Pasti ramai rindu untuk menaiki pesawat dalam keadaan pandemik sekarang ini. Kalau pun tidak dapat terbang ke awan biru, dapat masuk ke dalam pesawat ambil bau pun jadilah. Apatah lagi kalau dapat menikmati makanan dan minuman di dalamnya. Memanglah, ada kalanya hidangan itu tidaklah sesedap menu di luar tapi auranya lain macam!


Makan dalam keadaan sempit dengan kerusi tegak sambil dilayani pramugari pramugara sambil melayan layar kecil di depan kerusi, sangat berbeza nikmatnya. Walau menunya terhad tetapi memadai untuk mengalas perut (asalkan kenyang) tetapi jarang dirungut kerana ia tetap menyenangkan penumpang.



Kredit Foto: Google


Pendekatan Baru Singapore Airlines Wajar Dicontohi


Baru-baru ini, syarikat penerbangan, Singapore Airlines mengambil alternatif berbeza rentetan terkesan dengan Covid-19 lalu mengubah servis perniagaannya. Daripada hanya menawarkan khidmat pengangkutan, kini mereka membuka pintu pesawat mereka kepada pelanggan untuk menikmati hidangan seperti sebuah restoran tetapi ini di dalam pesawat!


Lebih 400 pengunjung tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan keselamatan seperti biasa di Lapangan Terbang Changi sebelum menaiki pesawat Singapore Airlines untuk menjamu selera. Syarikat penerbangan gah ini 'merehatkan' hampir semua pesawatnya tahun ini, lantas menawarkan pengunjung menjamu selera di dua pesawat penumpang terbesar di dunia, A380.


Kredit Foto: Google


Walau bagaimana pun, Singapore Airlines masih mempraktikkan SOP ketat kepada pengunjung di mana sebahagian daripada tempat duduk dibiarkan kosong sebagai mematuhi penjarakan fizikal. Suhu dan data pengujung diteliti sebelum mereka dibenarkan turut serta. Begitu juga dengan pemakaian mask dan pencucian tangan.


Pengunjung juga berpeluang menjelajah pesawat dua tingkat itu dan merakamkan gambar kenangan bersama juruterbang dalam kokpit. Kaedah makan dalam pesawat itu terbukti popular dan mendapat permintaan tinggi apabila syarikat penerbangan itu mengumumkan enam sesi tambahan lagi selepas 900 tiket hidangan tengah hari habis terjual dalam tempoh 30 minit ketika sesi tempahan dibuka awal bulan ini.



Kredit Foto: Google


MAS Bila Lagi? Hidangan Apa Ingin Disajikan?


Rata-rata rakyat Malaysia turut teruja dengan idea kreatif Singapore Airlines itu dan berharap syarikat penerbangan Malaysia seperti Malaysia Airlines akan menimbangkan idea tersebut untuk diusahakan di sini juga. Daripada membiarkan kerugian berterusan dan lebih ramai pekerja ditamatkan perkhidmatan, mungkin ini antara langkah yang boleh dicuba.


Aina dari Kuala Lumpur mengusulkan, “Saya amat berharap servis begini turut diadakan di sini menggunakan pesawat yang mungkin sudah lama tidak beropeasi. Pasti menarik dan menjadi buruan ramai kerana rata-rata kita suka pengalaman berbeza dalam menikmati hidangan. Saya harap akan ada Nasi Lemak nanti ya.”



Kredit Foto: Google


Saiful dari Kemamam menambah, “Ia satu idea bernas dan pasti mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia yang memang suka menaiki pesawat. Apatah lagi dalam keadaan sekarang ini, pelancongan kita terbatas. Maka, ini antara usul terbaik untuk bersantai sambil mengambil gambar. Menu? Saya nak Nasi Dagang boleh?”


Zuraidah dari Nilai berkata, “Apabila membaca tentang usaha Singapore Airlines itu saya terus membayangkan MAS juga berbuat yang sama. Dan pastinya saya antara orang terawal yang akan menempah tiket nanti. Ia satu cara terbaik menambah pendapatan dalam keadaan sekarang ini. Kalau ada Roti Canai dalam menu pun menarik juga. Baru Malaysia!”


Rozita dari Ipoh turut menganjurkan, “Lekas-lekaslah bertindak sebelum kerugian bertambah. Dan, ya mungkin menjadikan pesawat sebagai kafe atau restoran adalah cadangan yang baik. Sambil menjamu selera, pengujung boleh mengetahui lebih mendalam sistem di dalam pesawat. Kalau ikut saya, menu yang saya cadangkan seperti Rojak atau Sate.”


Kredit Foto: Google