Masing-masing pasti ada sejarah lampaunya sebelum berumahtangga. Masa muda dan bujang; waktu itulah diri banyak diuji dengan pelbagai godaan nafsu serakah. Iman masih tipis, pengalaman terlalu cetek, maka ada yang tertunduk dek akal yang singkat.


Namun, makin usia meningkat, makin kita memikirkan masa depan dan mahu melupakan dosa lama dengan membina kehidupan baru. Menjadi kelaziman si bujang mula memikirkan untuk mencari pasangan membina rumahtangga dan keluarga.


Bagi lelaki bergelar gay, mana mungkin membina keluarga dengan pasangan sesama jenis. Jelik dan berdosa besar hukum dalam agama kita. Maka, sama ada secara rela atau terpaksa, mereka perlu berubah untuk kehidupan dan masa depan yang lebih baik dan diberkati.



Ariana Terima Suami Bekas Gay Seadanya


Ariana, seorang eksekutif berusia awal 30 an bertemu semula dengan rakan sekolejnya, Imran di satu majlis perkahwinan sahabat mereka. Mereka kembali berhubungan setelah lama terpisah selepas masing-masing tamat pengajian.


Ketika di kolej dulu, mereka tidaklah rapat sangat. Setakat kenal-kenal di kelas sahaja. Namun, entah kenapa, pertemuan secara tak sengaja lima tahun lalu membekas satu perasaan lain pula. Agak intim dan istimewa.


Lebih mengharukan apabila Ariana yang baru putus tunang bagaikan diberi semangat baru oleh Imran. Dan, Imran pula tanpa segan-silu menceritakan segala-galanya kepada Ariana tentang masa silamnya dan harapannya untuk berubah walau mereka tidaklah rapat mana.


Keikhlasan masing-masing membenihkan rasa ‘chemistry’, simpati dan sedikit sayang. “Sayang tu sebenarnya boleh datang kemudian. Saya percaya, dalam hubungan paling utama adalah kepercayaan dana keserasian,” luah Ariana tentang hubungan pelik mereka pada awalnya.



Kekal Bahagia Dengan Seorang Cahayamata


Dipendekkan cerita, mereka terus bersetuju untuk bernikah setahun selepas pertemuan ini. Kedua-dua keluarga merestui. Walaupun ada kawan-kawan yang ‘berbisik-bisik’ di belakang mereka, Ariana tidak kisah.


Dulu pun, dia pernah bertunang dengan ‘lelaki sejati’. Tiada sejarah gay, normal sebagai lelaki sebenar, namun perangai tetap ‘jahanam’. Kuat cemburu, baran dan cepat naik tangan. Belum kahwin, Ariana dah rasa penampar!


Alhamdulillah, dengan Imran, mereka masih kekal bahagia setelah lima tahun mengemudi bahtera bersama. Dan, Ariana baru sahaja melahirkan anak perempuan comel mereka enam bulan yang lalu.


Walaupun, ada juga sampai ke telinga Ariana tentang usik-usik orang yang mempertikaikan ‘kejantanan’ Imran awal perkahwinan dulu, tapi Ariana tidak ambil peduli. Kalau ditakdirkan mereka tiada zuriat sepanjang perkahwinan, Ariana reda dan sudah lama bersedia sebelum mereka bernikah lagi.



Jangan Ungkit Sejarah Lama


Apabila ditanya bagaimana karekter Imran di rumah? Sambil tersenyum menampakkan lesung pipitnya, kata Ariana, “Imran lelaki yang menyenangkan. Apa dia nak, semua dia buat sendiri, hatta secawan kopi.


Dia tak pernah suruh saya, melainkan saya sendiri yang secara sukarela nak buat. Kerja rumah pun banyak dibantu. Pendek kata, dia lebih banyak main peranan di rumah berbanding saya. Anak pun dia yang rajin laramkan. Hahaha...”


Tambah Ariana lagi, dalam hubungan perkahwinan, kena ada tolak-ansur dan saling menerima kelebihan dan kekurangan pasangan. Paling penting, jangan diungkit-ungkit sejarah lama pasangan terutama yang buruk.


“Fikir masa yang dilalui sekarang dan lihat masa depan. Kita bukan hidup untuk hari semalam. Jadi buat apa rugikan diri dengan banyak buat ‘throwback’? Lagi satu, jangan suka dengar orang cakap. Lantaklah apa orang nak kata di belakang kita. Jangan terkesan,” akhirinya.