gaya hidup

Jangan Jadi FOLLOWER Yang Taasub, Berpadalah Menyanjungi – Yang Salah Jangan Dibenarkan

gempak
Afiza Kamarulzaman
21/06/2021
15:35 MYT
Sponsor Banner
Jangan Jadi FOLLOWER Yang Taasub, Berpadalah Menyanjungi – Yang Salah Jangan Dibenarkan
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi taasub ialah kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang, fanatik. Contoh ayat; Mereka sangat taasub dan amat berbangga dengan keturunan dan kaum mereka.
Prof Dr Jamal Farouq Al-Daqqaq mentakrifkan taasub sebagai kecenderugan yang disertai dengan hawa nafsu untuk memenangkan sesebuah mazhab, atau pandangan yang dipeganginya atas pandangan lain yang berbeza, serta berusaha menjatuhkan pandangan yang berlainan itu.
Menurut laman sesawang amarismat.com, taasub ada dua kategori, yang pertama taasub kepada individu manakala yang kedua adalah taksub kepada kelompok. Taasub kepada individu boleh berlaku dalam dua bentuk, samada taasub seseorang individu pada pandangannya sendiri atau taksub terhadap individu lain seperti alim ulama’, syuyukh tasawuf, qiyadah jemaah dan lain-lain individu.
Taasub kelompok boleh dimisalkan seperti taasub parti, taksub tareqat, taksub jemaah ataupun apa-apa jenis kelompok yang lain.
Unsur taasub individu ini juga boleh dipecahkan kepada dua bahagian, yang pertama adalah taasub dengan pandangan seseorang walaupun pandangan itu jelas bertentangan dengan kebenaran.
Tetapi disebabkan hujah-hujah ilmiah dan rasa fanatik yang ada dalam diri seseorang individu, maka pandangan yang khilaf dengan kebenaran tersebut diterima bulat-bulat atas alasan hujah itu telah dinyatakan oleh seorang ahli ilmu yang tidak mungkin akan melakukan kesilapan.
Punca taasub individu dalam bentuknya yang pertama (taasub dengan diri sendiri) bermula dengan rasa ujub dengan ilmu dan kebolehan diri sendiri, manakala taasub terhadap individu bermula dengan rasa hormat, cinta dan kagum dengan peribadi serta ilmu yang dimiliki oleh individu tesebut.
Manusia Tiada Yang Sempurna
Dalam zaman media sosial hari ini, kita tidak nafikan ramai membuka ruang peribadi untuk dikongsi dengan pengikutnya. Kalau dulu, kesombongan didorong oleh nikmat kekayaan yang dimiliki, kuasa atau keturunan dan kini ia dilihat semakin menakutkan apabila rasa sombong itu dilancarkan secara terang-terangan dek kehebatan memiliki pengaruh pengikut yang ramai.
Di dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 18, Allah SWT berfirman yang ertinya:
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Ia bertambah buruk apabila ramai pengikut yang sering memuji muja, menatang dan berkata yang manis-manis tentang keperibadian seseorang yang diikutinya kerana rasa fanatik yang suka yang amat sangat. Sesungguhnya, dalam Islam sendiri tidak menggalakkan seseorang muslim terlalu berlebih-lebih dalam memuji seseorang manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T.”
Riwayat Muslim
Kredit Foto: Google
Keburukan Kepada Orang Yang Memuji (Dipetik dari laman sesawang HarakahDaily)
Pertama: Seseorang yang memuji itu boleh menyebabkan dia melampau dalam melontarkan pujian, lalu ia akan berakhir dengan pembohongan. Ini biasanya berlaku dalam pujian kepada pemerintah ataupun kepada seseorang terhadap sesuatu yang dia tidak miliki.
Kedua: Pujian juga kadangkala boleh membawa kepada sifat riya’ dengan cara dia menzahirkan kecintaan kepada orang yang dipuji, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Maka jadilah dia sebagai seorang yang riya’ lagi munafik.
Ketiga: Pujian juga boleh berlaku dalam keadaan pemuji tidak mengenalpasti keadaan sebenar orang yang dipuji. Terutamanya pada sifat-sifat yang mutlak seperti warak, zuhud, bertakwa, dan seumpamanya kerana kesemuanya ini tidaklah boleh dilihat melalui mata kepala.
Keempat: Melalui pujian juga boleh menyebabkan orang yang zalim dan fasiq berasa gembira tatkala dipuji. Sedangkan hal ini tidak boleh kerana keduanya ini sekiranya dipuji sudah pastilah akan kekal berterusan dalam kefasikan dan kezaliman mereka.
Keburukan Kepada Orang Yang Dipuji
Pertama: Melalui pujian, boleh menyebabkan seseorang itu berasa takbur dan ‘ujub terhadap diri sendiri. Yang mana kedua sifat ini boleh menghancurkan diri seseorang.
Kedua: Seseorang yang dipuji, akan merasa gembira dan merasa cukup dan berpuas hati dengan apa yang sudah ada pada dirinya. Maka sesiapa yang merasa kagum dengan diri sendiri, akan berkuranglah kesungguhannya dalam beramal. Ini kerana, orang yang bersungguh dalam amalan ini adalah mereka yang merasakan diri mereka penuh kekurangan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live