gaya hidup

“Jangan Pernah Putus Berdoa Kepada Allah. Sabar, Tabah Dan Jangan Pernah Mengalah Tempuh Ujian Ini” – UEL.

gempak
Huda Hussain
05/07/2021
04:15 MYT
Sponsor Banner
“Jangan Pernah Putus Berdoa Kepada Allah. Sabar, Tabah Dan Jangan Pernah Mengalah Tempuh Ujian Ini” – UEL.
Kredit Foto: Astro Pima
Maklum dengan kekangan untuk turun ke lapangan menghulurkan bantuan nyata tidak mematahkan semangat team Jejak Ebit Lew (JEL) dan Ustaz Ebit Lew sendiri. Dengan adanya teknologi, kita masih lagi dapat mengetahui perkembangan terkini dan khabar mereka. Lebih-lebih lagi dengan tempoh PKP yang masih berlanjutan hingga hari ini.
Kredit Foto: Astro Pima
Walaupun Rumah Belum Siap, Umi dan Anak-Anak Yatim Tabah Lalui Kehidupan Seharian Jika penonton masih ingat lagi antara salah satu segmen dalam sedutan episod 15 lalu, Pengerusi Rumah Anak Yatim di Semporna, Sabah; Hajah Talpah Uba, secara sukarela menjaga anak-anak yatim di sebuah rumah. Ketika tiba di rumah ini, Ustaz Ebit Lew ada menyumbangkan dana serta barang keperluan yang digunakan untuk membina rumah sebagai tempat kediaman anak-anak yatim ini. Dan terbaru, dek kerana kekangan untuk melakukan kerja-kerja pembinaan, rumah itu belum siap dibina. Hanya 30 peratus sahaja yang baru bermula. Anak-anak ini masih tinggal di rumah Hajah Talpah atau mesra disapa Umi dan kini menjalani sesi pembelajaran secara online. Akui Umi, “Ada yang tercicir sebab tiada telefon bimbit,” jelasnya yang turut bekerja bagi menampung perbelanjaan seharian juga membiayai anak-anak yatim ini.
Pesan Ustaz Ebit Lew “Anak yatim dan ibu-ibu tunggal ni mereka dengan Nabi seperti dua jari di akhirat nanti. Dalam dunia orang-orang yang ada kedudukan, jawatan; dia mungkin dapat tempat istimewa. Dan tempat itu mungkin orang lain tak boleh ambil. Tapi di akhirat nanti, dalam syurga ada satu majlis bersama Nabi Muhammad SAW. Nabi sebut ibu-ibu tunggal juga anak-anak yatim ini dekat dengan Nabi seperti dua jari. Orang yang memuliakan anak-anak yatim ini sedang memuliakan Rasulullah. Sifat-sifat orang Mukmin, ahli solat mereka mencintai orang miskin, anak-anak yatim. Untuk itu kita perlu bantu paling-paling kurang dengan duit dan harta kita, tenaga kita juga doakan mereka. Moga Allah terus berikan mereka kekuatan yang menjaga anak-anak ini, juga kepada mereka yang lain yang membantu anak-anak yatim. Semoga dipermudahkan segala urusan.”
Kredit Foto: Astro Pima
Jambatan Siap Dibaik Pulih Tetapi Masih Perlukan Bantuan Menyorot kembali musibah yang menimpa sebuah keluarga dalam paparan episod 23 pula cukup menyayat hati. Ibu bersama dua anak yang ketika itu menaiki motosikal terlibat dalam kemalangan. Motosikal yang ditunggang tersangkut pada dawai jambatan lalu kedua-dua anaknya terjatuh dalam sungai dan meninggal dunia. Menziarahi keluarga dan penduduk Kampung Sungai Rekoh dua hari selepas kejadian, Ustaz Ebit Lew memberi sumbangan buat keluarga ini dan menyumbang dana bagi membaik pulih struktur jambatan. Tidak lama selepas itu, menurut Ketua Kampung Sungai Rekoh; Syed Haji Ibrahim dawai yang dipagari pada jambatan telah siap dibaik pulih.
Kredit Foto: Astro Pima
“Tapi masih berbahaya sebenarnya. Kalau boleh nampak hujung tu dah condong. Sungguhpun begitu saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew kerana bantu sumbangkan dana untuk kami baiki jambatan ini. Moga ada pihak berwajib yang sudi bantu untuk baik pulih selurh jambatan gantung ini. Inilah yang kami gunakan setiap hari untuk pergi mencari rezeki, hantar anak-anak ke sekolah. Memang bahaya, tapi nak buat macam mana? Harapnya adalah rezeki untuk dibaiki nanti,” akuinya sambil menunjukkan struktur jambatan yang kian uzur itu.
Kredit Foto: Astro Pima
Ropiah Akur Lalui Cabaran Berniaga Waktu PKP Sedutan episod 26 yang memaparkan kecekalan seorang anak mencari besi di tong sampah untuk dijual bagi membantu ibunya menyara hidup benar-benar menyentak hati. Dan kini ibunya terus berjuang meneruskan kehidupan dengan menjual goreng pisang. Wakil sukarelawan Raja Anita ada berkunjung keluarga ini bertanya khabar.
Kredit Foto: Astro Pima
“Nak dapat RM100 sehari pun 'sakit' sebab orang tak cukup duit kan sekarang. Jadi apa yang adalah saja,” jelasnya ketika dihubungi menerusi panggilan video oleh team JEL. Turut menyumbang dari segi bekalan barang keperluan harian, anak bongsunya tidak lagi mencari besi di tong sampah. Walaupun mengakui bukan senang untuk berniaga mencari rezeki ketika ini, Ropiah tetap berusaha demi menyara keluarganya. Doa terus dipohon agar semua yang dibantu oleh Ustaz Ebit Lew sebelum ini dipermudahkan urusan dan kehidupan mereka.
Kredit Foto: Astro Pima
Doa Dan Semangat Buat Barisan Hadapan Berjuang dengan perang Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu lelah rasanya lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes seharian yang semakin membimbangkan. Malah bagi barisan hadapan yang melaluinya setiap hari sejak hampir dua tahun berjuang pasti berganda cabaran dan ujiannya.
Bagi sukarelawan Pusat Penilaian Covid-19 Titiwangsa , Muhammad Azrai Azhari dia dan rakan-rakan bertanggungjawab menjaga pesakit bagi kes positif Covid-19 dibawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Titiwangsa. “Disini kami akan lakukan pemeriksaan tahap kesihatan. Ada yang perlu jalani kuarantin kendiri dirumah, ada yang datang ke sini untuk potong gelang kuarantin. Kapasiti di Titiwangsa agak terkawal tetapi bergantung kepada kes seharian. Kalau banyak kes, memang ramai yang datang sini. Dari segi penggunaan PPE misalnya, kami cuba hadkan orang untuk memakainya selepas waktu rehat. Nak jimatkan penggunaan PPE, sarung tangan dan sebagainya; kami kurangkan orang bertugas selepas tengah hari,” jelasnya lanjut.
Kredit Foto: Astro Pima
Pesan Ustaz Ebit Ini masanya untuk kita bantu orang lain. Kita perlu tabah dan yakinlah semua ujian ini cuma kerana sayangnya Allah kepada kita. Kalau kita rasa pedih, Dia lebih tahu pedih kita. Kalau kita sakit, Dia kenal sakit kita lebih daripada kita kenal sakit kita. Jangan pernah putus doa kepada Allah. Yang bukan Islam, ada cara berdoa kepada Tuhan mereka. Kedua, sabar dan tabah. Fikir apa saja jalan kita boleh usahakan sedaya upaya kita. Jangan pernah mengalah dengan apa yang kita ada. Sebagai manusia, kita perlu lihat juga orang lain. Tanya khabar emak ayah, adik-beradik, keluarga mentua, kawan-kawan, jiran-jiran terdekat. Mudah-mudahan tiada seorang pun di Malaysia yang tidak makan, yang sakit hingga tiada duit untuk berubat, jangan sampai ada seorang pun daripada kita yang kemurungan, stress tanpa dibantu. Kita doakan juga frontliner yang susah ketika ini. Semoga Allah beri kekuatan, kesabaran dan kecekalan buat mereka.
Rahmat akan cepat turun apabila kita berkasih sayang. Macam mana caranya? Bantu orang, tanya khabar. Tak perlu besar-besaran atau banyak. Tetapi mulakan dengan yang sedikit ini. Terus berdoa, solat dan patuh SOP. Insya-Allah, moga Allah angkat penyakit Covid ini dari negara kita.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live