Mengungkapkan ayat ‘keep strong’, ‘stay calm’ dan sewaktu dengannya memang mudah. Tetapi hanya yang sedang melalui detik hitam, paling menguji dan mengecewakan saja yang tahu bagaimana untuk menghadamkan ayat-ayat tersebut?


Ya, sebagai pendengar setia mungkin hanya itu yang mampu kita ungkapkan kepada mereka yang mengadu masalah dan kesengsaraan yang sedang dihadapi. Tiada siapa mampu memadamkan kesedihan seseorang melainkan diri orang itu sendiri.


Kita boleh menemui doktor psikiatri diiktiraf, kaunselor bertauliah atau pakar motivasi terhebat untuk mengadu masalah, namun percayalah tiada seorang pun antara mereka mampu memberi jaminan yang kamu mampu melenyapkan kekecewaan itu dengan rawatan yang diberikan.



Pokok pangkalnya adalah jiwa kita sendiri yang sedang menghadapinya. Tiada orang lain mampu menyelesaikan masalah dalaman kita melainkan kemahuan daripada diri sendiri. Ubat dan rawatan hanyalah jentera sokongan bersifat sementara tetapi asasnya adalah jiwa kita untuk penyelesaian jangka masa panjang.





Kredit Foto: Google


Ujian Itu Warna Dalam Kehidupan


Anggaplah begitu. Dalam sebuah kanvas lukisan, jika tidak dipercikkan dengan warna pasti kelihatan malap sahaja. Ujian dalam kehidupan seumpama lukisan bersama warnanya. Ada hitam putih, ada merah, hijau, biru dan sebagainya.


Kehidupan tanpa ujian umpama makan nasi tak berlauk. Tawar dan pasti tidak menyelerakan. Tidak salahkan sesekali adanya garam dan gula dalam makanan kita sebagai penerbit rasa. Layankan sahaja ujian itu, lama-lama ia lenyap bersama masa.


Bagaimana melayani ujian dan kekecewaan hidup?

Paling utama kamu tidak perlu menjadi seperti orang lain. Kalau orang itu bercerita betapa dia seorang yang tabah dan kuat melalui hidupnya, kamu tidak perlu pun menjadi sepertinya. Kamu adalah seorang saja di dunia ini. Tiada pendua.


Keupayaan dia dan kamu pasti berbeza. Kekuatan dia mungkin didorong oleh sistem sokongan di sekelilingnya atau pengalaman hidup masa kecil yang sudah dimampankan dengan keberanian dan tanggungjawab. Dan jalan cerita hidupmu pasti tidak sama.


Maka, untuk merawat kesedihan dan lara hati, ikutlah kemampuan diri sendiri. Biarpun disembuhkan secara perlahan, asalkan ia tidak memberi tekanan lain, ia sudah memadai. Tidak mengapa untuk kamu berasa tidak okey dalam hari-hari tertentu.


Kalau mahu menangis, menangislah. Tiada siapa berhak menahan air mata kamu. Kalau mahu menemani kesedihan itu dengan lagu-lagu hiba, layanlah. Tiada undang-undang dalam menentukan cara merawat lara jiwa.


Jika ada masa kamu mahu bersendirian, tak mahu diganggu oleh sesiapa, lakukan sahaja. Turn off semuanya, jauhi media sosial atau unsur-unsur negatif yang mungkin boleh menyebabkan kamu bertambah murung, just do it!


Namun, seperkara yang perlu kamu ingat dalam diri, selepas puas melayan kekecewaan itu, jangan lupa untuk bangun semula. Jangan terus rebah dalam air mata dan kemurungan. Banyak nikmat dan keindahan di luar sana yang menanti kamu dalam diam.


Kunci kebahagian dan kekuatan ada pada diri kita sendiri, tiada siapa punya kunci keduanya. Semoga kamu terus mampu tersenyum dan bangun menyapu air matamu...



Kredit Foto: Google