Banyak cara membanyakkan pahala dan memastikannya sentiasa berjalan walau sudah lama ia diberi iaitu dengan berkongsi resepi memasak. Ia sama seperti kita mengajar ilmu bermanfaat, bukankah sangat digalakkan dalam Islam? Selagi ilmu itu diamalkan, selama itulah pahala untuk kita terus mengalir.


Tidak mahukah kita membuat perlaburan tersebut untuk saham akhirat? Jika kita sedekah duit, pasti akan habis. Jika memberi makanan, juga akan habis tak tinggal bekas. Namun, jika kita berkongsi ilmu masakan, dan selagi ia diguna pakai oleh si penerima itu, pahala untuk kita terus kita miliki, Insya-Allah.





Tambah Pula Kalau Resepi Itu Dibuat Niaga


Nah, bertambah-tambahlah pahala yang diperolehi jika resepi yang dikongsi itu dijadikan modal untuk mereka berniaga. Hasil duit berniaga itu pula dibuat belanja di jalan Allah. Masya-Allah, bayangkan gandaan pahala yang Allah kurniakan buat kamu dengan begitu mudah, tidak perlu keluar duit pun.


Ada kawan penulis berkongsi cara buat donut lembut dan gebu kepada seorang ibu tunggal. Hasil daripada perkongsian itu, ibu tunggal itu berjaya meningkatkan taraf hidupnya, membesarkan dua orang anak, menyelesaikan hutang-piutang malah katanya boleh hulur dua tiga ratus ringgit sebulan ke kampung.


Sebulan sekali dia akan menghantar setalam donut itu ke rumah anak yatim atau tahfiz sebagai sedekah jariahnya. Dan, ramai memuji donut buatannya yang lain dari yang lain. Kawan penulis itu langsung tak minta sesen pun. Malah bersyukur kerana dapat membantu ibu tunggal itu. Sehingga kini, setiap kali bertemunya, ibu tunggal itu tak henti berterima kasih sambil mendoakannya pula. Alhamdulillah...






Usah Risau Perniagaan Terjejas


Kebanyakan orang yang tidak mahu berkongsi resepi ini adalah kalangan peniaga yang risau jika si polan turut berniaga yang sama dan kemudian memberi saingan kepadanya. Oh, jangan bersangka buruk terhadap rezeki Allah kepada umat-Nya. Sudah tertulis rezeki setiap daripada kita. Jadi, mengapa perlu kita risau?


Percaya pada keajaiban sedekah dan berbuat baik dengan orang, pasti Allah lipat gandakan rezeki buatmu. Tidak perlu berkira soal resepi jika ia dapat memberi manfaat kepada yang lain. Lagi pula, jangan risau. Air tangan setiap orang itu berbeza-beza walaupun menggunakan resepi yang sama.


Contohnya, walaupun si emak menurunkan resepi itu bulat-bulat kepada anaknya, apabila dimasak sendiri anak itu, rasanya tetap tak sama seperti air tangan emak. Resepi hanya satu format yang perlu diadun sendiri untuk hasil yang kena dengan tekak masing-masing. Selamat beramal dan memasak!