Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kalau Dah Namanya Mak Tu, Memang GIGIH dan Rajin Demi Kesenangan Anak-Anak – Patutlah Mak-Mak Kita Supermom!

Huda Hussain
11/01/2020 14:33 MYT
Benarlah pengorbanan ibu sememangnya tiada galang gantinya. Lihat saja persiapan ketika sesi persekolahan baru bermula. Boleh dikatakan kaum ibulah yang sibuk uruskan segala. Terutamanya bagi anak-anak darjah satu yang baru memasuki alam perserkolahan. Ops, bukan mahu mengenepikan kaum bapa tetapi realitinya adakah bapa-bapa yang sanggup bangun seawal jam empat ke lima pagi semata-mata mahu memasak bekalan untuk anak? Kalau ada memang kami tabik springlah!


Kredit Foto: Google

Dan lebih mengagumkan apabila ia dilakukan oleh kaum ibu berkerjaya. Penulis sendiri boleh membayangkan bagaimana suasana awal pagi kaum ibu bergelut mahu kejutkan anak, pastikan anak siap memakai baju, ingatkan anak-anak supaya mendirikan solat, memasak untuk sarapan dan macam-macam lagi. Pendek kata, kalau mahu disenaraikan setiap satu, memang tak menang tangan dibuatnya.


Kredit Foto: Google
Kemudian bergegas pula meredah kesesakan lalu lintas ke pejabat. Dan usai pulang dari pejabat, masih lagi perlu memasak untuk makan malam, ajar anak siapkan kerja sekolah, mana lagi mahu uruskan rumahtangga. Ohoi… Memang penat! Mungkin pada mulanya agak kelam kabut tetapi jika ditanya kepada para ibu yang sudah biasa dengan rutin ini, pasti senang saja kan? Apa yang penting adalah pengurusan masa yang bijak dan sistematik. Bagaikan setiap minit itu berharga bagi para ibu. Kerana kalau terlewat bangun, lintang-pukanglah jawabnya! Percaya atau tidak, rutin inilah yang dilakukan mak-mak kita dahulu sewaktu kita mula bersekolah. Dan kini giliran kita pula merasai dan melaluinya.


Kredit Foto: Huda Hussain


Sejujurnya kami sanjungi kegigihan kaum ibu yang melunaskan segala. Daripada sekecil-kecil melekatkan tanda nama anak pada alat tulis, labelkan tag pada helaian baju sekolah dan kasut, membalut buku semuanya menuntut pengurusan masa yang baik. Hinggalah kaum ibu sendiri menemui kaedah menyusun buku dengan memasukkan ke dalam fail mengikut subjek dan hari. Dan semua itu dilakukan demi memudahkan anak-anak.


Kredit Foto: Google

Peranan kaum bapa pula bagaimana? Takkanlah selamba sahaja atau buat-buat tak nampak asyik dengan telefon bimbit atau senang-lenang tonton televisyen tanpa rasa bersalah? Kasihanilah pasangan anda. Ya, bukan anda seorang sahaja yang penat bekerja, tetapi tugas isteri itu bagaikan berganda penatnya. Tak habis dengan tugasan pejabat, di rumah masih lagi perlu berkhidmat. Jadi, beri sokongan dan hulurkan bantuan. Alah, tak susah manapun. Mulakan dengan tugas-tugas ringan seperti membasuh dan menyidai baju, mencuci pinggan atau paling tidakpun urut dan picitlah isteri itu cik abang oi! Apa yang penting adalah persefahaman dan fahami tanggungjawab masing-masing.

Kredit Foto: Google

Anak-anak buat apa? Balaslah setiap keringat dan pengorbanan ibu bapa kalian dengan belajar bersungguh-sungguh. Percayalah, semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Sentiasa dititipkan dalam doa agar anak-anak membesar dengan baik dan sihat, dibukakan pintu hati seluas-luasnya untuk menimba ilmu, diberi kelapangan fikiran untuk memahami apa yang diajarkan dan pelbagai lagi. Semuanya baik-baik yang dimohon kepada-Nya. Insya-Allah dengan ikhtiar dan usaha ibu bapa juga anak-anak sejahteralah semuanya.
#Anak #Rumahtangga #Ibu Bapa
;