Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Pepatah ini ada benarnya. Kalau kita lapar, pasti rasa tak senang duduk dan asyik nak marah. Cuba, kalau perut sudah berisi, Alhamdulillah, senang hati dan barulah boleh ‘bernafas’. Maka, pentingnya makan minum dijaga dalam rumahtangga.


Ada orang kata, zaman sekarang, apa nak susah, kalau lapar order saja. Tekan-tekan, bayar, sampai depan rumah. Untuk yang sudah bersuami, sebaiknya masaklah sendiri. Bukan mahu menyusahkan diri tetapi air tangan isteri dan ibu lebih banyak hikmah dan ‘manisnya’ berbanding masakan orang luar.


Lagi pula, daripada segi kebersihan, ia lebih terjamin dan pastinya segala sumber halal. Menjadi satu keutamaan untuk memastikan hidangan yang disajikan untuk seisi keluarga benar-benar daripada sumber yang baik kerana ia akan masuk ke perut dan menjadi darah daging. Kalau hari-hari nasi mamak, laluke?


Kredit Foto: Google



Masakan Mampu Menyatukan Keluarga


Benar. Dengan masakan mampu membawa semua anak-anak dan keluarga duduk satu meja menikmati rezeki Tuhan. Apa lagi aktiviti yang mampu membuatkan semuanya duduk mengadap antara satu sama lain sambil berbual mesra dan bertegur sapa. Kerana itu, masa makanlah masa terbaik menyatukan keluarga.


Disebabkan itu, bulan puasa menjadi bulan paling barakah kerana waktu bersahur dan berbukalah kita dapat selalu bersama menikmati juadah. Maka, kalau waktu makan itu dapat menikmati air tangan isteri dan ibu, pasti ia lebih membahagiakan. Suami dan anak-anak pasti terkenang selalu air tanganmu yang tidak sama dengan sesiapa pun.





Kredit Foto: Google




Bukan Perlu Masak Beria, Yang Ringkas Pun Cukup


Ada orang kata, lauk sardin dan telur goreng Mak pun sudah cukup menyelarakan jika dimakan di rumah. Tidak mungkin sama nikmatnya walau makan di restoren besar atau hotel lima bintang. Begitulah penangan air tangan seorang ibu. Maka, kenapa tidak dimanfaatkan kelebihan itu?


Kamu tidak perlu pun handal memasak lagak seorang chef profesional. Janji air tangan itu ada dalam menyajikan makanan untuk keluarga. Bukan tidak boleh menyuruh orang gaji masak tetapi sesekali luangkan masa ke dapur untuk menyedapkan selera keluarga. Jangan nanti sampai mereka lupa bagaimana rasa masakanmu?


Sebelum memulakan masakan, bacalah doa agar masakan sedap, kena dengan selera semua yang menikmati dan memberi manfaat. Ketika sedang memasak atau menggaul, keraplah berselawat dan berzikir. Selain makanan akan jadi lebih berkat, pahala pun dapat sama. Tentu lebih indah santapan itu nanti.



Kredit Foto: Google