Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jangan Terkejut Kalau ‘Rider’ Yang Hantar Makanan Anda Ialah CEO Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes!

Huda Hussain
12/11/2020 13:08 MYT
Bukan bertukar bidang tetapi penulis melihatnya sebagai salah satu cara bagaimana sebuah syarikat penerbangan mempelbagaikan produk keluarannya. Semua sedia maklum susulan impak pandemik Covid-19 hampir melumpuhkan industri penerbangan serata dunia. Malah banyak syarikat penerbangan terpaksa membuat keputusan drastik dengan mengecilkan skala operasi syarikat dengan mengurangkan jumlah kakitangan. Dan Air Asia juga tidak terkecuali daripada berbuat demikian untuk terus mencari dan merangka strategi agar terus bertahan dalam keadaan ekonomi serba sukar ketika ini.


Dikenali sebagai antara usahawan berjaya dalam industri penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes tampil membuat kemunculan istimewa menerusi satu muat naik di laman Instagram peribadinya baru-baru ini. Hanya mengenakan t-shirt putih sambil memegang topi keledar, dibelakangnya kelihatan beg penghantaran makanan yang tertera logo airasia food.

A post shared by Tony Fernandes (@tonyfernandes)

Kredit Foto: IG Tony Fernandes


airasia food adalah platform dalam talian penghantaran makanan baharu yang menyokong perniagaan dan francais tempatan dalam tempoh sukar ini. Hampir sama dengan pendekatan sedia ada oleh servis penghantaran makanan popular yang lain, ia bukanlah menjual makanan yang disajikan dalam penerbangan. Sebaliknya menawarkan satu lagi alternatif untuk pengguna memilih dan memesan makanan terus hingga di hadapan pintu rumah.

Kredit Foto: IG airasiafood


Jika beliau yang memegang jawatan tinggi dalam sebuah organisasi penerbangan yang gah tidak malu dan kekok menjadi ‘runner’, secara tidak langsung mencerminkan profesionalisme dan semangat juangnya untuk turut sama bersama syarikat dan kakitangan yang masih ada bersama. Biarpun terdahulu terpaksa memberhentikan jumlah pekerja dan kakitangan susulan keadaan ekonomi yang terpalit dengan isu Covid-19, namun lihat ketekunannya kini.


Dari sisi lain, ia sekali gus menterjemahkan sikap dan pendirian seseorang yang berpegang kepada prinsip di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Kerana kita semua tidak dapat lari daripada hakikat bahawa betapa sukar untuk terus bertahan saat ini. Ya, semua sedang berjuang untuk terus hidup tanpa mengira pangkat, darjat atau siapapun kita. Selagi ada kudrat, usahakanlah.


Semoga segala usaha dan inisiatif yang dilakukan syarikat penerbangan ini dapat menampung pelbagai kos operasi yang terpaksa ditanggung sepanjang situasi sukar ini.
#Tan Sri Tony Fernandes #AirAsiaFood #CEO AirAsia
;