Serasa baru sahaja berlalu Ramadan yang pasti takkan kita lupakan tahun lalu. Hanya duduk dirumah, tiada kunjungan ke bazar, apatah lagi iftar diluar dan sebagainya. Kerana kemeriahan Ramadan diragut dek penularan Covid-19 yang memaksa kita semua beradaptasi dengan norma baharu. Dan kali ini sedikit kelonggaran diberi untuk kita kembali mengimarahkan penghulu segala bulan ini.

Sungguhpun begitu, sewajarnya kedatangan bulan mulia ini harus dimanfaatkan sehabis baik untuk melipat gandakan amal ibadat pada tingkat tertinggi atau sehabis baik mahu kita persembahkan untuk-Nya. Lebih-lebih lagi kita tidak tahu sama ada sempatkah kita bertemu Ramadan akan datang? Justeru, manfaatkan peluang keemasan ini dan ini yang sebaiknya kita lakukan.

Kredit Foto: Google

1. Boleh mula mencari Al-Quran tetap. Pilih satu Al-Quran untuk menjadi teman setia di sepanjang Ramadan. Gunakan Al-Quran yang sama agar memudahkan urusan menanda tempat bacaan dan ayat-ayat untuk ditadabbur. Tanda juga hukum-hukum tajwid yang tidak jelas dan bolehlah bertanya kepada mereka yang arif.


2. Bersihkan tempat atau ruangan ibadah di sepanjang Ramadan. Jika mempunyai ruang solat khusus, maka bersih dan susun atur dengan baik. Jika hanya mempunyai sedikit ruang solat, bersihkan jua daripada habuk dan debu serta bau-bau yang mungkin kurang menyenangkan. Harumkan ruangan dengan bau-bau yang menenangkan. Lebih manis andai rumah kita juga dihias cantik lagi bersih untuk mengalu-alukan kedatangan bulan mulia ini. Pasti tenang menjalani amal ibadat di mana-mana ruang di dalam rumah.

3. Telekung-telekung solat, boleh mula dicuci dan wangikan dengan atar atau wangian kegemaran. Bau yang menyenangkan mampu membangkitkan mood beribadah yang lebih baik.

Kredit Foto: Google

4. Siapkan sampul-sampul sedekah di sepanjang Ramadan jika mampu. Isi setiap sampul dengan nilai yang dihajati dan mampu beri. Sebaik-baik, bersedekahlah setiap hari agar setiap hari itu terisi pahala sedekah yang amat besar ganjarannya di bulan puasa. Nilai sedekah itu bukanlah menjadi ukuran utama. Tetapi keikhlasan membantu dan mencari keredhaan Allah itu adalah lebih utama.

5. Atau boleh juga aturkan bekalan kurma untuk diagihkan ketika berbuka dan bersahur. Hatta sebiji kurma setiap hari pun dinilai Allah sebagai amalan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Ketahuilah, pahala memberi makan orang berbuka puasa itu amatlah besar ganjaranya. Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Contohi sifat tokoh ulama' dalam memberi makan orang yang berpuasa. Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang. Manakala, Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.

Kredit Foto: Google

6. Solat Tarawih setiap malam. Maka, sesudah Maghrib, setelah berbuka puasa, bersegeralah bersiap mengerjakan Tarawih tanpa berlengah-lengah di hadapan televisyen.

7. Niat bangun bersahur setiap pagi. Maka, tidur awal pada malamnya agar boleh bangun dengan mudah. Nabi Muhammad SAW telah bersabda: yang bermaksud: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan." Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)

8. Hentikan amalan bermain game sehingga ke pagi atau menonton movie sehingga larut malam di bulan Ramadan. Kelak, sukar bangun bersahur dan dibimbangi tidak berupaya berpuasa di siang hari.

9. Kunci jam atau telefon bimbit masing-masing agar tidur malam tidak terlajak sehingga melangkaui waktu Subuh.

10. Niatlah untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amalan qiamullail meskipun hanya dua rakaat solat malam.

Kredit Foto: Google

11. Jangan berhenti berdoa di setiap malam kerana pada malam-malam Ramadan itu, ramai malaikat yang mengaminkan doa hamba-hambaNya yang berdoa.

12. Lebih istimewa jika dipilih Allah menemui malam yang padanya penuh rahmat, iaitu malam al-Qadar. Allahumma aaminn. Begitulah, amalan sendiri. Aturkanlah dengan sebaiknya sebelum melangkah ke madrasah Ramadan tahun ini. Berdoalah semoga Allah Taala menetapkan dan memilih kita untuk istiqamah menjalani ibadah dengan sebaik-baiknya.

Kredit: Pakar Diari Hati