Entah kenapa orang sekarang agak menipis rasa malunya berbanding orang dulu-dulu. Ini kenyataan. Jangan ada yang kata, ‘asyik-asyik nak bandingkan dengan orang dulu’. Memanglah tidak semua yang dulu itu bagus, tetapi yang mana ada baiknya, kita jadikan contoh.


Ditambah dengan kewujudan media sosial pada zaman kini, sikap malu dan suka menayangkan segla-galanya di platform itu bagaikan sudah tidak ada batasannya. Tidak tahulah, adakah bagi sesetengah orang menyebarkan peribadi diri di situ adalah sesuatu yang biasa atau bagi mereka di situ tiada siapa ambil peduli?


Apa pun telahannya, membuka ruang peribadi sendiri di tengah khalayak adalah sesuatu yang harus diperhalusi semula. Lebih-lebih lagi yang membabitkan hal rumahtangga suami dan isteri. Kita sedia maklum kes perbahalan dan perceraian suami isteri semakin hari semakin meningkat. Inilah cabaran dunia akhir zaman yang semakin menakutkan.




Kredit Foto: Google



Gaduh Sikit, Mesti Nak Diceritakan Kepada Umum, Kenapa?


Kalau dulu, selagi boleh kita mahu menutup kekalutan yang berlaku dalam rumahtangga. Namun, hari ini, kebanyakan orang semakin suka mengenengahkan isu rumahtangga untuk tatapan dan pendengaran umum. Ada yang memberi alasan, sekadar mahu berkongsi pendapat. Ada pula berpendapat, biar dijadikan pengajaran.


Sekali lagi diingatkan, matlamat tidak menghalalkan cara. Banyak lagi saluran terbaik untuk menyelesaikan masalah dalam rumahtangga. Kasihani air muka anak-anak dan maruah kedua-dua belah keluarga. Tidakkah mereka juga akan terheret sama dalam permasalahan yang sengaja kamu rumitkan?



Kredit Foto: Google



Mengadulah Kepada Yang di Atas Sana


Bunyinya mungkin klise. Tetapi inilah jalan yang paling baik kala kita dirundung masalah. Mengadu dan menangislah kepada Allah. Kenapa perlu dirintih kepada orang luar yang belum tentu keikhlasan untuk mendengar dan membantu. Adakah kita puas dengan memberitahu orang akan keburukan pasangan kita?


Jika selepas itu, memang ternyata kamu akan bercerai, okeylah! Sebaliknya, jika kembali bersama, apa pula kata orang itu? Bukan hanya pasangan yang malu, malah diri sendiri terpalit sama dek sikap terburu-buru dalam melempias perasaan marah. Orang akan kata, “Bodoh! Akhirnya berbalik juga kepada pasangan itu.”


Mahu salahkan orang yang bercakap itu? Salahkan diri sendiri dahulu kerana bertindak di luar kewarasan akal ketika sedang marah dan terlalu kecewa. Andainya, selepas mengadu kepada Tuhamu, hati masih resah dan persoalan belum terjawab, bolehlah dirujuk kepada pakar perundangan atau yang lebih arif.


Malah tidak salah untuk melantik mana-mana ahli keluarga terdekat untuk membantu menyelesaikan konflik yang melanda. Namun, hati-hati memilih siapa yang akan membantu itu? Tidak perlu ramai-ramai, cukup seorang dua yang kamu rasakan mampu memberi pendapat dan mengambil tindakan sewajarnya.


Apa pun tindakan kamu, ingatlah jangan sesekali mengikut hawa nafsu yang sedang membara. Elakkan bercerita dengan orang sewenang-wenangnya, juga jauhi media sosial pada ketika jiwa sedang kacau dan kekecewaan menguasai diri. Campak ke tepi semuanya. Dekati sejadahmu, ambil wuduk dan bersolatlah. Doa moho petunjuk. Cukup...