gaya hidup
Jangan Pertikaikan REZEKI Orang – Kita Pun Tak Tahu Kepayahan di Sebalik Kesenangan Yang Dimiliki
Jangan sangka orang yang hidupnya sentiasa dilimpahi rezeki itu bahagia sepanjang masa. Dia juga ada ujian yang mungkin tersembunyi di sebalik kemewahan yang terdampar depan mata kita.
Jangan juga kita bersedih jika rezeki kita tidak seperti rezeki orang lain kerana urusan rezeki, ajal, jodoh dan maut semuaya sudah tertulis sejak kita dalam rahim ibu lagi. Tapi bukan bermakna kita perlu duduk diam tanpa berusaha ya.
Dan, lagi ingatlah, jangan kita sangka orang yang dimurahkan rezeki itu tanda Allah sayang dan kita yang tidak dilimpahruahkan rezeki ini Allah benci? Tidak sama sekali. Keberkatan rezeki bukan bergantung pada banyak rezeki yang dimiliki tetapi bagaimana ia dibelanjakan ke jalan Allah.
Ada orang diberikan rezeki berlebih-lebihan sebagai ujian untuknya. Allah mahu melihat sejauh mana rasa syukurnya kepada yang memberi? Bagaimana dia melawan rasa sombong dan riak? Bagaimana dia menyantuni orang yang memerlukan? Kerana semua itu bukan haknya seorang. Allah beri pinjam di dunia.
Kredit Foto: Google
Jika kita sibuk mengira-ngira keberuntungan seseorang itu, samalah seperti kita mempersoalkan takdir Allah. setiap satu yang dijadikan pasti bersulam hikmah yang hanya mata halus dapat menafsirnya.
Maka, janganlah rasa cemburu dengan rezeki orang lain kerana kita tidak tahu ujian dan kesulitan yang dialami sebelum mendapatkan semua itu. Mungkin usahanya tiga kali ganda daripada kita yang usaha sekadarnya sahaja.
Mungkin dia tidur hanya tiga ke empat jam sehari, sedangkan kita tidur lena sepanjang malam dan bangun ketika matahari sudah terik memancar.
Mungkin dia kesuntukan masa berkualiti bersama keluarga, sedangkan kita sentiasa bersama pasangan dan anak-anak sepanjang masa.
Mungkin dia sentiasa hidup dalam kerisauan memikirkan hartanya, sedangkan kita tidak pernah buntu mengira masalah dan hati sentiasa aman tenteram.
Begitulah pro dan kontranya dalam kehidupan seseorang. Tinggal lagi yang kita nampak hanya yang indah-indah saja tentang orang itu, di sebalik yang dihadapinya tertutup dek rezeki yang kita lihat begitu hebat untuknya.
Daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga hal yang menjadi akar semua dosa. Jagalah dirimu dan waspadalah terhadap ketiganya. Waspadalah terhadap kesombongan, sebab dengan kesombongan telah menjadikan iblis menolak untuk sujud kepada Adam. Waspadalah terhadap kerakusan sebab kerakusan telah menyebabkan Adam memakan buah dari pohon yang terlarang. Dan jagalah dirimu dari (hasad) dengki sebab dengki telah menyebabkan salah seorang anak Adam membunuh saudaranya.” (Riwayat Ibnu Asakir)
Must-Watch Video