12/2020
08:21 MYT
Sponsor Banner
“Ish… Kalau Tak Buat Nanti, Orang Kata Apa Pula,” – Sampai Bila Kita Nak Berfikir Macam Ni?
Perubahan gaya hidup, perkembangan trend semasa dan seumpamanya banyak mempengaruhi kehidupan kita hari ini. Lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial. Betapa kita mudah mendapat akses hanya di hujung jari tentang segalanya. Makanan, fesyen, kecantikan, teknologi, hiburan, isu semasa, perihal keagaamaan, kerohanian dan tidak keterlaluan jika dikatakan semuanya ada dalam telefon bimbit kita.
Kredit Foto: Google
Dek kerana trend dan gaya hidup yang sering beralih saban hari, antara banyak atau sedikit kita akan dipengaruhi olehnya. Makanan dan minuman viral, fesyen dan trend pakaian, gajet, kudapan dan pemanis mulut misalnya antara yang mendapat tumpuan dan perhatian setiap golongan. Jika dahulu tular dengan fenomena minuman bobba milk tea. Sebutlah apa jua jenis dan jenama, semua sanggup berbaris panjang demi tidak mahu ketinggalan untuk merasainya. Lantas dimuat naik di media sosial dengan kapsyen dan foto yang bikin orang lain turut sama teringin mencubanya.
Mudahkah Anda Terpengaruh? Bergantung kepada minda dan pemikiran kita dikawal. Sama ada mudah terikut dan terdorong dengan apa yang dilihat sehinggakan mempengaruhi pemikiran dan mengubah tindakan, semuanya berpaksikan kepada kewarasan akal fikiran. Jika terpengaruh dengan sesuatu perkara yang baik, ternyata ia tidak memberi apa jua masalah. Tetapi sekiranya mudah terikut dengan perihal yang membawa kepada kemudaratan, mengheret masalah kewangan misalnya; maka sewajarnya anda perlu fikirkan segala kesan yang akan ditanggung.
Kredit Foto: Google
Contoh mudah, ada seorang kawan beria-ia ‘mencucuk’ anda membeli kain lap kayangan yang tular itu. “Eh, kalau kau ambil set lagi berbaloi. Boleh jimat daripada beli yang loose” ujarnya yang sememangnya menjadi tugasnya untuk mempromosikan barang atau produk yang dijual. Lantas mulalah kita berbelah bagi. Kalau tak dibeli, nanti dikata kita tak sokong dan tolong kawan-kawan yang sedang bersusah-payah mencari duit sebab masalah dibuang kerja akibat Covid-19. Tapi selepas dicongak, ditolak dan dibahagi; alahai… Duit yang ada pun cukup-cukup saja nak sampai ke gaji seterusnya.
“Kau boleh jimat Lina. Sabun basuh pinggan pun boleh jimat sebab guna kain lap ni. Tak berbau, senang nak cuci, guna air aje” ulasnya lagi. Dek kerana tersepit dan terhimpit setelah beberapa kali diasak, maka termakanlah jua dengan ‘hasutan’ si kawan ini tadi. Belilah akhirnya kain lap kayangan dengan harga mencecah RM200. Dan kepala tak henti-henti memikir apa alasan logik nak diberi jika cik abang mula bertanya itu dan ini. Memang sah anda mudah terpengaruh!
Kredit Foto: Google
Lantas Apa Mahu Dilakukan? Tetapkan pendirian dan berpegang teguh dengan apa yang anda fikir logik serta menjadi pegangan dan kepercayaan. Pedulikan sahaja kata-kata orang yang mengasak bertubi-tubi, mendesak itu dan ini. Kerana tiada orang lain yang lebih arif dan memahami diri anda selain daripada anda sendiri. Tak perlu takut sekiranya pendapat dan pegangan anda berbeza dengan orang lain. Tidak semestinya yang kebanyakan itu selalu betul, tepat dan benar. Juga tidak semestinya yang sedikit itu selalu salah.
Kredit Foto: Google
Hakikatnya anda sendiri sudah matang membuat timbang tara. Apa yang terbaik untuk diri anda, pilihan yang tepat dan sebagainya. Baik atau buruk, anda yang tanggung dan perlu hadap. Susah dan senang, semuanya tergalas dibahu sendiri. Tetapi tidak salah jika meminta buah fikir orang sekeliling kerana ia juga membantu untuk anda membuat keputusan dengan lebih bijak.
Kredit Foto: Google
Jangan menoleh ke belakang atau bertindak bagaikan lalang yang mudah dihalakan ke kiri atau ke kanan. Fokus ke hadapan dan jadilah manusia yang positif dalam mendepani segalanya. Apatah lagi kita bakal memasuki tahun baru. Sampai bila mahu menjadi pengikut sahaja? Beranikan diri mencuba dan jadilah seseorang yang mengepalai atau mendahului sesuatu perkara. Serlahkan potensi diri, gilap bakat dan kebolehan yang ada agar anda juga bisa dilihat sebagai seseorang yang boleh dijadikan inspirasi dan ikutan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live