Highlights

Kebiasaan Baharu – Sebulan Lebih Kita Laluinya. Tingkatkan Amalan Sedia Ada, Kita Pasti MENANG Malaysia!

gempak
Huda Hussain
20/04/2020
15:41 MYT
Sponsor Banner
Kebiasaan Baharu – Sebulan Lebih Kita Laluinya. Tingkatkan Amalan Sedia Ada, Kita Pasti MENANG Malaysia!
Tanpa kita sedari, sudah lebih 35 hari kita duduk dirumah dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa 18 Mac lalu. Dari fasa pertama yang bermula 18 Mac hingga 31 Mac, kemudian ia dilanjutkan tanggal 1 hingga 14 April. Dan terkini fasa ketiga bermula sejak 15 April sehingga 28 April. Bekerja dari rumah, sekolah dan institusi pendidikan ditutup, tidak banyak kenderaan di jalan raya, waktu operasi industri penting berubah, tidak boleh keluar rumah sewenang-wenangnya dan banyak lagi perkara berubah 360 darjah dalam kehidupan kita sepanjang tempoh ini.
Kredit Foto: Google
Ya, ia adalah satu perubahan drastik yang berlaku dalam kehidupan kita. Dan bukan mudah bagi rakyat Malaysia untuk sesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini. Kebebasan untuk bergerak ke sana, ke sini tersekat. Tiada lagi istilah melepak di kedai mamak, window shopping di kompleks membeli-belah, jogging di taman dan sebutlah apa sahaja aktiviti di luar rumah yang biasa kita lakukan sebelum ini; kini semuanya terhalang. Namun kita tidak boleh mengeluh dan merungut kerana kebiasaan baharu inilah yang menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia khususnya sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Kalau dahulu kita asyik merungut tiada masa bersama keluarga, inilah waktunya untuk kita 'claim' apa yang terlepas tatkala dihambat kesibukan pelbagai urusan kerja sebelum ini.
Kredit Foto: Google
Masanya Untuk Adaptasi Persekitaran Baharu
Bahkan perkara yang awalnya terlalu asing dan janggal dilakukan kini sudah berubah menjadi rutin. Benar, ada yang merungut duduk dirumah untuk satu jangka waktu yang lama sememangnya membosankan. Hinggakan mungkin ada yang berfikir, apa lagi yang perlu dilakukan. Hari-hari yang berlalu seakan tiada perubahan. Bagaikan sama sahaja semuanya. Yang beralih cuma tarikh dan hari, selebihnya kita bagaikan mengulangi rutin yang sama setiap hari.
Mungkin itu yang dirasai dan dialami kebanyakan daripada kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah sesuatu yang normal untuk berasa atau berfikiran sedemikian. Tetapi jika apa yang dilalui mendatangkan kerisauan keterlaluan, dihantui perasaan negatif dan lain-lain; segeralah hubungi Talian Kasih, MyCareCov19 dan lain-lain bagi mendapatkan bantuan kaunseling dan khidmat nasihat. Bersabarlah, kerana apa yang kita lakukan mungkin tampak kecil dan remeh tetapi bagi pihak kerajaan, barisan hadapan negara dan pihak lain; amat besar ertinya.
Kredit Foto: IG Astro Awani
Rakyat Malaysia Kreatif!
Justeru bagi mengelakkan kebosanan dalam usaha menyesuaikan diri dan mengadaptasi kebiasaan baharu ini, kita disarankan untuk pelbagaikan aktiviti harian. Hal ini juga mengelakkan kita daripada mengalami stres. Dan terbukti rakyat kita sememangnya kreatif untuk mencuri perhatian dengan menghasilkan pelbagai kandungan di platform media sosial masing-masing. Ada yang mencipta page mengenai menu masakan tidak menjadi, mencipta video viral menghiburkan, video tarian dan alunan muzik kreatif, mengajak dan mendidik pengguna laman sosial mengenai kisah-kisah inspirasi, kerohanian dan keagamaan, pengisian gaya hidup sihat dan banyak lagi jika mahu disenaraikan.
Tidak dapat dipastikan selama mana lagi tempoh PKP akan dilanjutkan atau ditamatkan. Apa yang penting adalah tingkatkan kerjasama kita kepada pihak kerajaan, barisan hadapan dan semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan dan kesihatan kita terjaga. Ambil peranan kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa. Manfaatkan masa yang ada bersama keluarga dan penuhi hari-hari kalian dengan pelbagai aktiviti yang akan mengeratkan hubungan dan ikatan kasih sayang. Teruskan berdoa, amalkan penjarakkan sosial, patuhi arahan PKP dan lain-lain untuk memastikan kita dapat memerangi penularan Covid-19. Malaysia pasti boleh!
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live