Personaliti

“Kalau Kita Hidup Atas Pujian Makhluk, Agak-Agak Nabi Nak Tolong Tak? Dengar Tu, Berubah Hidup Saya.” – Nabil Ahmad

gempak
Huda Hussain
16/04/2021
06:42 MYT
Sponsor Banner
“Kalau Kita Hidup Atas Pujian Makhluk, Agak-Agak Nabi Nak Tolong Tak? Dengar Tu, Berubah Hidup Saya.” – Nabil Ahmad
Berkongsi pengalaman masing-masing sepanjang mengacarakan rancangan ini, bagi Nabil dan Neelofa keduanya punya rasa dan aura yang sukar digambarkan. “Kita sendiri belajar daripada program ni. Dengan tetamu jemputan terdiri daripada barisan ustaz dan ustazah, saya sangat hargai peluang yang diberi. Lepas habis shooting balik ke rumah rasa recharge, refresh. Alhamdulillah. Anda yang tonton pasti suka. Sangat berbeza” ujar Neelofa.
Kredit Foto: Astro Ria
Jujur saya cakap “Tak pernah lagi kita buat program, kita balik rasa penat. Tapi rasa lega, lapang dada. Memang lain,” ulas Nabil pula. Sukar bagi keduanya menggambarkan kenikmatan dan kemanisan hidayah yang dikecapi. Tidak mampu terluah dengan kata-kata. Hanya yang pernah memiliki dapat merasainya. Itu yang diceritakan Nabil dan Neelofa kepada kami. Tidak terasa 40 minit duduk mendengar penuh tekun kisah mereka yang sarat inspirasi.
Perbezaan daripada Meletop dan N to N? Nabil: Ya Allah banyak bezanya kak, macam langit dan bumi. Bagi saya, kami perlu tukar medan ini yang dulunya memang 100 peratus unsur hiburan tapi sekarang kita nak beri dan kongsi ilmu agama. Ada manfaatlah disitu untuk semua. Neelofa: Besar harapan kami kalau dapat bawa penonton Meletop ke N to N. Sebab kalau ikutkan yang tonton Meletop dari kecil sampailah orang tua. Jadi benda yang sama kami harapkan untuk program ini.
Maknanya tidaklah kerana program ini berunsurkan keagamaan, ilmiah kalian mahu tarik golongan tertentu sahaja untuk tonton kan? Neelofa: Ya, betul dengan tajuk yang kita letak N to N ini tak terlalu islamik sangat, lebih kasual dan dekat dihati penonton. Dan bukannya untuk tarik kelompok tertentu semata-mata. Jadi kita harap mereka yang menonton juga ada mereka yang tak pernah belajar agama, yang tak pernah pergi kelas usrah ke atau mungkin yang tak pernah dengar ceramah ke akan terbuka hati mereka. Nabil: Sebab semestinya penghijrahan Neelofa ini akan ada yang kongsi ‘Kak Lofa saya ada sedikit perubahan selepas tengok Kak Lofa’. Dan macam saya pula, feedback yang sama saya dapat. Bila saya keluar, ‘Saya dulu tak pernah tahu pasal khuruj, tabligh ni semua. Tapi bila tengok Abang Nabil yang video dengan Khuzairi tu tersentuh.’ Jadi pada saya, mengapa tidak saya manfaatkan peluang ni supaya lebih ramai lagi yang kita boleh sentuh.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Bagaimana Lofa melihat penghijrahan Nabil dan Nabil kepada penghijrahan Lofa? Neelofa: Sejujurnya bila saya tengok Nabil ikut jemaah Tabligh, saya bangga sebabnya saya ada seorang lagi rakan selebriti yang mempunyai pengaruh yang besar untuk memberi inspirasi dan juga sebarkan dakwah kepada ramai orang di luar sana. Kalau kita tengok sebelum ni, penghijrahan artis-artis lain mungkin tersendiri. Dan saya pun tak terkecuali. Rasa macam seorang diri, tak cukup lagi, tak kuat lagi. Tak ada geng lah bak kata orang. Tapi bila saya ada rakan selebriti turut sama dalam landasan yang sama, saya rasa ‘sayap’ kita dah semakin membesar. Dan kita dapat buat pula program macam ni, kita ada sokongan yang cukup. Saluran Ria pula kita dapat sebagai platform, memang rezeki yang besarlah. Nabil: Saya tengok penghijrahan Lofa, saya tahu perubahan dia bukan sahaja perubahan dari segi fizikal macam ni tetapi dia berubah dengan ilmu. Saya mungkin antara orang yang paling lama bekerja dengan Lofa. Jadi kalau tengok semula, kami dah bergandingan bersama sejak dari pilot episode (2012) dan kemudian kita dah buat berapa ratus episod bersama. Jadi perubahan demi perubahan, Alhamdulillah. Kami ni macam membesar sekali dan untuk itu saya sangat bersyukur untuk adik saya ni. Dan selepas dia berubah tu, jujur saya cakap bukannya saya join Tabligh ni sebab ‘Oh Lofa dah berubah aku bila lagi’. Memang tak pernah sekalipun terlintas macam tu. Saya lalui hidup seharian macam biasa tapi Subhanallah… Waktu tu, Masya Allah… Susunan Allah memang cantik. Tak pernah dirancang dan dia pun tak pernah cakap pada saya ‘Kau bila nak berubah? Kita ada program ni’. Memang tiada. Umpamanya, perasaan syukur saya itu, Allah tak tinggalkan saya. Allah beri hidayah pada Lofa dan diberi kenikmatan yang sama untuk saya. Allahu Akbar. Kita minta supaya kekal di jalan ini dan terus istiqamah. Doa-doa daripada orang ramai sangat penting dan kami mohon doa-doa daripada orang soleh untuk kami. Insya-Allah. Neelofa: Daripada lapan tahun kami diletakkan di program berbeza dan kebetulan Allah gerakkan hati kami kebetulan pada waktu yang hampir sama, kita bertukar arah sedikit dan dapat disatukan kembali dalam rancangan ini. Bayangkanlah lapan tahun juga kami bersama, saya percaya mesti ada doa-doa orang di luar sana yang mendoakan kami berdua dan mungkin dikabulkan Allah untuk kami sampai ke hari ini.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Kalau dilihat dari mata kasar, secara peribadi penghijrahan ini Neelofa lebih terbuka untuk berkogsi. Berbanding dengan Nabil yang dulunya kami cuba untuk dapatkan komen tapi Nabil enggan berkongsi cerita. Neelofa: Saya nak buat sedikit pembetulan mengenai foto yang dikatakan sebagai pengumuman saya sudah berniqab. Sebenarnya itu adalah komitmen untuk Swarovski dan saya lebih awal rakamkan foto itu. Ada dua foto diambil, satu yang berniqab dan satu tanpa niqab. Dan selepas saya nekad untuk berniqab, tak sangka pula foto itu tular dan saya tak kongsikan secara terperinci dengan mana-mana pihak. Kerana bagi saya ia terlalu peribadi. Nabil: Mengenali Neelofa, saya tahu kalau dia berubah hatinya tetap. Tapi dalam situasi saya, saya takut bila saya berkongsi benda itu tak lama. Saya penah melalui proses itu apabila isteri saya bertudung tapi lepas itu kejap buka. Dan saya menjawab persoalan daripada media tentang itu. Tapi kali ini bila difikirkan balik, pada saya kita tak boleh campur adukkan soal agama. Ia bukanlah satu perkara untuk disensasikan. Bila dapat, kita rasa sendiri. Dan kita buat untuk diri kita sendiri. Dalam masa sama, bila kita nak mengajak orang kita tak boleh guna platform macam saya lebih suka berjumpa dengan orang. Ceritakan apa yang saya alami, perubahan yang saya rasai. Saya faham industri kita, bila media nak interview saya katakan tunggu, nanti. Tak bersedia lagi sebabnya saya nak kuatkan asas yang baru saya belajar ini.
Apa cabaran paling besar apabila kita sudah tekad berhijrah tapi masih terlibat dalam dunia seni (secara langsung atau tak)? Nabil: Saya beri contoh, bila kita iklankan sesuatu misalnya konsert. Dalam konsert itu banyaklah acaranya itu dan ini. Yang mengiklankan ini perlu tanggung mereka yang datang. Bayangkan. Tapi kita nak terus berada dalam industri sebab inilah medan kita. Ustaz di luar tak boleh nak masuk atau datang dan tarbiahkan kenapa kita perlu kenal Allah, kenapa kita kena sayang Nabi misalnya. Jadi bila ada kekuatan inilah yang kita perlu berjuang. Maksudnya, kita perlu bawa suasana yang kita belajar ini ke dalam industri hiburan kita. Dan saya sedang mencuba untuk mengajak rakan-rakan selebriti. Tak semestinya berada dalam industri hiburan, kita tak ingat Allah. Sedikit demi sedikit Allah akan tunjukkan kita jalan yang benar dan Allah akan beri hidayah kepada kita semua.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Bagaimana pula dengan pandangan yang mengatakan selepas berhijrah tetapi masih dalam industri, seolah-olah tak sempurna penghijrahan itu. Sebab ada sesetengah artis yang bila berhijrah, mereka tinggalkan terus dunia hiburan. Tetapi ada pula yang kecam, komen dunia hiburan. Komen? Neelofa: Masing-masing ada situasi yang berbeza. Kalau kita nak cari yang tempatnya benar-benar suci, halal dan bersih susah juga. Dan macam mana kita nak bersihkan atau memperbetulkan keadaan itu? Jadi pokok pangkalnya kita perlu bersangka baik. Janganlah terlalu mudah mencari salah hingga kita melupakan kebaikan yang pernah dilakukan seseorang. Nabil: Ustaz Don kata tengok semua benda gunakan mata lebah. Semua jadi bunga, madu dan manis, semuanya elok-elok saja. Jangan tengok guna mata sampah. Yang tak elok saja pada pandangan kita. Buatlah apapun semua jadi tak elok. Seperkara lagi, orang-orang yang sudah diberi hidayah ini apabila mereka tinggalkan terus industri hiburan, habislah rakan-rakan industri hiburan kami. Jadi kita perlu raikan mereka sambil sesekali atau perlahan-lahan ingatkan mereka siapa yang beri kekuatan, kelebihan berjaya dalam industri. Selain ingatkan mereka, kita juga sebenarnya ingatkan diri sendiri. Yang diberi hidayah itu mengecam lalu menghina industri hiburan. Pada saya mengapa perlu berkata demikian? Selepas sekian lama berada dalam industri, cari rezeki dengan duit ini, diberi makan anak isteri lalu dihina pula? Jadi bagaimana kami yang masih berada dalam dunia ini? Takkanlah pula setiap hari kami perlu dirundung rasa bersalah, rasa bagaikan tak halal cari makan dalam bidang ini? Hidayah itu milik Allah, Dia boleh beri kepada sesiapa yang Dia mahu dan berkehendak. Dan bagi kita yang sudah memilikinya, bagaimana pula kita mahu ‘eksploitasikan’ dengan cara yang betul? Kalau simpan untuk diri sendiri tak boleh juga. Sebab itulah kita perlu kongsi dan sentiasa sampaikan.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Antara tekanan atau tanggungjawab paling besar selepas berhijrah? — Mungkin ada orang yang tunggu masa saja nak cari silap kalian? Atau tanggungjawab menjadikan kalian ikon? Neelofa: Sebenarnya kita jangan fikir pasal orang. Fikir dan perbaiki diri sendiri terlebih dahulu, tambah ilmu dan sebagainya. Tengok diri sendiri sebelum sibuk fikirkan orang lain. Kalau kita tengok di luar, harapkan pujian orang pada saya itu semua penat. Takkan habis dan hinggakan kita tak tahu apa yang kita kejar sebenarnya. Apabila kita perbaiki diri, secara tak langsung Allah akan aturkan perjalanan hidup kita dengan lebih baik. Kita akan dikelilingi orang-orang yang sentiasa mendorong kita menjadi lebih baik. Waktu saya mula nak berjinak-jinak dengan niqab, kita tak familiar sebenarnya dengan perihal niqab ini. Bahkan ada yang mungkin menganggap niqab ini sesuatu yang serius, ekstrim. Dan saya dah bersedia jika ada yang beranggapan sebegitu. Malah kalau kurang followers ke, atau jenama dah tamatkan kontrak dan sebagainya saya memang dah bersedia. Tapi Alhamdulillah disambut baik ramai orang. Nabil: Pada saya kalau kita tengok Lofa dah berniqab, berusaha menyempurnakan dirinya mestilah asbabnya dia buat kerana Allah. Bukannya kerana orang, nak orang sensasikan itu dan ini. Perancangan Allah tetap yang terbaik. Jadi kita perlu tengok apa yang Allah suka dan kita perlu belajar. Bukan ikut apa yang orang suka. Dan orang yang mula-mula tengok kita lalu berkata ‘Uish dia dah berubah. Aku kena berubah jua’ tapi dia sendiri perlu sedar dan ingat yang dia berubah bukan kerana kita. Kita cuma jadi asbab dia dibukakkan pintu sedikit saja selebihnya dia sendiri perlu cari Allah. Kenapa aku berubah? Aku berubah sebab nak dapat reda Allah sebenarnya. Dan kalau kita Allah uji balik semula kepada kehidupan lalu atau sikap yang lama, dan kalau dia juga ikut maka perlu sedar bahawa dia berubah bukan kerana Allah tetapi kerana makhluk.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Bagaimana terdetik hati Nabil untuk sertai Tabligh? Saya terpesona kerana melihat akhlak kawan-kawan saya. Saya tak tahu mereka Tabligh tapi cara mereka itu yang membuatkan saya tertanya-tanya. Mereka ikram, buat baik dengan saya hinggakan saya terdetik ‘Eh kenapa baik sangat mereka ni?’ Kita boleh rasa kan, orang buat baik dengan kita ada makna dan orang buat baik kerana Allah. Hinggalah saya terdetik untuk bertanya di mana mereka belajar hal-hal agama ni? Waktu itu Allah berikan hidayah.
Hari pertama Lofa bangun pagi, pandang cermin dan tiba-tiba berkata pada diri nak pakai niqab. Adakah begitu tercetusnya rasa untuk berniqab? Oh, ia bukan jadi macam tu. Dalam proses kita belajar ilmu agama, selepas menghadiri banyak kelas, setelah lebih memahami dan lebih luas pandangan terhadap ilmu agama; saya menyimpan cita-cita untuk berniqab. Tapi bukanlah dalam waktu terdekat. Mungkin beberapa tahun ke depan nanti. Tapi bila lagi kita tahu, faham dan kedudukan saya sendiri. Maksudnya dikenali ramai dan ada kecenderungan untuk mungkin melakukan perkara-perkara yang menjurus ke arah yang kurang baik ini lebih besar disebabkan rezeki atau peluang yang Allah berikan juga. Sebab itu saya ambil keputusan untuk memakai niqab. Mungkin ini cara yang terbaik untuk saya. Ia perlu melalui proses pembelajaran dan bukanlah semudah itu melakukannya tanpa ilmu. Kalau kita melakukan tanpa ilmu, ia takkan kekal. Mulakan dengan mendengar ceramah di YouTube, itu paling mudah. Ataupun boleh sertai kelas online dan paling baik adalah pergi hadiri kelas-kelas fizikal. Belajar dan berguru dengan mereka yang lebih arif.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Apabila menyebut nama Rasulullah SAW, apa perkara pertama yang menyentak hati kalian? Nabil: Ya Allah… Rasulullah penyelamat kita kan. Rasulullah yang akan beri syafaat pada kita di hari Akhirat nanti. Dengan hinanya, lemahnya, dengan tiada apanya saya memang memerlukan syafaat Rasulullah. Selagi saya hidup saya akan buat apa saja untuk dapatkan syafaat Nabi. Saya tak nak masuk neraka kak dan kita semua pun tak nak. Jadi kita kena beriman, tahu azab neraka ni macam mana. Saya tak nak jadi orang yang Allah uji dalam kubur. Alhamdulillah di usia 38 tahun ni, diberi kesempatan saya nak betul-betul jadi orang yang Nabi tolong. Saya pun masih perlahan-lahan belajar. Susah nak cakap tapi once kita dah beriman dengan hari Akhirat, dunia kita dah kemudiankan, dah tak ada apa sangat. Ada seorang ustaz cakap, kalau kita berasa hebat, bangga dengan pujian di Instagram, media sosial misalnya dan kalau kecaman orang buatkan kita rasa terduduk, murung dan kecewa berpanjangan; bermaksud kita tiada iman. Maksudnya kita hidup atas makhluk. Sia-sianya kita hidup atas makhluk. Dan kalau kita hidup atas makhluk, agak-agak Nabi nak tolong tak? Memang taklah jawabnya. Mendengarkan jawapan ustaz itu membuatkan saya terus berubah. Itulah saya selalu cakap, impak media sosial ini kalau kita gunakan dengan cara yang betul memang mendatangkan kebaikan. Syukur kerana itu juga saya berubah hingga ke hari ini. Neelofa: Dunia, harta, kecaman bukan tak perlu ada tapi kita tak pentingkan. Ia bukan lagi objektif utama. Kalau kecaman misalnya, ada yang salah tetap salah, kita minta maaf dan perbetulkan. Tapi untuk kita rasa down, murung, sedih mungkin kita tak perlu. Sebab kita ada objektif lain yang lebih besar. Untuk apa kita ‘melayan’ segala caci maki tetapi kita tidak takut kalau apa kita buat, cara kita bercakap atau apa saja perbuatan mengundang kemurkaan Allah? Allahu Akbar…
Doa kami di InTrend agar kalian terus ustiqamah, terus menjentik hati dan memberi sumber inspirasi kepada segenap lapisan masyarakat, kelompok peminat untuk turut sama melangkah di jalan yang sama. Jangan ketinggalan tonton N To N yang akan memulakan siarannya di Astro Ria dan Ria HD bermula Ahad ini, jam 9. 00 malam. Pengisian yang lebih padat, segar dan pastinya menyentuh hati semua.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live