Highlights
“Kalau Ditakdirkan Kami Tak Ada Duit, Saya Akan Bawa GRAB. Apa Nak Malu, Tutup Muka, Bukan Orang Kenal” - Black
Dalam situasi sekarang ini, ramai terkesan dengan pengumuman PKP yang berlangsung bulan demi bulan. Black yang diundang sebagai tetamu Rumah No.107 malam ini turut membincangkan isu itu dan bersimpati dengan nasib kebanyakan orang yang hilang pekerjaan dan pendapatan.
“Saya paling terkesan melihat pekerja buruh. Sebagai contoh abang saya sendiri yang bekerja sebagai pemandu. Dah beberapa bulan dia tak ke tempat kerja, gaji juga dibayar separuh saja. Saya pernah cakap dengan isteri kalaulah ditakdirkan kita diuji dengan kesempitan hidup, saya mungkin akan bawa grab. Apa nak malu, tutup muka, bukan orang kenal,” ujarnya.
Dalam rancangan itu juga, Black turut berkongsi cerita bagaimana dia bermula sebagai penyanyi. Black antara artis yang bermula dengan pertandingan nyanyian dan selalu ke program uji bakat. Antara yang paling diingati pastinya pertandingan yang menjadikan penyanyi Mas Idayu mentornya.
“Mummy Mas Idayu banyak ajar saya cara untuk ‘feel’ dalam nyanyian. Dia memang garang seperti yang kita dapat tengok. Saya ni pula jenis tepu, memang susah nak faham. Pakai rotan pun tak berkesan. Saya pernah kena ‘terajang’ tau. Hahaha... Itu gurauan antara saya dan dia. Pesan Mummy, kalau dah jadi artis nanti, jangan lupa dari mana kau datang, jangan lupa diri,” cerita Black.
Pernah ‘Down’ Apabila Rupa Paras Jadi Ukuran
Black juga menceritakan bagaimana dia berasa sangat ‘down’ dan hampir putus asa untuk menjadi penyanyi apabila pernah ‘disindir’ ketika pergi ke satu sesi ujibakat. Dalam keadaan ‘innocent’ dan jujur untuk mempertaruhkan bakat yang ada, Black pun turut serta dalam satu uji bakat.
“Sampai saja di depan juri, orang tu cakap, “awak tahu kan kami ni jual produk. Awak memang tak pernah pakai apa-apa produk kat muka awak ke?” Kata-kata itu menikam! Saya terus lihat muka saya di depan skrin tv di depan saya, terserlahlah jerawat batu saya waktu tu. Balik rumah terus saya baring dan merenung diri. Memang saya tak akan ada harapan nak jadi penyanyi,” kongsi Black sambil tertawa.
Namun, ternyata hari ini, Black membuktikan persepsi ‘jual muka’ bukan faktor utama dalam perjuangan bakat anak seni. Kejayaan Black hari ini seharusnya menjadi satu kebanggaan buat dirinya yang bermula dari bawah.
Dan, banyak lagi yang dikongsikan Black dalam program Rumah No.107 di Astro Wrana setiap Jumaat, jam 9 malam. Kisah kutukan orang terhadap anaknya, pengorbanan isteri dan bagaimana dia membelanjakan wang kemenangan RM100,000 dalam pertandingan yang pernah disertainya.
Must-Watch Video