gaya hidup
KISAH BENAR – Suami Buntu Isteri Suka Buka Aib di Media Sosial. Tak Sambut ‘Birthday’ Pun Nak Luah.
Khairul dan Liza sudah berkahwin sekitar enam tahun dan dikurniakan seorang anak. Khairul bekerja sebagai kerani kilang dan Liza juruwang. Hidup mereka biasa sahaja, tidaklah mewah kerana masing-masing bergaji kecil. Pada awal perkahwinan, rezeki mereka agak murah kerana Khairul mempunyai bisnes sampingan.
Namun, tidak sampai dua tahun bernikah, bisnesnya gulung tikar. Sejak itu mereka mula menghadapi pelbagai masalah terutamanya bab kewangan. Hutang lama masih bertampuk-tampuk. Dan, apa yang ada itu sajalah yang dibelanjakan mengikut kemampuan. Kalau dulu mampu pergi bercuti sana-sini, kini balik kampung sajalah destinasi bercuti.
Liza pula selalu merungut kerana tidak dapat membeli barang-barang kehendak yang disukainya seperti barang kemas atau beg berjenama. Setiap kali Liza membentak, Khairul hanya mampu mendiamkan diri. Khairul seorang suami yang amat pendiam, lembut dan tidak suka bergaduh.
Kredit Foto: Google
Tak Cukup di Rumah, Bawa ke Facebook
Boleh dikatakan saban hari ada sahaja yang hendak digaduhkan oleh Liza. Semua yang dilakukan menjadi bahan ungkitan. Lama-kelamaan Khairul menjadi rendah diri kerana selalu dipersalahkan konon tidak mampu menyediakan keperluan isteri dan anak. Kata Liza, Khairul dayus kerana tidak mampu membahagiakan isteri.
Semua gaji Khairul habis membayar hutang dan bil-bil bulanan. Jarang sekali, Khairul mampu untuk membeli baju baru atau gajet canggih. Apa yang ada itu sajalah yang digunakan kerana dia sedar diri yang duit gaji pun tak mencukupi untuk menanggung kos perbelanjaan mereka anak-beranak.
Dan kerana memahami Liza juga punya naluri berhias seperti perempuan lain, Khairul tidak pernah melarang Liza untuk membeli apa saja yang disukainya tetapi nasihat Khairul berpada-padalah. Namun, jika duit habis mulalah Liza akan meroyan dan mengamuk. Apabila tidak dilayan amarahnya itu, Liza akan melepaskan pula geramnya di Facebook.
Kawan-Kawan, Keluarga Mula Bertanya
Semua keaiban suami dicanangnya. Mula-mula secara sinis dan berlapik, lama-kelamaan semakin terang-terangan sehinggakan kenalan mula berteka-teki. Ada saja kawan-kawan dan saudara-mara Khairul yang berkawan dengan Liza di Facebook, maka pastilah mereka tahu siapa gerangan yang dimaksudkan Liza dalam setiap sindirannya itu.
Ada kawan yang screen shot post Liza itu dan hantar kepada Khairul. Khairul cuba beradlih dengan mengatakan yang Liza cuma berlawak. Apabila keluarga juga turut bertanya yang sama, Khairul mula rasa tertekan. Tebal rasa muka apabila hal tak dibelikan hadiah hari jadi pun dikongsinya di Facebook.
Pernah juga Liza menulis tentang dosa suami yang makan duit isteri dan tidak menunaikan nafkah anak bini. Siapa lagi yang hendak dituju post itu kalau bukan kepada suamiya sendiri? Apabila ditanya, jawab Liza, “Saya ada sebut nama awak ke dalam post tu? Yang awak nak terasa pasal apa?”
Khairul malas mahu bertekak, hanya mampu menasihati Liza agar berhenti bercerita hal keluarga di Facebook. Diamnya sekejap saja, kemudian seminggu dua dia ulang balik perangai itu. Ada saja kata-kata sindiran yang ingin dikongsinya. Tidak cukup dengan itu, adik-beradik Khairul pun menjadi mangsanya, kononnya mereka menjadi ‘spy’.
Kredit Foto: Google
Dosa Suami Nampak, Dosa Dia Mengaibkan Suami?
Ramai kawan-kawan menasihati Khairul agar bercerai saja kerana perbuatan Liza dilihat sangat melampau. Namun, kata Khairul dia masih sayangkan Liza dan anak. Tidak pernah terfikir untuk berpisah sejak hari pertama menikahinya. Kalau boleh dia mahu selamatkan rumahtangganya.
Namun, setiap kali diajak berbincang, Liza hanya berminat untuk bercakap soal duit. Dia mahukan kehidupan dulu yang mewah. Sedangkan dia lupa rezeki itu daripada Allah swt. Bukannya Khairul tidak berusaha, namun hanya setakat itu rezeki yang dia mampu perolehi. Kekusutan itu makin lama makin ketara apabila Khairul mula kelihatan tidak ceria dan kurus.
Khairul hanya mampu berdoa agar Liza diberi hidayah dan Khairuol terus diberi kekuatan untuk membentuk Liza menjadi isteri yang baik. Soal dia mengaibkan Khairul, dia serahkan suami kepada Tuhan. Entah kenapa Liza tidak nampak dosanya yang suka membuka aib suami sendiri? Liza solat, rajin mengaji, menutup aurat dengan sempurna tapi entahlah...
Allah SWT berfirman, "Sebab itu maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)." (Surah an-Nisa [4]: 34)
Must-Watch Video