Teks: Nor Hatina Shuib


Kini, kesibukan rutin harian menjadikan tiang asas kejiranan ini sukar dicapai disebabkan beberapa halangan seperti bekerja, menguruskan anak dan segelintir masyarakat yang memupuk sikap pentingkan diri sendiri.


Bagaimanapun, banyak isu kejiranan yang akhirnya membawa kepada perbalahan. Walaupun nampak kecil, jika tidak dirawati ia menjadi barah yang menularkan rasa benci, marah, terkilan dan sedih dengan tingkahlaku jiran kepada kita.


Lantas, matlamat mengukuhkan ukhuwah ini tidak sukses apabila berlakunya salah faham, pertengkaran, rasa tidak puas hati sesama ahli kumpulan yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan. Paling tidak bermasam muka dan tidak bertegur sapa sehingga ada yang bertahun-tahun lamanya.


Banyak kisah kumpulan Whatsapp kejiranan yang pada awalnya disuburi dengan ikatan murni akhirnya menjadi perbalahan. Masing-masing mahu menegakkan siapa betul dan siapa salah sehingga di luar kawalan.

Kredit foto: Google


Peka Perasaan Jiran

Kisah-kisah seperti jiran tidak peka dengan meletakkan kenderaan di hadapan rumah jiran, kucing membuang najis di kawasan rumah jiran, menganggu ketenteraman jiran dengan memasang radio secara kuat sehingga kepada menabur fitnah , semua ini antara situasi yang biasa berlaku dalam kalangan masyarakat.


Dalam Islam, jiran antara golongan yang perlu dihormati dan dikasihi. Sebagai jiran, kita perlu tunjukkan contoh teladan yang baik supaya apa yang tegang dapat diredakan.


Diakui, memang tidak cukup masa akibat tekanan kerja. Adakalanya jiran rumah di sebelah kiri kanan, depan dan belakang pun kita tidak kenal sepenuhnya.


Namun, cukuplah jika keluar rumah, ternampak jiran, senyum dan lambaikan tangan tanda hormat. Sikap saling memahami antara sifat terbaik mencegah salah faham dan sebarang salah sangka.


Pada hujung minggu, masaklah lebih daripada kuantiti biasa. Kembalikan nostalgia lama-lama kejiranan dulu yang menghantar mangkuk tingkat kepada jiran. tetangga. Ini antara cara terbaik merapatkan hubungan.


Kredit foto: Google



Fahami Adab Berjiran
Sifat sombong kepada jiran tidak sepatutnya berlaku memandangkan jika berlaku sebarang kecemasan, jiran antara insan terdekat yang boleh menghulurkan bantuan.


Bak kata pepatah, hiduplah dalam komuniti dan jangan jadi kera sumbang. Tidak semestinya hari-hari kita perlu menegur dan bersembang dengan jiran tetapi dengan menunjukkan anda sentiasa ada untuk menawarkan bantuan bila-bila masa, ia membantu mengukuhkan ukhuwah sesama kita.


Bagi mengupas ciri –ciri dan adab berjiran, apa kata kita lihat dan teliti apa yang dinasihatkan Pendakwah Agama yang juga Eksekutif Kanan Unit Dakwah Dan Pemasaran Sektor Awam, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP ), Ustaz Abdul Razak Abdul Talib, berkenaan situasi ini.


Semoga menjadi panduan kita bersama supaya dapat mengembalikan jalinan ikhuwah kejiranan sama seperti di zaman nenek moyang kita dulu.



1. Kini, ramai menggunakan aplikasi Whatsapp untuk berkomunikasi dengan jiran memandangkan masing masing sibuk dengan urusan kehidupan seperti bekerja, Apa pandangan ustaz untuk situasi ini?

Teknologi merupakan alat yang memudahkan urusan atau pekerjaan manusia. Aplikasi seperti Whatsapp dan seumpamanya adalah medium untuk berhubung antara satu sama lain terutamanya mereka yg berada jauh jaraknya.


Memahami tujuan dan matlamat tersebut sepatutnya tidak menjadikan kita semakin jauh atau berpecah.


Umum memahami, setiap benda atau perkara ada baik dan buruknya.Baik jika dimanfaatkan dengan betul, buruk jika disalahgunakan.


Tidak dinafikan ada yg menyalahgunakan aplikasi seperti Whatsapp untuk menyebarkan perkara negatif dan membawa kepada perbalahan.


Pilihan sebenarnya pada diri masing-masing. Seperti mengunakan pisau untuk memotong bahan - bahan masakan, atau menggunakan pisau untuk mencederakan dan memudaratkan orang lain.

Kredit foto: Google



2. Biasanya dalam satu perumahan atau kejiranan, akan ada satu kumpulan Whatsapp. Disini ia menjadi medium perhubungan, ukhuwah, berkongsi resepi, pandangan dan bergurau senda. Namun, seringkali kumpulan yang ditubuhkan pada awalnya harmoni menjadi tegang apabila berlaku salah faham, Jadi bagaimana menguruskan keharmonian dan mengelakkan berlakunya pertelingkahan menerusi aplikasi seumpama ini?

Islam sebenarnya telah meletakkan asas dan panduan dalam hidup berjiran.


Firman Allah swt dalam surah An-Nisa', ayat 36 : " Dan hendaklah kamu menyembah Allah dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu jua pun; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang kesusahan dan juga hamba-hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.


Sabda nabi SAW, " Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam. Siapa yamg beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati jiran tetangganya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam menekankan umatnya untuk berbuat baik dan menghormati sesama jiran serta tidak menyakiti mereka.


Nabi bersabda, " Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya" (Hadis Riwayat Muslim)


Sekiranya semua orang Islam khususnya memahami asas dan prinsip ini,maka sepatutnya kita semua sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata dan tingkah laku serta saling berusaha untuk menjaga keharmonian bersama.

Tidak dinafikan melalui perantaraan mesej di whatsapp mudah menimbulkan salah faham kerana setiap tulisan tersebut tiada nada dan intonasi.


Mungkin apa yang dimaksudkan berbeza dengan apa yang difahami, sebaiknya jika timbul salah faham, eloklah bertanya secara baik atau berjumpa agar silap faham tidak membawa kepada perselisihan dan pergaduhan pada masa mendatang.


Kerapkan berjumpa dan berkomunikasi dengan jiran tetangga di luar berbanding di medium Whatsapp semata-mata juga lebih mengharmonikan hubungan sesama jiran.


Kredit foto: Google


3. Bagaimana kita boleh menjadi jiran yang baik dan apa ciri cirinya ?

Memiliki jiran yang baik merupakan suatu rezeki kepada kita.Semua orang inginkan jiran yang baik. Maka kita lah yang perlu memulakan untuk menjadi jiran yang baik kepada orang lain.Antara adab serta akhlak jiran yang baik adalah :

1. Memelihara lidah atau perkataan dan perbuatan daripada menyakiti mereka.

2. Berbuat baik kepada mereka semampu yang boleh.

3. Hulurkan pertolongan jika mereka memerlukan

4. Jika sakit, kita menziarahi dan bertanya khabar mereka

5. Jika mereka meninggal dunia, kita iringi jenazahnya

6. Jika mereka mendapat rezeki atau kejayaan kita ucapkan tahniah.

7. Jika mereka diuji dengan musibah kita ucap takziah dan menyabarkan mereka.

8. Jika kita ada rezeki yang lebih, hadiahkan kepada mereka

9. Jangan membuka aib mereka sepertimana kita tidak suka aib kita dibuka orang lain


Begitulah yang diajarkan Islam berkenaan hak dan adab sesama jiran sama ada jiran tersebut muslim atau pun bukan muslim.


Jika kita lihat amalan –amalan baik terhadap jiran ini juga sudah pun diterapkan oleh generasi terdahulu yang hidup secara harmoni terutamanya di kampung-kampung.


Yakinlah ganjaran pahala terhadap orang yang sabar serta berbuat baik kepada jiran tetangga sangatlah besar. Jom jadi jiran yang baik dan berhemah supaya dapat diwarisi generasi ke generasi.