gaya hidup
Kawan Lambat REPLY WhatsApp Tapi ONLINE – Nak Sentap Ke Bersangka Baik Je? Benda Boleh Bincang
Tidak dinafikan aplikasi WhatsApp kini dilihat sebagai salah satu platform sosial yang paling kerap digunakan dalam urusan seharian. Ia kini bukan lagi medium untuk bersosial santai tetapi dijadikan sebagai platform rasmi untuk urusan kerja dan dijadikan kumpulan gerak kerja membincangkan agenda penting.
Dan, kegunaannya semakin memuncak ketika pandemik melanda dunia. Ramai orang menjadikan aplikasi ini sebagai medan perhubungan pada kala tidak boleh bersua muka. Dan, dengannya banyak urusan berjaya diselesaikan dengan mudah dan cepat.
Cuma, biasalah dalam aspek positif, pasti ada terselit juga sedikit isu negatif dalam penggunaan teknologi canggih hari ini. Sehebat mana pun teknologi, pasti tidak sama dengan gaya kehidupan tradisional. WhatsApp gaya sosial alam maya tidak sama dengan gaya sosial secara langsung.
Kita tidak tahu apakah yang ditulis sama dengan apa yang ada di hati seseorang itu. Atau setidak-tidaknya selarikah dengan reaksi wajahnya? Ini yang ada kala membuatkan suatu hubungan sosial itu dilihat tidak ‘real’ apabila menggunakan aplikasi alam maya.
Satu lagi sisi lemah aplikasi WhatsApp ini dalam hubungan sosial yang sihat adalah apabila wujud prasangka sesama kita apabila kiriman WhatsApp tidak dijawab dalam masa yang diharapkan. Ia tidak sama seperti kita bertegur secara depan-depan yang pasti mendapat balasan serta-merta, bukan?
Lebih menyayat hati, alasan untuk berprasangka buruk itu lebih menebal apabila melihat kawan yang diWhatsApp itu sedang berada dalam talian. Namum, senyap dan ada kala terus mengabaikan kiriman WhatsApp itu.
Sabar, Jangan Lekas Melenting dan Terasa
Jangan sampai bermasam muka atau bermusuhan hanya kerana tidak mendapat balasan seperti yang diharapkan. Harus diingat aplikasi ini bukanlah pengganti total dalam hubungan sesama manusia. Ia sama sekali tidak akan sama dengan cara berhubungan secara langsung di mana kita dapat melihat reaksi seseorang itu lebih ‘real’ dan jelas.
Kita tidak boleh meletakkan situasi setiap orang sama seperti kita. Ya, kita memang mempunyai nilai masa yang sama setiap hari, 24 jam. Namun, pengisian masa setiap hari itu tidak akan sama untuk setiap manusia. Ada orang mungkin boleh mengadap telefon sepanjang masa, ada orang hanya mampu membelek di antara waktu berkelapangan.
Ada orang mempunyai komitmen yang besar, ada orang komitmen hanya untuk dirinya sendiri. Ada orang mempunyai anak berderet-deret yang sehinggakan telefon sendiri dikongsi bersama anak-anak. Ada orang punya punya suami atau isteri yang tak ‘sporting’ yang tak suka pasangannya asyik dengan telefon. Begitulah ragam manusia.
Jadi, andai kawan itu dilihat berada dalam talian tetapi mengabaikan kiriman WhatsApp kita bersangka baik adalah lebih baik daripada kita melayan perasaan terasa dan marah. Berilah dia sedikit masa untuk membalas. Jika masih tiada balasan, hubungi terus dan nyatakan betapa pentingnya WhatsApp kita itu.
Diharapkan aplikasi ini tidak menjadi asbab terputusnya hubungan persahabatan atau permusuhan yang panjang. Benda kecil jangan dibesarkan. Jika boleh diselesaikan secara baik, lakukan segera. Jangan disimpan sehingga penuh ‘memori’ di hati.
Must-Watch Video