Bermula setiap Selasa jam 9.30 malam, watak Kak Kek menemui peminatnya di saluran Astro Naura. Kak Kek Ke Kelate, sebuah rancangan travelogue terbaru yang turut memuatkan pengisian olahan resipi lebih sihat bakal menjadi satu lagi tarikan penonton. Bercakap tanpa henti, dengan imej tudung senget dan kecoh adalah antara kelainan yang ditampilkan pelakon Catrional Brian Ross. Satu sisi yang jarang kita lihat di kaca televisyen sebelum ini sepanjang penceburannya dalam dunia seni. Ikuti temubual InTrend bersamanya.


Kongsikan serba sedikit mengenai rancangan 'Kak Kek Ke Kelate' yang dihoskan Cat?
Ia adalah sebuah rancangan travelogue yang juga menggabungkan segmen memasak dalam masa yang sama. Bersiaran setiap Selasa jam 9.30 malam di saluran 109, Astro Naura.


Kredit Foto: Astro Naura

Apa yang menarik dan berbeza dengan program food hunting yang lain?
Saya berpeluang menerokai tempat-tempat makanan menarik sekitar Kelantan. Tak kiralah di ceruk mana sekalipun, baik di bandar mahupun di kawasan perkampungan saya dan kru produksi akan terjah ke lokasi atau port makanan yang sedap. Seperkara lagi yang membuatkan rancangan ini unik adalah, kami tidak pergi ke kafe atau restoran yang tampak instagrammable atau classy. Di situlah Kak Kek menemubual dan beramah mesra bersama pemilik kedai dan orang kampung. Apa jua makanan yang sedap, Kak Kek akan memasaknya semula dengan olahan resipi dan cara memasak yang lebih sihat apabila pulang ke Kuala Lumpur. Dia juga berkongsi dan mencadangkan bahan atau sumber makanan untuk diganti dengan ramuan asal yang mungkin kurang sihat. Itulah yang menariknya mengenai rancangan ini. Bukan sahaja Kak Kek seronok mengembara dan membawa penonton menerokai pelbagai makanan menarik di Kelantan. Tetapi di penghujung rancangan ada pengisian tentang resipi dan kaedah memasak menu yang lebih sihat untuk dicuba semua. Dan juga ada beberapa slanga atau dialek Kelantan yang turut diajar Kak Kek dalam setiap episod. Haaa, menarik kan!


Pertama kali menjadi hos, apa perasaan Cat? Dan bagaimana pihak produksi Naura menyunting Cat sebagai teraju utama rancangan ini?
Oh, pastinya saya teruja dan amat gembira apabila diberi peluang ini. Tapi apa yang lebih membanggakan saya adalah pihak Astro Naura dan Astro sendiri berminat dan tertarik setelah mengenali watak Kak Kek dari Patani yang saya bawakan semasa waktu PKP pertama dahulu. Ia adalah satu alter ego yang saya cipta kerana semasa itu kita semua sudah mula duduk dirumah selama dua minggu. Kemudian saya muat naik karakter ini. Daripada situ sambutan yang diterima amat memberansangkan. Netizen sangat menggemari waktak Kak Kek.

Kredit Foto: IG Catriona Brian Ross

Saya tampilkan Kak Kek dalam versi wanita yang sedikit berusia, berasal dari Patani, pakai tudung pun senget (asal boleh saja) tetapi rupa-rupanya Kak Kek dekat dihati netizen. Dan pada hemat saya, netizen lebih senang dengan elemen yang tampak real dan bukannya terikat dengan satu karakter yang berpenampilan cantik dan bergaya. Malah bagi netizen, watak Kak Kek ini sangat jujur dari pandangan mereka.


Pihak Astro sudi untuk menerokai dan mengenal lebih mendalam watak Kak Kek yang loud, bagaimana dia sangat kreatif dalam memberi nasihat kepada netizen. Dan mereka panjangkan permintaan kepada pihak produksi untuk jayakan rancangan 'Kak Kek Ke Kelate'. Sejujurnya saya amat berbesar hati dan tak menyangka diberi peluang sebesar ini.


Selain itu, banyak pengalaman yang saya belajar daripada mengemudi rancangan ini. Pertamanya tentang bagaimana apabila anda berjaya tampil dengan idea dan cipta sesuatu yang menarik tetapi dalam masa sama memberi manfaat kepada orang ramai. Ia umpama mengubah hidup anda dalam sekelip mata. Alhamdulillah, kerana tempias ini saya diberi peluang dan rezeki yang melimpah sana-sini. Ada saja undangan, shooting dan sebagainya. Dan syukur, kerana walaupun dalam tempoh atau saat kita semua diuji dengan pandemik Covid-19, masih ada ruang lagi untuk kita tenangkan minda, rehat sebentar daripada terlalu memikirkan segala perkara dengan mengenali watak Kak Kek ini.

Kredit Foto: IG Catriona Brian Ross

Mungkin ada cabaran atau pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang melakukan penggambaran?
Pertamanya seronok dan tak sangka bagaimana satu watak atau alter ego yang saya cipta sendiri semasa PKP diangkat ke layar yang lebih besar. Misalnya daripada platform media sosial ke skrin televisyen. Ia bagaikan satu karakter yang sangat dinanti-nantikan penonton dan netizen. Dan dari satu perspektif lain, saya juga tidak sabar nak tahu apa reaksi penonton selepas menonton rancangan ini.


Tempoh penggambaran berapa lama? Dan apa kekangan sepanjang lakukan penggambaran waktu PKP ini?
Kami hanya melakukan penggambaran selama tujuh hari sahaja. Tetapi jadualnya amat padat hinggakan saya dan kru terpaksa melakukan sesi penggambaran ke tiga lokasi dalam satu hari yang sama kemudian kami bergerak balik ke Kuala Lumpur semula. Dan di KL, penggambaran masih diteruskan apabila saya perlu memasak tiga menu dalam satu hari untuk versi menu yang lebih sihat. Dan sekarang dalam waktu PKPB kami masih menjalani penggambaran seperti biasa. Cuma semua SOP tetap dipatuhi semua kru yang terlibat.

Kredit Foto: Astro Naura

Kenapa semua mesti tonton 'Kak Kek Ke Kelate'?
Ia akan membuatkan anda betul-betul terhibur menonton bagaimana kecohnya Kak Kek mencari lokasi dan tempat makan yang sedap di Kelantan. Dengan tiada rasa segannya, tanpa perlu bertutur dengan bahasa yang proper, dia akan redah semua tempat. Sama ada sedap atau tidak, dia jujur dengan pendapatnya. Lebih menarik, dia akan memasak semula menu-menu tertentu dengan cara yang lebih sihat. Kalau tak tengok memang rugi!