Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan pelantikan Profesor Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 31 Oktober 2021 sehingga 30 Oktober 2023.


Pelantikan Dr Md Nasir bagi menggantikan bekas CEO FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletakkan jawatan dan mengakhiri tugas berkuatkuasa pada 15 Oktober lalu.


Dr Md Nasir yang juga bapa kepada pelakon terkenal, Anzalna Nasir mempunyai pengalaman luas dan ketokohan dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 dan Pasca Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.


Beliau juga pernah menggalas jawatan penting termasuklah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni dan Warisan Budaya (ASWARA) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).






Apa Kata Anzalna?


“Sebenarnya Mama dan kami, anak-anaknya pun baru tahu tentang perlatikan beliau. Beliau langsung tidak menceritakannya. Sebagai anak, pastinya saya menyokong penuh perlantikan beliau itu.”


“Tambahan pula, saya juga berada dalam industri seni ini, jadi saya juga teruja mahu melihat hala tuju FINAS di bawah kendalian beliau nanti,” ujar Anzalna saat InTrend menghubunginya semalam.


Apa pun, menurut Anzalna, ia bukanlah tugasan mudah untuk dipikul walaupun dia percaya dengan kewibawaan ayahandanya itu. Apatah lagi, ia melibatkan amanah dan kepercayaan ramai orang yang pasti menaruh pelbagai harapan dan pemikiran.


“Cuma, saya harap semua pemain industri akan menyokong kepimpinan dan memberi peluang kepada beliau dan team. Tiada apa yang lebih penting selain melihat industri filem kita dapat memacu kecemerlangan yang lebih besar selepas ini,” akhirinya.