gaya hidup
Kes Positif Melonjak Naik, Wad Penuh Dan Hospital Sesak. Allahu… Sampai Bila Nak Hadap Semua Ni?
Sudah sebulan lebih PKP 3.0 dikenakan tetapi realitinya kes positif masih tidak menampakkan pengurangan. Bahkan selama tujuh hari berturut-turut kes positif berada pada angka 6,000 setiap hari dan hari ini sebanyak 8,868 direkodkan selepas dua hari berada pada angka 7,000. Memasuki hari kelima PKPD di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur, masih lagi membimbangkan semua.
Bagaikan sia-sia sahaja kita yang patuh segala SOP tetapi masih ada pihak dan kelompok yang memandang remeh soal ini. Kekecewaan, kemarahan rakyat terus dirasai. Tiket dan ‘cable’ yang ada terus disalah guna. Terbang ke luar negara, kenduri durian seolah-olah tiada apa-apa dan banyak lagi jika mahu dirungkaikan.
Kredit Foto: Google
Kluster di tempat kerja terus merekodkan peningkatan. Masakan tidak, kilang masih lagi beroperasi. Begitu juga dengan kluster komuniti yang semakin merisaukan. Sungguh, jika ditanya kepada sesiapapun, semuanya sudah muak dengan kerenah dan keistimewaan yang mereka peroleh. Belumpun reda itu semua, krisis politik yang selama ini tersimpan mula menampakkan bibit-bibit kemunculan semula dalam arus perdana hingga kempen kibarkan bendera hitam pula diperkenalkan. Seakan tidak berkesudahan, itulah yang kita lihat dalam kalangan pemimpin hari ini.Rindu PKP 1.0
Tidak seperti yang kita semua rasai sewaktu PKP 1.0 dahulu. Sana sini tiada satu pun kelihatan kenderaan memenuhi jalan. Sunyi dan hening di semua lokasi. Tetapi hari ini, sebaliknya. Kenderaan masih bersimpang-siur di lebuh raya. Seakan tiada maknanya kita duduk terperap dirumah selama ini. Rasa sia-sia sahaja semua itu.
Kredit Foto: Google
Tetapi apabila memikirkan keadaan barisan hadapan yang sudah burn out berhadapan pandemik ini, pengorbanan setiap seorang daripada mereka menyentak hati seketika. Itu belum dikira ada di kalangan mereka yang dijemput Ilahi tatkala bergelut menyelamatnya nyawa daripada pandemik ini. Cukup meruntun hati. Mempertaruhkan nyawa, setiap hari berhadapan risiko tinggi untuk dijangkiti amat besar tanggungjawab mereka.Kasihani Barisan Hadapan Yang Sedang Berjuang
Penulis percaya pasti ramai yang sedia maklum betapa tenatnya keadaan yang kita harungi ketika ini. Bukan cuba menakutkan atau mencetus panik. Realitinya dihadapan mata kita. Kapasiti hospital sudah menjangkaui limitasi. Katil, tangki oksigen, alat bantuan pernafasan dan pelbagai lagi kelengkapan tidak lagi mampu menampung jumlah kemasukan pesakit yang dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan. Dan apa yang kita lihat, ada pesakit yang terpaksa dirawat di atas lantai hanya beralaskan kanvas. Jarak katil pula semakin rapat.
Kredit Foto: Facebook Ahmad Samhan
Menurut perkongsian Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah pesakit COVID-19 (termasuk kes suspected / probable) masih lagi tinggi dan belum menunjukkan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya).Buat masa ini, terdapat 1,224 pesakit COVID-19 (termasuk kes suspected / probable) yang dimasukkan ke ICU di mana 567 pesakit berada di Lembah Klang. Namun diingatkan, terdapat ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital-hospital di Lembah Klang yang belum dapat dimasukkan ke wad kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad dan ICU. Begitu juga dengan sejumlah besar pesakit Covid-19 kategori 3 dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah MAEPS.
Kredit Foto: Facebook Ahmad Samhan
Dan pernahkah anda terbayang betapa penatnya barisan hadapan kita yang telah berhadapan situasi ini sejak tahun lalu lagi? Burnout? Ya, itu yang mereka rasakan. Bahkan lebih daripada itu sebenarnya. Seakan tidak berkesudahan semua ini. Tidak nampak lagi tanda-tanda ia akan berkurangan. Benar, suatu hari nanti. Tetapi yang pasti bukan dalam waktu terdekat ini.Kes Sporadik dan Varian Baru Memburukkan Lagi Keadaan
Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Dalam situasi ini, Lembah Klang menjadi antara lokasi aktif bagi kes-kes sporadic berlaku.
Gambar dibawah adalah taburan pemetaan kes sporadik (biru) dan kes kluster (merah) di kawasan Lembah Klang bagi ME ke-13 sehingga ME ke-24. Dapat dilihat dengan jelas pertambahan kes sporadik. Rentetan itu kita dapat lihat hospital sudah cukup sesak, wad-wad penuh, ventilator tak cukup malah doktor ‘terpaksa buat pilihan’ siapa yang patut diselamatkan.
Kredit Foto: Facebook PHM
Lebih membimbangkan menurut perkongsian di laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), varian Delta B.1.617 pertama kali dikesan di India dan kini dilaporkan telah merebak ke 80 negara. Varian ini telah mencetuskan tsunami Covid-19 di India sehingga sistem perkhidmatan kesihatan di negara itu hampir lumpuh.
Kini, Varian Delta telah menjadi varian dominan di United Kingdom serta beberapa negara lain seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia. Juga dikenali sebagai Super Strain, Varian Delta dilaporkan 60% lebih cepat merebak dan membawa lebih banyak kematian.
Kredit Foto: Facebook PHM
Di Malaysia, hasil survelans genomik telah mengesan 13 kes jangkitan Varian Delta setakat 10 Jun lalu. Bermula 24 Mei lalu, semua pengembara (rakyat tempatan sahaja) yang masuk ke Malaysia dari India, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan perlu menjalani kuarantin wajib selama 21 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.Dan terbaru, perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) pula mendedahkan jika virus mutasi ini masuk dan merebak ke Malaysia, kita akan menghadapi gelombang yang lebih dahsyat berbanding sekarang. Bayangkan, virus asal dari Wuhan hanya mempunyai kebolehjangkitansatu hingga dua orang sahaja. Virus mutasi dari India mempunyai kebolehjangkitan hampir empat kali ganda berbanding virus asal.
Justeru apa yang perlu dilakukan adalah untuk melindungi pintu masuk kita, jauhi virus mutasi dari negara luar. Kekalkan tempoh kuarantin 21 hari kepada pengembara negara negara berisiko.
Kredit Foto: Facebook PHM
Patuhi SOP, Ikhtiar dan Serahkan Pada-Nya
Duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar, patuhi SOP, amalkan penjarakkan fizikal – Itulah yang sering kali kita dengar dan diperingatkan setiap hari. Walaupun mungkin ada yang bosan mendengarnya bahkan sudah boleh menghafal skrip ini, tiada jalan lain kecuali untuk terus melakukannya. Selain berdoa, mohon keampunan dan petunjuk daripada Yang Maha Esa, ini sahaja yang mampu kita lakukan ketika ini. Walaupun belum menang, tak mustahil kita akan keluar daripada pandemik ini jika semua pihak memainkan peranan dan bekerjasama memeranginya. Bukan menuding jari kepada sesiapa. Tanggungjawab ini harus dipikul setiap lapisan masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat atau apa jua sekalipun. Kita Jaga Kita. Must-Watch Video