Lelaki yang kini tinggal di Melaka ini asalnya seorang wartawan di akbar Harian Metro sejak tujuh tahun lalu. Sebelum ini, Reza Hamid pernah berkhidmat di Utusan Melayu dari 2005 hingga 2012. Kemelut ekonomi yang menyesak industri media masa menyebabkan beliau akhirnya terpaksa mengambil VSS yang ditawarkan Media Prima baru-baru ini. Beliau mulai meninggalkan kerjayanya itu pada awal Mac yang lalu. Sementara itu, beliau ada menjalankan perniagaan jualan makanan secara dalam talian secara kecil-kecilan.


Namun, ia sedikit terganggu apabila wabak Covid-19 mula merebak ke negara kita dan lebih terkatup terus peluang perniagaannya apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac. Pada mulanya, bapa kepada tiga cahaya mata ini mahu reda sahaja melalui tempoh berkurung itu dengan alasan ‘tidak mengapalah, cuti sekejap’. Tetapi, kembali tersentak apabila kerajaan mengumumkan semula lanjutan perintah tersebut sehingga 14 April.


Reza mulai resah memikirkan nasib hidup anak isterinya sementelah duit VSS pun tidak mungkin diperoleh dalam masa terdekat ini. Daripada duduk sahaja, dia terfikir untuk melakukan suatu pekerjaan yang masih boleh mendatangkan duit tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan sekarang ini. Memandangkan ramai orang mungkin memerlukan khidmat membeli dan menghantar barang keperluan, Reza tekad untuk menjadi ‘runner’.



Kredit Foto: FB Reza Hamid


Bila mula melakukan kerja menjadi runner ini dan kawasan mana yang menjadi ‘jajahan’?

Baru beberapa hari yang lalu apabila PKP dilanjutkan sehingga 14 April. Memandangkan ramai yang memerlukan bantuan dari segi membeli barang keperluan dan dalam keadaan yang tak berapa bagus sekarang ini, saya terfikir mengapa tidak saya membantu sambil menjana pendapatan dalam tempoh berkurung ini. Antara kawasan yang mendapat khidmat saya ialah dari Duyong, Bukit Katil, Bukit Baru, Batu Berendam, Cheng, Teluk Mas dan sekitarnya. Saya caj mengikut jarak lokasi.



Bagaimana sambutan setakat ini, dan dari mana mereka mengetahuinya?

Sambutan sangat menggalakkan, sampai tak menang tangan dibuatnya. Memang ramai yang memerlukan bantuan. Kebanyakannya tahu dari Facebook dan mulut ke mulut. Dalam sehari saya ambil lima ke enam pesanan. Selalunya, saya akan susun semua pesanan pada malam sebelum saya pergi membeli esoknya. Saya akan keluar pada jam 9.30 pagi dan membuat penghantaran secara berkala. Kebiasaannya, saya selesaikan pembelian dan penghantaran untuk dua pelanggan dulu, sebelum meneruskan untuk pelanggan seterusnya. Terpaksa buat begini untuk elak barang rosak dan kecelaruan ketika membeli barang. Dan, selalunya saya akan pulang sekitar jam tujuh ke lapan malam.




Kredit Foto: FB Reza Hamid



Pandai pula membeli barang dapur?

Itulah kelebihannya apabila dulu rajin ikut isteri membeli barang. Hahaha... Ada sesetengah barang yang saya tak pasti, saya minta mereka hantarkan gambar atau saya tanyakan kepada isteri. So far, semuanya mudah saja untuk dicari.



Bagaimana dengan kerenah pelanggan? Ada pernah tersalah beli barang?

Ada yang okey dan ada yang cerewet sikit-sikit tu biasalah tapi kebanyakannya baik-baik sahaja. Setakat ini belum pernah ada tersalah beli. Cuma, kalau bab beli makanan itu mungkin ada sesetengah permintaan tambahan tak dapat ditunaikan. Contohnya kalau nak bahagian ayam tertentu ke, ekstra apa-apa ke, sebab seperti yang kita maklum dalam keadaan makanan take away ini, peniaga pun tidak menang tangan. Juga, saya beritahu siap-siap untuk barang yang cepat ‘sold out’ seperti roti atau topeng muka, tak janji boleh dapat. Rata-rata mereka faham.



Apa cabaran besar apabila menjalankan khidmat ini?

Cabarannya mungkinlah dari segi untuk mendapatkan sesuatu barang yang sukar. Selalunya kalau pelanggan tidak meletakkan sebarang jenama, saya akan memilih barang pada harga paling rendah untuk membantu mereka berjimat. Dan, yang sedikit mencabar apabila ada yang menambah pesanan saat-saat akhir. Itu mungkin sedikit memeningkan apabila kita terpaksa set balik susunan pembelian. Sekarang ini, saya terpaksa hadkan pembelian hanya untuk barang-barang asas dan penting sahaja bagi membolehkan lebih ramai orang menikmati perkhidmatan ini. Macam barang-barang yang tak berapa penting tu saya mohon ditangguhkan dulu sebab ada yang kirim ubat gegatlah, pencuci tandaslah, hahaha...



Kredit Foto: FB Reza Hamid




Kredit Foto: FB Reza Hamid



Khabarnya, anda selalu mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka?

Ya, benar. Sungguh saya terkejut dan tidak sangka orang begitu menghargai apa saya buat ini. Pelanggan pertama saya contohnya, sebaik saya menghulurkan barang-barang dikirim, dia terus mengasingkan sebahagiannya dan diberi kepada saya. Baru-baru ini, ada wanita India ini, selepas menerima kiriman barangnya, masuk ke rumah dia dan memberikan beberapa barang dapurnya kepada saya seperti biskut dan lain-lain sampai rumah saya pula penuh dengan barang makan. Ada yang saya tengok, menderma barang-barang mereka itu nilainya lebih mahal dari upah yang saya kenakan. Allahu... Tidak kurang juga yang sanggup bayar lebih dari yang saya caj. Ada seorang hamba Allah tu, bayar saya sehingga RM110 kerana saya membelikan 53 jenis barang keperluannya. Dia suruh ambil sahaja baki yang dimasukkannya ke akaun saya, tak perlu pulangkan. Lihatlah, betapa benarnya kata-kata, ‘kalau kita mudahkan urusan orang, Allah permudahkan urusan kita. Sungguh, rezeki itu tidak pernah salah alamat.



Ada tak perasaan gusar kerap keluar dan bagaimana SOP anda selama keluar membeli barang?

Gusar itu pastinya ada. Saya memang menyiapkan sesempurnanya diri saya sebelum mula bergerak. Saya sentiasa menggunakan hand sanitizer, memakai topeng muka dan sarung tangan yang dipakai buang dengan cara yang betul. Saya juga menggunakan perisai plastik di muka sebagai penjagaan ekstra. Memang panas dan berpeluh-peluh, tangan mengecut sebaik sarung ditanggalkan. Bagaimanalah keadaan para kakitangan perubatan kita yang lagi berlapis-lapis uniform mereka? Terus insaf.



Kredit Foto: FB Reza Hamid



Selama kerap keluar masuk pasar raya sekarang ini, bagaimana anda melihat sikap rakyat Malaysia dalam membeli barang?

Sekarang nampaknya situasi agak tenang berbanding pada awal pengumuman PKP tempoh hari. Tiada lagi panic buying dan mereka lebih beretika dalam membeli barang keperluan. Tiada yang berebut-rebut dan mematuhi langkah keselamatan yang disarankan. Cuma, masa menjadi sedikit panjang kerana perlu beratur dengan jarak yang jauh tetapi tidak sampai berjam-jam. Masih okey. Lagi satu yang membuka mata saya ialah sikap pemurah rakyat Malaysia yang selalu kita war-warkan. Memang benar. Banyak yang saya tengok membeli untuk disedekahkan ke rumah anak-anak yatim, badan kebajikan dan golongan asnaf.



Apa perasaannya apabila melakukan pekerjaan ini sambil dapat membantu orang?

Perasaannya tidak sama seperti melakukan pekerjaan lama. Paling seronok melihat bagaimana pelanggan menyambut kita dengan senyuman dan muka tidak sabar menerima kiriman mereka. Ya, walaupun mereka tahu mereka sudah bayar saya, namun ucapan terima kasih mereka itu seperti saya melakukan pertolongan yang sangat besar untuk mereka. Bayangkan, mereka dapat sesuatu yang sangat mereka mahukan, tentulah gembira tidak terkata!




Kredit Foto: FB Reza Hamid



Pesanan anda kepada rakyat Malaysia di kala ini?

Tolong bantu diri kita dan kerajaan untuk memerangi wabak ini dengan duduk di rumah. Kurangkan pergerakan keluar jika tidak perlu dan sebaiknya gunakan sahaja khidmat runner bagi meminimumkan kehadiran orang di luar dan keadaan sesak di pasar raya. Bukankah bagus, hanya seorang yang keluar mewakili lima ke enam keluarga sekaligus?



Kredit Foto: FB Reza Hamid