Atie, 28 (bukan nama sebenar) baru sahaja melahirkan anak sulung selepas dua tahun berkahwin dengan Basir, 31 (bukan nama sebenar). Kedua-dua mereka bekerja di sektor swatsa di Kuala Lumpur tetapi menetap di Rawang. Jadi, setiap hari mereka terpaksa melalui perjalanan yang panjang untuk melunaskan tugasan harian.

Basir anak lelaki tunggal dan agak manja. Justeru, Basir boleh dikategorikan sebagai suami yang kurang membantu kerja-kerja rumah walaupun Basir seorang suami yang baik.

“Basir suami yang baik cuma dia terlalu sibuk dengan kerja kerana baru dinaikkan pangkat. Di rumah juga Basir tidak ringan tulang untuk membantu Atie kerana dari kecil lagi dia tidak dibiasakan dengan kerja-kerja rumah. Basir memang anak yang manja. Semua keperluannya dulu disiapkan oleh ibunya. Malah, untuk mencuci pinggan selepas makan pun, Basir tidak mampu untuk lakukan,” Cerita Atie memulakan perbualan.


Kalau dulu, hidup berdua sahaja di rumah, Atie tidak kisah untuk melangsaikan semua kerja rumah dengan dua tangannya sahaja. Apalah sangat makan berdua? Kain baju untuk dua orang, pinggan mangkuk pun tidak banyak mana. Malah, Atie melakukannyanya dengan ikhlas sekali.




Kredit Foto: Google




Gembira Dapat Tahu Mengandung

Setelah berkahwin dua tahun, akhirnya berita yang sangat dinantikan pun tiba. Atie disahkan hamil tiga minggu. Berita itu dikonsi gembira dengan keluarga dan teman-teman. Sangkaan mereka, mereka sudah bersedia kerana masing-masing memang sudah lama menantikannya.


Kebetulan pula, ketika Atie semakin sarat, Basir pula ditukarkan kerja ke cawangan baru, menjadikan Basir lebih sibuk dan agak stres. Memahami situasi suaminya itu, Atie cuba bertolak-ansur untuk banyak perkara.


Ada kala, Basir tidak sempat untuk menemani Atie ke klinik melakukan check up. Setiap hari juga, Basir terpaksa pulang lewat malam. Kerjanya habis jam lapan malam. Sampai rumah hampir ke jam 10. Apabila sudah sampai ke rumah, Basir akan terus mandi dan tidur.

Disebabkan kesibukan masing-masing dan tidak punya pengalaman, Atie dan Basri tidak memikirkan sangat soal berpantang nanti. Atie membuat keputusan untuk berpantang sendiri di rumah mereka sahaja.

Fikir Atie, setakat berpantang melayan anak seorang, Insya-Allah dia boleh uruskan dengan bantuan sedikit daripada Basir. Atie sudah tidak punya ibu dan ayah. Ibu mertua pun tidak berapa sihat. Dan, kasihan untuk dibebankan kerana ibu Basri juga menjaga ayahnya yang uzur.


Basri pun tidak selesa untuk menyusahkan ibu dan ayahnya. Basri bersetuju dengan pilihan Atie untuk berpantang sendiri dan berjanji untuk cuba meluangkan masa yang lebih selepas ini. Dan semua persiapan dilakukan mengikut panduan dari internet dan bertanya sedikit sebanyak kepada kawan-kawan yang berpengalaman.



Kredit Foto: Google



Anak Sawan Tangis

Alhamdulillah, Atie melahirkan bayi pertamanya itu secara normal dan lancar sahaja semuanya. Tangisan pertama si kecil amat menghibakan mereka berdua. Bagai tidak percaya kini Atie bergelar Mama dan Basir sebagai Papa.


Namun, keterujaan ini tidak lama apabila si kecil mula menunjukkan ragamnya. Anak mereka kerap menangis malam dan sentiasa mahu berpegang membuatkan Atie dan Basir mulai tertekan.


Sudahlah malam tidak dapat tidur, siang pula Atie terpaksa menguruskan sendiri proses berpantang dirinya seperti bertunku, berpilis dan sebagainya. Atie ada mengupah bidan untuk datang di siang hari tetapi kerja-kerja bidan itu terhad kepada mengurut dan menyediakan makanan sahaja.


Kerja-kerja rumah seperti mencuci, mengemas dan mencuci tetap dilakukan Atie perlahan-lahan. Atie tidak mahu membebankan Basri kerana pada waktu malam juga Basri tidak dapat tidur kerana rengekan si kecil. Hanya hari Ahad Basri cuti, itu pun masih sibuk dengan lap top menyudahkan kerja pejabat.






Antara Meroyan dan Depresi

Makin lama, Atie makin rasai tekanan yang teruk. Selain tidur yang tidak cukup, badannya selalu rasa lemah dan sakit. Ada kala rasa nak demam. Kata bidan, Atie seperti terkena batu meroyan.


Ada kala, kerana terlalu penat Atie kurung diri dalam tandas sambil menangis. Dia tidak mampu untuk bermain dengan si kecil seperti mana ibu baru yang pasti seronok menggomol anak kecil.


Atie tidak mampu lagi mencetuskan rasa bahagia saat melihat si kecil ketawa. Masalah susu badan juga memberikan efek kepada Atie. Stres juga menjadi punca susu badannya tidak banyak. Atie terpaksa mencampurkan susu formula kepada anaknya. Rasa bersalah membuatkan Atie rasa lebih murung. Atie rasa seperti ibu yang tidak berguna! Diri rasa bersalah kerana memberikan anak susu formula pada usia baru dua bulan.


Seorang teman yang datang melawatnya menasihatinya untuk bertemu pakar kaunseling. Ini bukan lagi meroyan tetapi lebih kepada depresi yang dialami sebelum beranak lagi. Dan semakin meruncing setelah Atie memiliki anak.

“Tanggungjawab yang baru datang pada ketika saya tidak bersedia sepenuhnya. Saya mungkin rasa sudah cukup persiapan, hakikatnya saya belum cukup kuat dari segi fizikal dan mental. Saya sayangkan anak saya tetapi saya tidak mampu menjadi ibu yang baik, itu yang selalu bermain di fikiran saya apabila melihat anak di depan mata...” keluh Atie.


Kredit Foto: Google



Sendiri Kena Berusaha dan Berubah

Jadi, bila waktunya Atie mulai tersedar yang Atie mengalami depresi? Tanya penulis kepada Atie. Atie menarik nafas yang dalam sambil pandangannya dilempar jauh.


“Saya mula sedar yang keadaan saya tidak normal apabila saya boleh biarkan anak saya menangis selama hampir 30 minit tanpa henti sebagai tanda protes! Dan, ketika saya bergaduh dengan Basri, saya campak gelas ke mukanya. Waktu itu saya mula rasa ada yang tidak kena dengan diri saya. Saya lihat ke cermin. Saya tidak nampak diri saya yang cantik dan sihat seperti dulu. Saya sudah buruk, bodoh dan menjengkelkan...”


Atie menangis. Menurut Atie, selepas hampir tiga hari bergaduh dan tidak bercakap dengan suaminya, Atie ada mengirimkan WhatsApp meminta maaf dan terus memberitahu suaminya tentang keadaan beliau yang menyedihkan itu.


Atie juga ada membuat kajian sendiri di internet tentang ciri-ciri depresi dan ternyata ada pada dirinya. Atie berkongsi juga dengan Basri tentang itu. Syukurlah, Basri menerimanya dengan positif.


Basri pun mengakui kesilapannya juga. Mereka sama-sama mahu menyelesaikan semua itu dengan baik. Basri mahu membawa Atie bertemu kaunselor namun Atie menolak. Atie mahu cuba berubah dengan caranya sendiri.


“Bukan tidak mahu dibantu tetapi saya tidak mahu dipaksa. Saya masih yakin yang saya boleh melakukannya sendiri. Saya juga punya kawan baik yang kini menjadi pendengar setia saya dan sentiasa memberi nasihat yang baik. Saya dihadiakannya minyak aromaterapi untuk saya nikmati setiap hari. Paling penting saya banyak mendekatkan diri dengan Allah. Mungkin ada yang kata, itu nasihat klise tapi percayalah, tekanan ini berpunca di dalam. Maka, untuk menyembuhkannya juga perlukan terapi dalaman yang bersifat kerohanian.”


Tambah Atie lagi, antara tips yang diamalkannya ialah cuba menjadikan sesuatu ujian itu sebagai hikmah. Contohnya apabila anak selalu meragam malam, Atie cuba fikirkan bahawa Allah kejutkan dia untuk bangun beribadat kepada-Nya. Maka, selepas anak diam sekejap, Atie akan ambil wuduk dan mendirikan solat tahjud.


Apabila rasa tertekan dengan susu badan yang kurang. Atie berfikir mungkin dia perlu mengubah cara hidupnya ke arah yang lebih sihat terutamanya dari segi makanan. Makanan juga antara pendorong kepada depresi kalau tidak diatur dengan baik. Maka, Atie mula mengamalkan diet yang baik dan teratur. Mengambil suplemen dan mengamalkan yoga untuk keseimbangan mental dan fizikal yang harmoni.


Walaupun baru beberapa bulan cuba mengubah gaya hidupnya, namun kesan positif sudah kelihatan.


“Alhamdulillah, saya dapat rasakan perubahan yang baik. Kalau nak tahu, anak saya pun dah kurang meragam, itulah saya cakap kepada Basri. Agaknya budak kecil dapat rasa kot kalau mak ayahnya tak tenteram. Hahaha... Basri pun sudah mahu membantu walaupun tidak sebesar mana tapi saya hargai. Sekurang-kurangnya, dia sedar dengan keadaan diri saya. Nasihat saya kepada wanita yang pernah mengalami situasi saya ini, anda sendiri kena berubah.


Kita mungkin boleh dapatkan terapi sana sini, tetapi apa pun kena bermula dengan diri kita sendiri yang mahu berubah. Saya bersyukur kerana tidak bermula dengan ubat-ubat. Kalau tidak, mesti lagi sukar. Doakan kami ya,” akhiri Atie dengan senyum manis.