Nenek kata, rimas tengok anak-anak zaman sekarang. Semua benda mahu dirakam (guna telefon). Kalau keluar bercuti dengan anak dan cucu, Nenek memang stres kerana tidak sanggup melayan setiap satu langkah mahu diambil gambar. Kadang-kadang apabila sudah tak tahan, Nenek akan diam dan buat muka. Maksudnya, anak cucu harus simpan semua telefon.


Mana Nenek tidak marah, apabila dihidangkan makanan, tidak boleh disentuh terus, harus tunggu semua habis ambil gambar. Kadang-kadang sampai sejuk lauk dek mahu puaskan hati semua ambil gambar paling cantik. Apabila semua sudah bersiap cantik, kena diambil gambar dahulu baru boleh keluar rumah. Nenek bukan jenis boleh duduk diam lama-lama, hatta untuk sekeping gambar.


Dan, Nenek paling rimas kalau pergi bercuti dengan anak cucu yang setiap destinasi mahu divideokan. Apabila ditanya, kata mereka untuk simpanan kenangan. Kata Nenek, dulu pun mereka ada simpan kenangan manis-manis seperti ini tetapi bukan di media sosial, sebaliknya dalam ingatan masing-masing. Apa yang mereka lalui bersama ketika ini, seharusnya diraikan betul-betul, bukan sibuk mencari sudut terbaik gambar.


Itu pandangan seorang Nenek yang sudah berusia lewat 70 tahun, yang seumur hidupnya tidak pernah ada Facebook atau Instagram. Yang tidak pernah selfie mahupun OOTD. Yang tidak tahu hal dunia melalui internet. Itulah Nenek yang ‘rare’ yang hidup dalam dunia realiti.



Kredit Foto: Google


Tidak Semua Gembira Kita Berjaya

Walaupun kita punya ratus ribu followers, disusuli puluhan ribu likes dan komen setiap kali kita memuat naik status terkini, ia bukan bermakna kita disayangi sepenuh jiwa mereka. Ada kala, orang yang hanya mahu memerhati dari jauh, melihat bagaimana kehidupan kita, lalu membuat persepsi mereka sendiri. Ada orang suka berkongsi apa yang dimiliki dengan tujuan ‘berkongsi’.


Kalau kita faham makna berkongsi itu apa, kita malu untuk mengungkapkannya. Benarkah kita berkongsi kalau sekadar para rakan media sosial hanya mampu ‘kongsi tengok’ semata-mata. Adakah dengan menayang kereta baru, mereka ikut boleh naik kereta tersebut? Atau kalau kita berkongsi gelang emas yang baru dibeli dan mereka juga akan diberi seutas seorang?


Lebih penting lagi, benarkah mereka sama-sama meraikan kegembiraan yang kamu sedang nikmati itu? Tidak semua orang memiliki hati yang bersih untuk melihat perkongsian itu sebagai satu ‘motivasi’ atau ‘inspirasi’. Ada yang melihat dengan hati yang sakit yang kemudiannya membibitkan dengki dan iri. Yang dibimbangi, daripada perasaan itu membawa kepada perlakuan lain yang membinaskan di kemudian hari.



Kredit Foto: Google


Tunggu Masa Melihat Kita Jatuh


Inilah hakikatnya, apabila semakin banyak yang kita kongsikan tanpa ada limitasi, maka semua hal akan menjadi intipan netizen. Apabila berlaku sesuatu keaiban atau ujian untuk kita, mulalah orang mula menyelak itu dan ini. Hasilnya, ramai yang menjadi penyiasat, mencari inci silap kita sedalam-dalamnya. Muat naik kita yang bertahun-tahun pun boleh dirungkai dan dijadikan asbab pada kesilapan kita hari ini.


Maka nanti, ada yang kata, “Itulah diri sendiri yang membuka aib sendiri!” Sedangkan selama ini kita anggap segala perkongsian itu sebagai satu perkara yang menggembirakan semua orang. Maklumlah mendapatkan ‘likes’ dan komen ramai orang, pastinya ia bukan satu kesilapan – pada pandangan kita sendiri. Rupa-rupanya yang selama ini sokong bukanlah benar-benar telus. Ada yang suka terselit dengki juga.



Kredit Foto: Google


Apa Saja Yang Dimuatnaik Kini Boleh Dijadikan Bukti


Inilah yang banyak berlaku sekarang apabila netizen menjadi screen shot perkara-perkara lama sebagai bukti untuk hari ini. Kalau hari ini kita mengeluh tidak dapat bantuan, netize akan ‘throwback’ tahun lepas kita ada pergi bercuti di luar negara. Mampu pula? Walaupun mereka tidak tahu mungkin itu percutian ditaja? Atau ada yang akan zoom pada gambar kamu yang sedang membimbit beg tangan jenama mewah!


Nah, di sinilah kenapa kebanyakan mereka yang berfikir panjang, tidak suka untuk menayangkan perkara-perkara yang terlalu peribadi di media sosial kerana risikonya amat berat. Malah, siasatan rasmi pihak berkuasa juga kini boleh dilakukan dengan hanya melihat kepada akaun media sosial seseorang itu. Mudah bukan zaman sekarang untuk mencari bukti kerana diri sendiri yang membongkarnya.



Kredit Foto: Google



Fikir Panjang Sebelum Post


Inilah yang sebaiknya. Jadilah pengguna media sosial yang pintar dan berfikir rasional sebelum membuat sebarang muat naik. Ingat walaupun ia akaun peribadi kita tetapi ia tetap ruang public yang boleh ditatap oleh sesiapa sahaja, tidak kisahlah jika kamu menetapkan setting privacy itu sebagai ‘private’. Seisapa sahaja boleh menerjah dan melihat segala apa yang kita kongsi tanpa perlu meminta izin.


Jadinya, beringat selalu sebelum berkongsi apa sahaja di situ. Ingat, tidak semua yang follow kita benar-benar mahu menjalinkan ukhawah silaturahim, ada yang sekadar mahu mengintip dan ada juga yang mahu merumuskan. Jadi, akaun kita adalah lambang keperibadian kita. Berkongsilah yang baik-baik yang tidak akan mendatangkan fitnah dan aib di kemudian hari. Jika rasa belum cukup bijak, memadailah dengan hanya menjadi pemilik akaun tidak aktif. Salam sayang semua, sebarkan kasih-sayang dan kebaikan. Jauhi sikap negatif, buruk sangka dan hasad ya. Kita jaga kita.