Jejak Ebit Lew episod ke 12 semalam terus menyantuni dan membantu mereka yang memerlukan. Menelusuri episod kali ini, team Jejak Ebit Lew dan kru produksi bergerak ke Sabah untuk menghulurkan bantuan kepada barisan hadapan, kumpulan orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak, warga emas dan lain. Lebih-lebih lagi dalam situasi genting di Sabah yang mencatatkan antara jumlah kes tinggi Covid-19 selain masalah-masalah lain membuatkan hati Ustaz Ebit Lew terpanggil untuk ke sana pula.

Terdahulu di Bangi, proses pembungkusan dan penyediaan 1000 set bekalan makanan dilakukan oleh 20 tenaga kerja anak muda daripada Pertubuhan Kasih Umat. Ia bakal disumbangkan untuk keperluan petugas barisan hadapan dan sesiapa jua yang memerlukan. Ia diterbangkan oleh pesawat My Jet terus ke Sabah. Manakala di Sabah pula, team Ustaz Ebit Lew terlebih dahulu melakukan persiapan yang perlu bagi memastikan kelancaran misi.

Hari Pertama Misi Bantuan di Sabah
Misi kali ini menyalurkan bantuan ke Pantai Timur Sabah iaitu Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna. Berbekalkan kekuatan 29 sukarelawan dari Tawau, juga team dari Kuala Lumpur; misi dimulakan apabila team dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Tawau jam 10.30 pagi terus ke sebuah pasar raya di Lahad Datu membeli permainan dan kelengkapan bahan bacaan untuk kanak-kanak istimewa di salah sebuah rumah kebajikan di daerah Tawau.

Kredit Foto: Astro Prima

Menurut Ustaz Ebit Lew, bukan sekadar itu sahaja team ini turut membawa barang keperluan seperti wifi untuk akses pelajar di kawasan pedalaman, face mask dan barangan keperluan lain. Dan Mohamad Ikhsan Helzy Sutaro adalah individu bertanggungjawab yang memastikan kelancaran misi di Sabah. Boleh dikatakan, beliaulah ‘orang kuat’ Pertubuhan Kasih Umat di Sabah setiap kali misi ini dilakukan di sana.

Tiba di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Harapan Kasih, Lahad Datu team Pertubuhan Kasih Umat terus mengukir senyuman di wajah anak-anak istimewa ini. Terpancar riak wajah riang dan gembira menerima pelbagai alat mainan, anak patung dan sebagainya.

Kredit Foto: Astro Prima


Misi Bantuan Keperluan Harian
Seterusnya, misi diteruskan dengan menyantuni dan singgah di gereja St Dominic Catholic Church, Lahad Datu. Dilaporkan, ia adalah salah sebuah gereja terbesar di daerah Lahad Datu. Dari sisi lain, dapat dirumuskan bahawa misi dalam program ini bukan hanya terhad untuk membantu kaum Melayu, masyarakat Islam semata-mata. Kerana sesungguhnya untuk menyebarkan kebaikan dan keharmonian itu didasari dengan niat ikhlas untuk semua kelompok, semua kaum, semua agama. Betapa kebaikan itu luhur dan tiada sempadan. Di gereja ini, team Pertubuhan Kasih Umat menyalurkan bantuan kerusi roda dan makanan.
Kredit Foto: Astro Prima

Misi Di Kg Sabah Baru, Desa Bajau Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu
Menyantuni mereka yang berada dalam kesusahan terus dilakukan apabila team Jejak Ebit Lew singgah bertemu sebuah keluarga yang diuji dengan anak mereka yang menderita sakit akibat barah otak. Tambahan pula, Raihan anak ketiga daripada empat beradik ini baru sahaja menjalani pembedahan membuang lebihan cecair di kepala dan berada dalam keadaan agak tenat. Bapanya bekerja sebagai pemandu van jenazah manakala si ibu, Julianah Mad Salih pula suri rumah sepenuh masa. Ujar Ustaz Ebit Lew, “Ujian ini kasih sayang dari Allah SWT. Kita tengok dia berat, susah, sakit. Kita memang takkan faham apa yang terjadi. Tapi sebab Allah sayang kakak, sayang abang, sayang dia, sayang keluarga ni; Allah bagi ujian-ujian yang berat. Saya doa kakak dan abang kuat. Semoga Allah beri kekuatan kepada Raihan” ujarnya memberi kata-kata semangat seraya menadah tangan berdoa memohon kepada Allah agar masih ada sinar untuk Raihan kembali sembuh dan diberikan kekuatan untuk keluarga ini menempuhi saat getir ini.

Kredit Foto: Astro Prima

Sumbangan Petugas Barisan Hadapan IPD Lahad Datu
Pengorbanan dan tugas polis di Ibu pejabat Polis Lahad Datu tidak dilupakan. Menyumbangkan tiga unit kerusi roda, face mask serta bekalan makanan, Ustaz Ebit Lew turut meluangkan masa memberi kata-kata semangat buat anggota dan pegawai polis disini yang saban hari bersengkang mata menjaga keselamatan penduduk Lahad Datu. Dalam musim PKP ini, pihak polis berhadapan dengan ujian untuk mengawal penduduk terutamanya dari segi pergerakan dan perjalanan memandangkan mereka perlu ulang alik kerana jarak dan lokasi yang jauh. Betapa besar pengorbanan mereka, Ustaz Ebit Lew menghargai dan terus mengobarkan semangat barisan hadapan ini yang terus berjuang demi kepentingan masyarakat. Doa turut dititipkan agar mereka dilindungi Allah sepanjang menjalankan tugas murni ini.

Misi Ziarah Pasangan Buta Anak Normal
Tidak menyangka menerima kunjungan Ustaz Ebit Lew, Rusdianah Radin berkongsi cerita mengenai masalah penglihatan yang dialami mereka. Suaminya, Jackey Abdullah yang sebelum ini bekerja sebagai tukang urut tidak lagi bekerja sejak PKP dan ia benar-benar menguji mereka. Hanya mengharapkan bantuan jiran sekeliling, Rusdianah mengalami penyakit glaucoma dan jarak penglihatannya kian terjejas dan kabur. Kesannya, semakin meningkat usia dia tidak mampu lagi melihat seperti biasa. Untuk keluarga ini, team Jejak Ebit Lew menghulurkan bantuan makanan dan sedikit wang selain dititipkan kata semangat betapa perlunya bersyukur walaupun tidak mampu melihat seperti manusia lain. Asalkan hati tidak buta, dan walaupun buta di dunia; Insya Allah di syurga kelak moga Allah kembalikan penglihatan buat pasangan cekal ini.