Tidak dinafikan aspek akademik hari ini sangat penting untuk memastikan masa depan seseorang itu lebih terjamin kelak. Namun, ia bersifat subjektif. Ia bukanlah ukuran tepat pun untuk memastikan seseorang itu akan berjaya dunia dan akhirat.


Namun, jika seseorang itu mampu mendapatkan keputusan yang baik dalam akademiknya, ia sesuatu yang sangat bagus untuknya mendapatkan pekerjaan atau kehidupan yang baik kelak. Tapi, sekali lagi diingatkan ia bukan ukuran tepat untuk beroleh kejayaan.


Bukan juga pemutus muktamad mengesahkan kejayaan seseorang itu untuk selama-lamanya. Kita harus faham objektif menuntut ilmu terutamanya ilmu persekolahan sekarang ini. Belajar bukan semata-mata untuk beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.


Tujuan sebenar persekolahan dibina oleh kerajaan adalah untuk memastikan rakyatnya tidak ketinggalan dalam kemajuan dunia juga tidak kecundang dalam mengejar akhirat. Kerana itulah, subjek dalam persekolahan dipebagaikan. Lengkap untuk rohani dan jasmani.


Fahami Konsep Menuntut Ilmu


Ibu Ayah seharusnya tetapkan dalam minda bahawa anak-anak dihantar ke sekolah bukanlah semata-mata mahu anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya. Dari dulu lagi ibu bapa terlalu bersandarkan keputusan di atas kertas sebagai cara mengukur kejayaan anak-anak.


Inilah silapnya dan menyebabkan tujuan menuntut ilmu itu sudah terpesong jauh. Maka, apabila anak-anak gagal merealisasikan apa yang ibu ayah harapkan, kekecewaan berlaku dan terus menjadi kata putus yang anak itu gagal selamanya.


Sebab itu akan ada ibu bapa yang cakap, “Anak saya yang ini pandai sikit belajarnya. Adiknya ni ‘slow’ sikit, duduk pun kelas belakang.” Inilah kenyataan pembunuh nombor satu untuk anak-anak berjaya dalam hidupnya.


Konsep anak-anak dihantar ke sekolah adalah untuk ‘memanusiakan’ diri mereka. Pengukur keputusan pepeiksaan hanyalah penutup apa yang telah mereka belajar tapi bukan pengukur keseluruhan kebijakan anak-anak.





Kredit Foto: Google



Jangan Terlalu Bergantung Pada Keputusan SPM


Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM adalah peperiksaan paling besar bagi setiap pelajar. Inilah penentu hala tuju anak-anak dalam menentukan ke mana mereka akan pergi atau kerjai apabila tamat pengajian kelak.


Adakah mereka layak untuk meneruskan pengajian di menara gading? Atau tersekat hanya di level SPM saja. Kemudian, pergilah mencari pekerjaan yang ‘biasa-biasa saja’. Kawan-kawan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sana sini dianggap berjaya dan bakal mengharumkan nama keluarga.


Bukan begitu cara berfikir tentang kejayaan dan masa depan anak-anak. Ibu bapa seharusnya bersedia untuk menerima apa saja keputusan yang anak-anak bawa balik nanti. Tahap kecedikan seseorang juga berbeza.


Gagal dalam akademik bukan bermakna gagal secara keseluruhan. Otak kita pun ada bahagian-bahagian yang memandu seseorang itu pakar dalam sesuatu bidang. Ada yang hebat dalam kira-kira tapi tidak arif tentang bahasa.




Sokong Anak Yang Gagal SPM Ke Bidang Lain


Jangan tambahkan tekanan dan kekecewaan anak-anak yang gagal dalam keputusan SPM dengan menghentamnya lagi. Terima apa juga hasilnya dengan hati terbuka dan minda positif. Sebagai ibu bapa yang matang, sepatutnya memberi kata-kata semangat.


Bangunkan anak-anak yang gagal dalam SPM dengan memberikan panduan lain yang lebih baik dan buat dia berasa masih ada sinar di depannya. Tanyakan apa minat dan peracangannya selepas ini?

  1. Adakah mahu mengambil sekali lagi peperiksaan SPM itu?
  2. Mahu mencuba permohonan ke universiti atau kolej mengikut kesesuaia keputusannya?
  3. Atau adakah dia berminat ke insititusi kemahiran? Seperti belajar memasak, mekap, perlandangan dan sebagainya?
  4. Kalau dia minat berniaga, dorong dia untuk memulakannya. Skil berniaga ini sagat bagus diterapkan pada usia muda. Ternyata, ramai usahawan berjaya bukan dari latar belakang akademik yang baik.
  5. Mencari pekerjaan sementara? Atau terus bekerja tetap?



Kredit Foto: Google



Jangan Berhenti Melakukan Sesuatu


Apa pun perancangannya nanti, pastikan anak-anak ini tidak ‘stuck’ atau hanya mendiamkan diri kerana terus dihambat rasa kecewa. Beritahu anak-anak bahawa masa tidak menunggu kita. Duduk diam tidak berbuat apa-apa adalah kerugian terbesar, lebih besar dari mendapat keputusan corot dalam SPM.


Maka, terus saja suruh anak-anak ini ‘move on’ dan mula merencana apa yang ingin dilakukannya selepas ini. Pada usia inilah, anak-anak harus ligat merancang masa depan agar hasilnya dapat dituai secepat mungkin.

Masa ini jugalah kematangan dan proses pembelajaran bermula. Makin banyak yang dijelajah, makin banyaklah peluang pengalaman diperolehi. Daripada situlah, anak-anak mula belajar tentang kehidupan.


Inilah pembelajaran sebenarnya. Bukan hanya di alam persekohan dahulu.

Semoga ibu bapa menjadi ibu bapa yang sentiasa positif dan menjadi tulang belakang anak-anak. Jangan berhenti berdoa buat anak-anak walaupun nanti keputusan SPM mereka tidak secemerlang yang diharapkan.