Rahsia kebahagiaan ada dalam diri setiap daripada kita. Kebahagiaan dan ketenteraman jiwa perlu dilentur dari sikap dan cara pemikiran individu. Otak adalah titik fokus yang mengawal semua emosi dan naluri kita. Bukan orang lain, bukan juga faktor pendorong seperti harta, pasangan, anak dan lain-lainnya. Itu bahagia yang sementara. Tiada sumber itu, lenyaplah kembali bahagia yang dicari.


Apa yang membuatkan kita tidak bahagia dan sentiasa berasa tidak tenang? Antaranya adalah apabila kita terlalu memikirkan hal orang lain. Kita sibuk menilik baik buruk orang itu. Kita sentiasa mahu menjadi hakim mengadili kehidupan orang lain sehingga berputik rasa dengki dan jaki melihat orang lain lebih sikit daripada kita. Dan, lebih kritikal lagi apabila kita mula mahu menyainginya dan sentiasa ada sikap berprasangka buruk terhadap segala-galanya.



Kredit Foto: Google



Jangan Penatkan Diri Fikirkan Hal Orang


Penat sebenarnya apabila kita sentiasa menyukat untung nasib orang lain. Jika yang disibukkan itu adalah untuk membantu urusan orang, ia amalan yang baik. Namun, jika yang kita sibukkan itu lebih kepada dorongan negatif yang disulami rasa cemburu dan benci, maka dosa sahajalah yang akan dipikul. Dan, resah di hati akan melekat selama-lamanya. Jangan mimpi kamu mampu tidur lena dan rasa bahagia.


Kenapa rasa dengki itu muncul? Kerana kamu sentiasa berasa rendah diri dengan kehidupan sendiri. Kamu sentiasa berasa apa yang kamu miliki tidak cukup. Maka, kamu berasa iri hati melihat kelebihan orang lain. Fikir begini; setiap orang diberikan bahagian dan rezeki masing-masing. Tiada satu makhluk di dunia ini yang sempurna. Cuma, kita tidak tahu apa ujian atau masalah yang dihadapi kerana mungkin yang dipamerkan hanya keindahan. Mungkin, mereka itu sendiri berasa kehidupan kita lebih baik daripada mereka.



Kredit Foto: Google



Bersangka Baik Dengan Semuanya


Cara terbaik untuk melatih hati sentiasa reda dan gembira dengan rezeki atau kejayaan orang ialah dengan bersangka baik. Apa sahaja yang terjadi, fikirlah pada sudut yang positif. Cuba untuk berasa bahagia melihat kebahagaian orang. Cuba tumpang gembira melihat kegembiraan orang. Maka, ia akan terpantul kembali kepada diri kita. Jika kita asyik memandang kebahagiaan orang sebagai kedukaan, maka laralah kita selamanya.


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.


Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)



Kredit Foto: Google



Wajah Yang Berseri Itu Datang Dari Hati Yang Bersih


Selalu bukan kita memuji seseorang itu, air mukanya sejuk dipandang mata. Raut wajahnya sentiasa dalam ketenangan dan lega tatkata ditatap. Dan, kebanyakan orang begini cantiknya bukan kerana mekap, tetapi kerana perilaku yang molek dan hati yang tulus ikhlas. Jarang sekali kita memuji orang yang sombong, angkuh dan pemarah itu sebagai cantik. Kerana, dalam keadaan hati yang gelisah, mana mungkin dia mempamerkan wajah yang manis.


Jadi, di sinilah petuanya. Jika mahu kelihatan cantik berseri secara semula jadi, mulakan dari dalam hati. Lapangkan dada dan sentiasalah berfikiran yang baik-baik. Doakan juga yang baik-baik. Jika terdengar hasutan syaitan, lekas-lekas beristigfar dan pekup telinga dengan berkata, “Aku orang yang baik. Dia juga orang yang baik. Dia bahagia, aku juga gembira.” Cukup. Latihan ini akan membuatkan kamu perlahan-lahan menjadi lebih tenang dan matang. Insya Allah.