gaya hidup

Kalau Tak Mampu Berkata Yang Baik-Baik, DIAM Lagi Bagus. Bukan Bermakna Lemah. Tapi Lebih Matang, Bermaruah.

gempak
Huda Hussain
03/12/2021
14:11 MYT
Sponsor Banner
Kalau Tak Mampu Berkata Yang Baik-Baik, DIAM Lagi Bagus. Bukan Bermakna Lemah. Tapi Lebih Matang, Bermaruah.
Media sosial zaman ini bagaikan medan dan tumpuan segelintir daripada kita untuk melampiaskan segala yang terbuku didada. Meluahkan apa yang sudah lama terpendam, menjadi tempat menyebarkan aib, fitnah dan segala macam perihal yang akhirnya membawa kepada perbalahan, ketidak puasan hati, terbit rasa dendam, kecaman dan sebagainya.
Walaupun bukan semua tetapi seakan satu trend ‘tentera netizen’, ‘makcik bawang’ dan bermacam gelaran kepada kumpulan individu yang mudah sekali menjatuh hukum, menghakimi pahala dosa si fulan khususnya jika ada kontroversi atau isu panas. Tidak kiralah sama ada selebriti, personaliti atau bahkan orang biasa turut terkena tempiasnya.
Kredit Foto: Google
Fikir Sebelum Taip Komen Sedangkan dalam agama Islam baginda Nabi Muhammad SAW ada mengajarkan kepada umatnya bahawasanya diam itu adalah lebih baik daripada berkata-kata yang dusta. Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Nawawi memberi komentar, “Hadis ini jelas sekali menunjukkan bahawa seseorang hendaklah tidak berbicara kecuali apabila perbicaraan itu adalah baik, iaitu hal yang telah jelas kemaslahatannya. Dan bila dia masih ragu kemaslahatan tersebut, maka hendaklah dia tidak berbicara.”
Maka apabila kita hendak bercakap, sentiasa hanya bercakap benda yang baik. Kalau tidak ada benda yang baik, dituntut supaya kita diam. Ini bererti, hendaklah kita berfikir dulu sebelum kita bercakap. Bukan cakap dulu baru fikir.
Kredit Foto: Google
Diam Itu Lebih Utama Daripada Berkata Buruk Dan dalam konteks era kini, apa yang kita komen di media sosial khususnya selayaknya dilakukan dengan penuh etika dan berhemah. Jika tidak mampu menyusun ayat atau perkataan yang baik, sebaiknya biarkan sahaja.
Jangan dibiarkan berpanjangan segala kecaman, hentaman, caci maki dan seumpama dengannya. Ia umpama rantaian dosa yang bersambungan tanpa kesudahan. Segala apa yang berkaitan dengan si fulan contohnya terus menjadi bahan dan serbuan untuk dilemparkan dengan kata-kata kesat, hinaan hingga menjatuhkan maruah seseorang.
Apakah ia satu kepuasan apabila dapat membuka aib, menabur fitnah, menyebarkan perkara yang kalian sendiri tidak pasti sahih dan kebenaran tentangnya? Allahu, jika dirasakan ya segeralah muhasabah. Kembali ke pangkal jalan.
Kredit Foto: Google
Ingatlah bahawa sesungguhnya diam adalah paling terbaik. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “...Maka hendaklah ia berkata baik atau diam.”
Ini menunjukkan bahawa perkatan yang baik itu lebih utama daripada diam, dan diam itu lebih utama daripada berkata buruk. Berkata baik dalam hadis ini mencakup menyampaikan ajaran Allah dan Rasul-Nya dan memberikan pengajaran kepada kaum Muslimin, amar makruf dan nahi mungkar berdasarkan ilmu, mendamaikan orang yang berselisih pendapat, berkata yang baik kepada orang lain. Dan yang terbaik dari semuanya itu adalah menyampaikan perkataan yang benar di hadapan orang yang ditakuti kekejamannya atau diharapkan pemberiannya.
Islam menjelaskan bagaimana seharusnya memanfaatkan kedua-dua potensi itu, iaitu bercakap dan diam, agar manusia benar-benar mampu memanfaatkan untuk berbicara sehari-hari sehingga ia menjadi jalan kebaikan bagi penuturnya. Dan kalau tidak mampu, maka lebih baik diam.
Ada yang dengan diam ia menjadi emas, tetapi ada pula dengan diam ia menjadi masalah. Semua bergantung kepada niat cara situasi dikendalikan pada diri dan lingkungannya. Malah lebih penting daripada semua ini ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota badan kita kerana kelak akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan ke semua anggota badan kita, sebagaimana tersebut pada firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya.” (Al-Isra’ ayat 36)
Hikmah Berdiam
  1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah. Menjadi perhiasan tanpa berhias. Membina benteng tanpa pagar. Mempunyai kekayaan budi tanpa meminta maaf kepada orang. Memberi istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal. Menutupi segala aib dan masalah.
  1. Ketahui waktu yang tepat untuk diam dan bila masanya yang sesuai untuk bersuara. Diam boleh menjadi kebiasaan apabila ia diterapkan di dalam diri dan mampu menjadikan kita lebih produktif.
  1. Gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia. Itu lebih memberi manfaat daripada terus-terusan berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.
  1. Diam itu juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan, bahkan merupakan akhlak baik yang mampu mendidik masyarakat daripada terjerumus ke dalam lembah permusuhan dan kekeliruan.
  1. Berdiam diri atau merenung untuk bermuhasabah akan menjadikan kita lebih produktif dalam hidup. Diam bukanlah bermakna kita sama sekali tidak berbicara, memperjuangkan hak dan menegakkan kebenaran serta pendirian. Dalam konteks ini diam dalam erti hanya berbicara jika ada keperluannya. Hal ini kerana diam bukan bermaksud kita kalah tetapi membuktikan kita matang untuk mengalah. Benarlah kata-kata orang bijak pandai bahawa, “Diam itu umpama mutiara, bicara tepat pada waktunya adalah emas permata”.
Sumber: https://www.yadim.com.my/ https://ustazidrissulaiman.wordpress.com/
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live