Kadang-kadang, memang agak merimaskan apabila si kecil asyik mahu ‘memerap’ dengan ibunya, tidak mahu berenggang dan asyik mahu mengikut ke mana sahaja si ibu pergi. Kalau tidak dibawa pasti meronta! Ada pula yang langsung tidak mahu dengan orang lain. Dua puluh empat jam mahu ibu ada di depan matanya.


Janganlah ibu-ibu mengeluh atau rasa tertekan. Anggaplah ia sebagai momen berharga yang akan lenyap beberapa tahun lagi. Dan, apabila ia lenyap ia tidak mungkin dapat dikembalikan. Anak-anak akan melalui beberapa fasa dalam hidupnya. Fasa paling berharga bagi seorang ibu adalah ketika mereka masih kecil da sentiasa mahukan perhatian kita.



Anak Merengek Bukan Sebab Mengada


Usah bimbang jika punya anak yang sentiasa mahukan perhatian dan tumpuan. Ia bukanlah petanda anak itu mengada-ada atau tidak berdikari. Lain budak, lain karakternya dan ia akan berubah apabila mereka semakin meningkat usia. Kematangan mereka akan mengubah sifat-sifat itu kelak.


Ada anak yang bersifat manja, suka ‘meleseh’ dan mengimpit ibunya. Ini mungkin disebabkan mereka berasa tenang dan selamat apabila ibu berada dekat dengannya. Layanilah mereka dalam peluang yang singkat itu. Juga, pada masa yang sama ajar mereka untuk hidup berdikari seperti melakukan sesuatu kerja asas secara sendiri.



Kredit Foto: Google



Kenangan Itu Akan Berlalu dan Pasti Dirindui


Anak suka dicium, dipeluk, minta didukung, mahu disuap makan, suka mengikut ke mana pergi dan kerap bertanya itu dan ini adalah sesuatu yang normal bagi si kecil. Layani sebaik yang mampu. Apabila sampai satu waktu mereka sudah mampu berdikari dan mempunyai rakan-rakan atau hobi lain, mereka akan mula kurang berminat dengan ibu bapa sendiri.


Sesetengahnya, apabila diajak keluar makan pun sudah tidak mahu. Mereka lebih suka menghabiskan masa di rumah dengan hobi tersendiri. Ada juga yang tidak lagi menghargai masa bersama keluarga. Hal-hal inilah yang akan buat ibu mula merindui saat mereka dahagakan perhatiamu dulu.


Justeru, jangan dimarah atau direngus pada ketika mereka masih mahukan ibu-ibu sebagai peneman setia mereka. Ciumlah mereka sepuasnya. Peluk seeratnya. Jawablah setiap soalan mereka walau pun sudah berulang kalil ditanya. Bawalah mereka ke mana sahaja kamu pergi. Kekal berdampingan selagi tiada halangan.