gaya hidup
Jangan Stres Kalau Ibu Rasa Tak Sesempurna INSTAMOM Itu - Tengok Je Buat Cuci Mata. Tak Wajib Pun Tiru!
‘Be yourself’. Itu kata kuncinya. Media sosial boleh dijadikan tempat rujukan dan panduan tetapi biarlah kena pada tempat dan orangnya. Tidak semua yang dipaparkan itu ‘base on real story’ pun. Seumpama sinetron, pasti banyak tokok tambahnya sebagai penyedap cerita. Begitulah setiap muat naik di media sosial.
Untuk mencantikkan gambar, pasti diedit mana yang perlu. Dilakonkan semula atau diperindahkan dengan skrip tambahan. Mana mungkin video berdurasi sekadar satu minit itu mampu menceritakan keseluruhan kehidupannya dari pagi sampai ke malam. Yang dipaparkan mungkin hanya yang indah, yang ‘hodoh’ disimpan sebagai koleksi peribadi saja.
Ada sesetengah ibu muda yang terlalu mengagungkan idola yang mereka ‘follow’ di media sosial sehinggakan setiap apa yang dipaparkan menjadi sumber inspirasinya setiap hari. Apa yang dia pakai, dia buat, dia gayakan sehinggakan cara dia mendidik anak-anak pun mahu ditiru bulat-bulat.
Apabila anak-anak tidak mampu mencapai ‘target’ yang disasarkan, mulalah para ibu berdukacita, kecewa dan rasa diri tak sempurna sebagai mana definisi ‘ibu terbaik’ yang selalu dilihatnya media sosial.
Kredit Foto: Google
Tidak salah untuk berasa terinspirasi oleh gaya hidup orang yang kita anggap ‘bagus’ dan mengujakan kamu. Tapi, janganlah dibawa ke dunia realiti sehingga membebankan seisi rumah. Sebagai contoh, instamom yang mempunyai seorang anak itu mampu memastikan rumahnya 24 jam kemas tersusun kerana dia memiliki pembantu rumah.
Sedangkan kamu yang mempunyai dua, tiga orang anak dengan tiada pembantu rumah, mana mungkin meniru gaya hidupnya yang begitu? Tidak salah mencuba, tetapi jika tidak mampu jangan dipaksa. Berpijaklah di bumi nyata.
Seorang teman penulis mengadu sangat stres dengan anaknya yang masih belum boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sedangkan anak selebriti itu yang sebaya anaknya fasih dan ‘berabuk’ speaking London katanya. Ya, Tuhan, kenapa mahu dibandingkan daripada segi itu pula? Adakah anak yang baru tujuh tahun itu yang hanya tahu berbahasa Melayu akan gelap masa depannya?
Buat apalah dibuang masa dengan menekan diri untuk menjadi stres dan bimbang yang bukan-bukan? Inilah antara penyumbang kenapa kebanyakan ibu hari ini mengalami depression dan anxiety. Kebimbangan yang melampau dan di luar kemampuan kita untuk membentuknya.
Berpijak di Bumi Nyata, Terima Diri Seadanya
Itulah kebenarannya. Mungkin hanya yang indah yang kita nampak di sebalik posting mereka, tetapi di sebaliknya kita tak tahu. Entah-entah dia sendiri rimas dengan apa yang dilaluinya, sedangkan di luar ‘frame’, dia melalui kehidupan sama seperti orang biasa lainnya. Kita saja yang terhegeh-hegeh mahu meniru dan menjadi seperti itu.
Maka, terimalah kehidupan dan diri kita seadanya. Rumah kita yang bagaimana dan anak-anak yang seada apanya? Jangan diubah kepada sesuatu yang kamu dan seisi keluarga sendiri tidak selesa. Jika mahu berhijrah ke arah yang lebih baik, silakan. Lakukan dengan penuh istiqomah dan rela hati.
Tetapi, jika perubahan itu sekadar mahu membuat orang takjub dan memuaskan nasfu duniawi semata, ada lebihnya kamu berfikir sejenak baik dan buruknya. Jangan tanya diri sendiri semata. Tanyakan juga kepada pasangan dan anak-anak, adakah mereka mahu mengubah sesuatu yang mereka sudah selesa melaluinya selama ini hanya kerana mahu memuaskan hati ibu yang rasa 'tercabar’ dek posting orang di media sosial?
Fikir-fikirkan dengan mata hati...
Must-Watch Video