Highlights

Jom Mulai Esok, Kita Kurangkan Masa di Dapur, Raikan Pula Ramadan – Seadanya Menu Berbuka, Setahun Tak Jumpa Ni...

gempak
Afiza Kamarulzaman
23/04/2020
02:00 MYT
Sponsor Banner
Jom Mulai Esok, Kita Kurangkan Masa di Dapur, Raikan Pula Ramadan – Seadanya Menu Berbuka, Setahun Tak Jumpa Ni...
Sudah setahun kita tidak jumpa dengan Ramadan al-Mubarak, tentulah apabila ia akan muncul, persiapan rapi sudah dibuat. Hati berdebar-debar bagaikan mahu berjumpa dengan kekasih hati. Allahu, tidak sabarnya mahu melepaskan rindu yang lama terbuku. Lagi pula kita tidak pasti adakah tahun hadapan kita dapat lagi berjumpa denganya? Nyawa kita bukan milik kita. Tiada jaminan untuk kita kata, ‘tak mengapa tahun depan ada lagi’.
Ayuh saudara-saudaraku semua, kita imarahkan bulan yang mulia ini walaupun dalam keadaan terkurung di rumah. Walaupun masjid tidak lagi mampu kita kunjungi, namun besarkan hati kita untuk ‘pulun’ sebanyaknya amal ibadah di rumah sendiri, bersama ahli keluarga atau teman-teman yang sebumbung. Mari kita senaraikan jadual waktu kita dari hari pertama hingga ke 30 Ramadan agar kita tidak kerugian.
Kredit Foto: Google
Kenapa Kena Kurangkan Aktiviti Memasak?
Aktiviti memasak pada kala ini dilihat sebagai aktiviti utama masyarakat ketika PKP ini. Apa lagi yang mahu dibuat, kan dalam keadaan diri terkurung di dalam rumah, tidak boleh ke sana ke sini? Memasaklah aktiviti paling relevan dan menyeronokkan untuk seketika berada di rumah, meraikan selera bersama keluarga. Tidak salah, malah ada pahala untuk yang menyajikan juadah enak-enak buat keluarga.
Namun, kebetulan pula PKP ini juga jatuh pada bulan Ramadan, sudah tentunya inilah hikmah terbesar yang sengaja Tuhan turunkan untuk umat Nya. Nah, sudah puas lebih 35 hari kita meraikan keluarga dengan sajian enak dan meriahkan dapur dengan pelbagai resipi baru, apa kata kita ‘reserve’ untuk sebulan ini rutin kita lebih tertumpu pada amal ibadat kerana ganjaran pahalanya berganda-ganda berbanding bulan-bulan lainnya.
Memasak yang beria-ia itu, kita ‘hold’ dulu untuk Hari Raya nanti. Waktu itu, bolehlah kita gerakkan balik jentera dapur kita dengan pelbagai menu meraikan hari kemenangan itu. Manalah tahu, kemenangan berganda akan kita raikan andai kita menang melawan wabak Covid-19 itu pada 1 Syawal nanti. Lagi pula, dibimbangkan jika terlampau banyak tenaga dihabiskan dengan duduk di dapur, kita akan keletihan untuk fokus pada ibadat nanti. Jadi, anda lebih tahu kemampuan diri setakat mana, kan?
Kredit Foto: Google
Ayuh, Banyakkan Amal Ini Ketika Ramadan:
  • Solat tarawih yang boleh dilakukan di rumah bersama suami dan anak-anak.
  • Solat sunat lainnya seperti dhuha, taubat, witir, tahjud dan sebagainya.
  • Membaca Quran dengan menyasarkan untuk khatam sebaik habis Ramadan.
  • Basahkan lidah dengan zikir dan selawat walau pada ketika duduk-duduk saja.
  • Sedekah dan mendermalah
  • Jaga lidah dan kata-kata walaupun pada tulisan di media sosial
  • Kawal kemarahan, banyakkan beristigfar, sabar dan berfikir yang baik-baik
  • Lipat gandakan beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan. Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah saw apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadan, diimarahkannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
  • Banyakkan berdoa
Kredit Foto: Google
Semoga Berkat Amal Ramadan Ini Menamatkan PKP
Inilah kebetulan yang sangat indah apabila PKP jatuh ketika bulan Ramadan. Ambillah kesempatan ini untuk memanjatkan doa setiap hari sepanjang berpuasa dan sebelum berbuka puasa untuk memohon kepada Allah swt agar wabak Covid-19 ini dibawa pergi dari muka bumi ini. Mohonlah kepada Allah agar negara kita kembali aman dan selamat dari wabak penyakit berbahaya.
Sesungguhnya doa di bulan Ramadan ini sangat mustajab. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.” (HR Ibnu Majah). Dan, sudah dinyatakan bahawa sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin. Jadi, mengapa kita sia-siakan senjata paling tajam ini?
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live