Highlights
KES BUANG BAYI – Abby Tawarkan Diri Untuk Uruskan. “Hubungi Saya, Bergegas Saya Datang Ambil...”
Bagaikan satu trend pula apabila saban hari kita dikejutkan dengan kes buang bayi di Malaysia. Lebih menyedihkan cara pembuangan bayi dibuat dalam keadaan yang di luar akal manusia. Ada yang dicampak ke bumbung rumah bawah, disumbat dalam mangkuk tandas, dibuang di semak-samun dan pelbagai lagi lokasi yang meruntun hati.
Baru-baru ini, Abby Abadi memuat naik satu post di akaun Instagramnya yang meluahkan rasa sedih dengan kes buang bayi ini. Tulisnya pada satu gambar bayi yang dibuang, “Lagi kes buang bayi. Lokasi di sekitar Ampang. Dekat sangat dah dengan saya. DM lah di IG ini atau Whatsapp je nombor berniaga saya. Sebut suruh saya datang ambil baby, bergegas saya datang! Ramai yang sudi. Jangan dah buat salah, tambah lagi dengan jenayah berat ini. Saya mohon bagi saya uruskan kalau tak nak ya.”
Kredit Foto: Instagram Abby Abadi
Apa Pun Alasan, Tidak Boleh Diterima
Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan lebih daripada 100 orang bayi dibuang setiap tahun di Malaysia. Ini bukanlah angka biasa-biasa yang boleh kita diamkan. Kebanyakan bayi ini dibuang oleh ibu yang melahirkan mereka sendiri akibat daripada perasaan takut, keliru dan tidak mahu diketahui orang.
Apa pun alasan di sebalik tindakan bodoh mereka ini, ia sama sekali tidak boleh diterima pakai. Salah tetap salah dan mereka wajar diberi hukuman setimpal agar menjadi iktibar kepada yang lain juga. Apalah dosa anak ini yang terpaksa menjadi mangsa atas keterlanjuran ibu ayahnya sendiri. Kamu sama sekali tiada hak untuk mengakhiri kelakuan salah itu dengan ‘mematikan’ anak ini.
Kredit Foto: Google
Cadangan Membendung Kes Buang Bayi
- Hukuman berat harus dikenakan kepada ibu dan ayah kepada bayi juga ibu bapa atau penjaga kepada pasangan terbabit.
- Perbanyakkan kempen tentang pembuangan bayi ini dengan membentangkan secara jelas hukuman yang mungkin dihadapi atau bagaimana untuk mereka menguruskan bayi ini jika tidak diinginkan.
- Perbanyakkan lagi pusat pengambilan bayi terbuang atau tempat untuk mereka boleh menyerahkan bayi ini dengan selamat. Bukan mahu menggalakkan lagi perbuatan tersebut tetapi mengelakkan kejadian yang tidak diingini terhadap bayi tersebut.
- Ibu bapa memainkan peranan penting dengan mengambil berat perkembangan fizikal dan mental anak-anak. Tolong lebih peka dengan perubahan anak-anak dan lekas-lekas membuat tindakan.
- Jangan buang anak yang sudah terlanjur atau membiarkan mereka begitu saja. Cari solusi terbaik untuk menangani masalah tersebut dari awal.
- Masyarakat jangan menghukum, sebaliknya bantu salurkan maklumat tidak kira jika ia hanya ramalan awal. Contohnya, jika melihat anak jiran yang berkelakuan mencurigakan dan sebagainya.
- Kebanyakan kes buang bayi berlaku di kalangan budak sekolah juga, mohon untuk pihak sekolah memantau tingkah laku dan prestasi kehadiran anak-anak ini di sekolah dan segera laporkan kepada pihak berkuasa jika ibu bapa sendiri tidak ambil berat.
- Beri sokongan moral dan kaunseling kepada ibu yang mengadung anak luar nikah ini untuk terus bersalin dengan selamat.
- Kebanyakan kes buang bayi ini juga melibatkan individu yang berasal daripada keluarga yang bermasalah. Ibu bapa tolonglah harmonikan institusi kekeluargaan di rumah. Jangan lepas tangan apabila berasakan anak-anak sudah besar untuk hidup berdikari. Kayakan kasih-sayang di dalam rumah maka mereka tidak akan mencari cinta di luar.
- Pihak media memainkan peranan penting dengan kerap menyebarkan maklumat berkenaan kes ini dan banyakkan program ilmu yang dapat memberi kesedaran mengenai kepada masyarakat.
- Didikan agama asas paling utama dalam hidup. Maka, terapkan nilai keagamaan dalam diri anak-anak agar mereka tahu membezakan baik dan buruk dalam setiap perbuatannya.
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video