Kebebasan berkata-kata dan menulis zaman ini semakin menakutkan. Apatah lagi, kini kita mempunyai laman sosial yang membolehkan kita mencatakan apa sahaja yang kita suka dan fikirkan betul.


Mencaci, memaki hamun, mengaibkan, memfitnah, mencela sudah menjadi makanan hari-hari masyakarat kita hari ini. Ada yang suka menulis, ada yang tukang sokong, ada yang penambah rasa memberi ‘like’, juga dikira penyumbang pada kekejaman digital sekarang.


Mugkin bagi sesetengah orang dosa mengata di media sosial tidak sama dengan mengata secara langsung. Hakikatnya dosa tetap tercatat, malah lebih ‘azab’ lagi kerana tulisan itu dibaca mungkin ribuan atau jutaan orang. Apa lagi jika dikongsi dari page ke page.


Bolehkah kamu bayangkan rantaian dosa yang berjalan masa demi masa hanya dengan sebaris catatan kamu itu?


Siapa Kita Untuk Menghakimi?


Ada yang membenarkan perkara ini atas alasan mahu menegur dan ada juga yang berhujah, “orang itu sendiri yang membuka aibnya sendiri”. Jika benar dia membuka aibnya, itu dosanya dengan Tuhannya, dan kenapa pula kita mahu menjerumuskan diri kita sama ke dalam dosa yang dicipta sendiri?


Kita tahu dia sedang melakukan dosa, mengapa kita juga turut sama mahu terpalit dosa? Entah-entah dosa kita lebih besar daripada dia yang membuka aib sediri. Sedangkan kita bukan hanya berkongsi aib dia, malah menambah perasa dan kebencian orang lain pula untuk sama-sama mencela dia.


Sekali pun kita berasa marah dengan perbuatan yang dipamerkan, berhikmahlah dalam menegur. Sekiranya niat kita memang ikhlas dan jujur untuk menariknya ke jalan lebih baik, carilah jalan yang baik juga. Jangan sesekali menegur dengan cara menjatuhkan orang itu dan menambah dosa sendiri.


Kita Tidak Tahu Pengakhiran Seseorang


Ini yang selalu kita dengar. Kita tidak tahu bagaimana perjalanan seseorang itu dalam mengakhiri usianya. Ada orang lahir-lahir sudah dibesarkan dalam keluarga baik-baik, berilmu tinggi. Namun, terkandas di hujung jalan dek terikut nafsu dan bisikan syaitan.


Ada pula lahirnya penuh noda, melalui kehidupan hitam namun di hujung hayat mendapat reda Allah atas keinsafan dan taubat yang diangkat. Hidayah adalah milik Allah. Dia akan beri kepada umatNya yang terpilih. Hati manusia ini mudah dijentik untuk menjadi orang soleh atau sebaliknya.


Bayangkan jika kita puas mengutuk, mengata dan memfitnah seseorang yang kita tidak suka dengan gaya hidupnya. Kita menghukumya sebagai ahli neraka dan sebagainya. Tup, tup, ditakdirkan Tuhan, dia berubah. Mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan.


Dan kita ini? Yang sentiasa berasa diri sudah cukup baik, adakah yakin segala amal kita diterima Allah? Adakah kita benar-benar yakin, Allah reda dengan kita dan akan mengakhiri usia kita dengan husnulkhatimoh?


Firman Allah: “Sesunggguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan kelengkapan sesuai dengan keadaannya), kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” (Surah At-Tin, 4-6).