Melihat angka kes positif yang semakin hari semakin meningkat mendadak menghampiri angka 7,000 bahkan mungkin mencecah 8,000 sudah cukup membuatkan penulis geleng kepala. Risau, bimbang dan takut semuanya menyatu memikirkan sampai bila kita mampu hidup dalam keadaan begini. Benar ada yang menggesa kerajaan supaya melakukan PKP penuh seperti yang dirasai semua semasa PKP 1.0 dahulu.

Kredit Foto: Google

Tetapi dek memikirkan ekonomi, peniaga industri kecil dan sederhana (PKS), sektor mikro ekonomi membuatkan kerajaan meneliti semula garis panduan PKP sekali gus seperti yang semua sedia maklum hanya diperketatkan untuk beberapa perkara.

Sungguh, ada yang menyambut baik kerana pengalaman semasa PKP 1.0 dahulu benar-benar membuatkan mereka tersepit hingga makan pun hanya berlaukkan gula, garam dan nasi. Ya, itu kita akur khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan, miskin bandar dan seangkatan dengannya. Tetapi yang mencetus kemarahan adalah sikap segelintir daripada kita yang masih tidak menyedari betapa bahayanya penularan Covid-19 lebih-lebih lagi dengan penyebaran varian baru.

Kredit Foto: Google

Lihatlah di media sosial umpamanya. Telah sekian banyak tular rakaman video si ibu dan ayah yang tua dijemput menaiki ambulans. Dan destinasi terakhir mereka adalah di perkuburan yang hanya dilihat anak-anak, keluarga terdekat dari jarak jauh. Dek kerana sikap mementingkan diri, gagal mematuhi SOP orang lain yang menjadi mangsa. Sungguh, itu telah tertulis ajal dan maut mereka. Tetapi sebagai manusia waras yang dikurnia akal dan fikiran tidakkah terdetik sekelumit rasa saat melihat paparan video seumpama itu?

Kredit Foto: Google

Media arus perdana juga sudah puas ‘berkempen’ dengan mengingatkan agar semua kekal duduk dirumah. Malah ada yang membuat liputan khas memaparkan betapa sengsara dan teruknya keadaan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bagaimana sakitnya, derita mereka hanya untuk bernafas. Tidak cukup dengan itu, ada wartawan yang mengambil inisiatif menyiarkan laporan dari dalam kontena khas yang menyimpan jenazah Covid-19. Allahu… Tidak insafkah kalian menontonnya? Tidakkah terdetik rasa dihati teringatkan ibu bapa yang mungkin jauh di kampung?

Kredit Foto: Google

Lantas masih lagi mahu berkeliaran di luar tanpa alasan kukuh? Sudah-sudahlah ya. Benar, mungkin kita sudah sedia patuh SOP tetapi dek kerana angkara orang lain terpalit jua kita dengan virus ini. Soal penyakit, sakit apatah lagi kematian bukan main-main ya. Ini soal penyakit yang boleh meragut nyawa dan berkali-kali juga kita diingatkan bahawa Covid ini bukan isu remeh.

Kredit Foto: Google

Marilah kita bekerjasama dan pupuk kesedaran sesama kita. Saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kita jaga kita bukan sekadar satu slogan tetapi peringatan untuk kita terus patuh dengan apa yang sering diingatkan. Kalau tidak timbul kesedaran, disiplin percayalah sampai PKP 20.0 pun kita takkan mampu menang andai ada sikap mementingkan diri, keluar sana sini seolah tidak tahu bahaya penyakit ini. Boleh ya semua?