Personaliti
Jadilah BAPA Yang Sentiasa Bergelar Lelaki Teragung di Hati Anak Perempuan Walau Dia Dah Bersuami
Teks: Nor Hatina Shuib
Teringat penulis, seusia tujuh tahun ketika sudah melangkah ke alam persekolahan, ayah penulis adalah insan paling wajib untuk hantar ke sekolah menaiki motosikal. Malah, mana-mana anak sekalipun, mesti mahukan ayah untuk melayan zaman kanak-kanak mereka dan menemani mereka bermain saat ibu sibuk di dapur.
Ini kerana ayah juga adalah pelindung dan hero di mata mana mana anak perempuan. Ketika pulang dari sekolah, sebaik berada pintu pagar sekolah, penulis biasanya sudah berlari-lari memeluk erat dan mencium pipi ayah semahu mahunya. Wajah ayah mesti menjadi orang pertama yang dilihat, jika tidak , akan menangis teresak-esaklah jawabnya.
Pasti ramai teringat, saat kita diejek dan dibuli ketika di bangku persekolahan, ayah adalah orang terawal yang menjadi tempat mengadu domba. Insan bernama ayah ini pula akan berlagak seperti ‘super hero’ dan berpura-pura akan memarahi mereka yang cuba menyakiti anda.
Hubungan akrab seperti ini biasanya berlaku sebelum umur anak perempuan baligh dan banyak momen indah tercipta bersama.
Ayah juga insan istimewa yang menggunakan keringatnya untuk membesarkan anak tetapi biasanya, hubungan akrab ketika kecil akan mula sedikit renggang terutama bagi anak perempuan selepas menginjak dewasa atau umur baligh.
Ini kerana sebaik umur baligh, kisah kisah kewanitaan banyak dan selesa dikongsi bersama si ibu.Tetapi ketahulilah wahai anak, semua kisah anda seperti hari baligh anda sehingga perihalkekecewaan anda putus cinta pasti dikongsi ibumu bersama ayah.
Kredit foto: Google
Cuma cara ayah memberi perhatian terhadap anda adalah berbeza daripada si ibu yang lebih terserlah sifat keibuannya. Senyap seorang ayah bukan bermakna dia tidak kasih. Garang seorang ayah bukan kerana dia sengaja mencari kesalahan kaamu dan tegas seorang ayah kerana dia cuba menunjukkan sifat pelindungnya kepada kamu.
Kasih ayah biasanya hanya boleh terlihat saat kamu benar- benar terjatuh dan mereka adalah insan pertama yang menyambut kedukaan kamu dan itulah karakter seorang yang bernama ayah. Banyak situasi yang mana apabila seorang anak perempuan berkahwin,ayah akan menitiskan air mata kebahagiaan dan rasa berbelah bagi.
Antara gembira melepaskan anda pada insan yang mencintai anda, sama sepertinya dan rasa hiba kerana terpaksa melepaskan seorang anak perempuan.
Namun, pasti ramai yang sedar, setelah meningkat dewasa, kita semakin renggang dengan ayah kerana malu untuk berbicara dan malu untuk berkongsi cerita walaupun memang sayang dan menghormati mereka. Kita bukan tak sayang, tetapi rasa malu hadir menebal dalam diri.
Kadangkala tidak tahu apa yang mahu dibicarakan saat duduk bersama ayah berbanding ibu. Ini perkara biasa tetapi sebagai anak cari jalan memperbaiki hubungan antara ayah dan anak.
Bagi insan yang memiliki ayah yang 'banyak mulut' komunikasi memang menjadi mudah namun kebanyakan ayah adalah lebih kepada perwatakan yang memendam rasa, pendiam dan nampak seperti tidak ambil peduli perihal anda.
Kredit foto: Google
Justeru, sebagai anak, apa kata kita yang mulakan langkah bermanja dan melayannya sepenuh kasih sayang.Selagi ayah masih bernyawa, buat kejutan kepada mereka. Ubah persepsi anda ayah tidak’ sporting ‘ seperti ibu. Ini kerana mereka juga ingin anda melayan mereka sepertimana anda selesa bersama ibu, percayalah.
Jika pulang ke kampung menemui ibu bapa, cium tangan dan pipi mereka sama seperti anda memeluk dan mencium pipi ibu. Pastinya kuntuman senyuman tk lekang di bibir mereka. Adakalanya air mata pengganti rasa terharu bagaimana anda menunjukkan reaksi sayang kepada ayah.
Bagi anak perempuan yang tidak segan bermanja dengan ayah walaupun sudah dewasa kerana mereka sudah membina hubungan penting ini ketika kecil. Jadi, tidaklah segan mempraktikkan budaya dan amalan sama saat sudah dewasa.
Saat kecil, keluarga seperti ini sudah membina ikatan kasih sayang antara ayah dan ibu dengan cukup sempurna melalui komunikasi, sentuhan fizikal dan aktiviti merapatkan hubungan seperti berjemaah bersama, berbasikal, berkebun dan aktiviti pengikat kebahagiaan berkeluarga.
Jadi sehingga ke dewasa dan sudah beranak pinak, ia subur menjadi satu budaya dan kewajipan bersalam, mencium pipi ayah, dan mengambil berat akan ayah.
Seorang teman penulis punyai hubungan indah bersama ayahnya. Dia akan menghubungi ayahnya setiap hari sebelum masuk ke pejabat.
Pada awalnya, kemesraan antara ayah dan anak itu umpama bersembang dengan teman lelaki rupanya di bercakap di talian dengan ayah sendiri.
Kongsi beliau, ayahnya sudah berusia 60 tahun dan berperangai seperti keanak-anakan. Ayahnya akan merajuk jika beliau tidak menghubunginya dan sentiasa risau akan keselamatannya walaupun kini sudah ada suami sebagai pelindung kepadanya.
Kredit foto: @ainedruce
"Tidak apalah jika perlu telefon setiap hari. Ayah sudah uzur dan tidak tahu sampai bila umurnya. Zaman kecil dulu, macam macam ayah layan kerenah aku, kini masanya aku layan kerenah tak seberapa ayah pula" katanya.
Ya, buat anak perempuan. Jom kita sama sama tunjukkan kasih sayang pada ayah. Jangan lagi malu-malu untuk tunjuk perasaan sayang dan prihatin kita pada ayah. Mereka pun masih mahu perhatian kita, mungkin juga mereka segan, sama dengan apa kita rasakan. Tidak salah untuk kita mulakan dulu.
Budayakan rasa hormat pada ayah tetapi pada masa tunjukkan kasih sayang anda walaupun sudah dewasa. Tidak salah bermanja, memeluk dan mencium seorang ayah.
Sesekali, lihatlah tangan yang banyak jasa mencari sesuap rezeki buat kita, wajah yang sudah berkedut dan lekuk-lekuk tua di pipi yang semakin ketara saat kita bersembang mesra dan membelai seorang ayah.
Zahirkan ucapan saya sayang ayah pada ayah kita dan ucapkan doa Al Fatihah bagi yang sudah tiada. Sesungguhnya kerinduan seorang anak kepada ibu atau ayah yang sudah pergi cukup menyeksakan dan tiada ubatnya.
Selagi ada di depan mata, lakukan tugas anda menggembirakan seorang ayah, insan yang kerap dilupakan tanpa sengaja oleh seorang anak.
Kredit foto: @serinaredzuawan
5 Panduan Tambat Hati Ayah Pada Usia Senja
1. Buat Aktiviti Ayah Suka
Biasanya apabila sudah menginjak usia tua, ayah suka berkebun dan menanam sayur atau buah. Apa kata anda belikan peralatan berkebun atau benih sayur. Sekurang kurangnya pemberian kecil ini mencetuskan hubungan lebih mesra antara anda dan ayah.
2. Bercuti Bersama Ayah, Oh Indahnya
Ajak ayah sebagai orang pertama dalam mengisi kalender percutian anda nanti. Bagi yang bujang, ini masanya anda tunjukkan hero sebenar anda pada mereka yang suka mengusik anda. Tentu ayah terharu dan beritahu ibu, anda ajak dia bercuti atau ma di sungai serta berkelah bersama.
3. Bayar Yuran Mengaji Ayah
Wah, romantik seorang anak boleh saja ditunjukkan dengan cara ini. Bagi ayah, biasanya di hujung usia mereka, ilmu agama antara yang dicari. Selain belikan buku-buku agama yang istimewa, boleh juga upah ustaz yang digemari mereka untuk mengajar mengaji.
4. Beli Barang Kesukaan Ayah
Setiap seorang ayah tentu ada benda kegemaran mereka. Ada yang suka membelu pakaian, makanan ataupun peralatan kereta atau motor. Sumbangkan sedikit wang anda untuk melengkapkan apa yang kurang.
Sehelai baju yang anda belikan ,mesti mereka hebah kepada kawan setaman atau ketika menghirup secawan kopi di warung. Kata si ayah bangga, ini anak aku, si Mona belikan....silap-silap harga pun dia beritahu sebab bangga anak perempuan belikan.
5. Jadi Anak Solehah Ayah
Ini paling mudah nak lakukan tapi agak susah nak melaksanakan. Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik kepada anak anak. Justeru, buatlah baik dan jadilah anak baik supaya anda tidak menyakiti dan menyusahkan mereka.
Tidak semestinya menghulurkan wang setiap bulan, apabila anda menjadi anak baik dan kebanggan mereka, itu sudah memadai buat insan bernama ayah. Capaikan cita cita ayah untuk melihat kamu menjadi insan berguna.
Must-Watch Video