Hampir kebanyakan daripada kita sekarang menggunakan telefon pintar yang banyak memudahkan urusan seharian. Daripada perbankan mudah alih, aplikasi telekomunikasi, muat turun dan capaian aplikasi lain, emel dan sebagainya semuanya boleh dilakukan dihujung jari. Itulah antara kemudahan telefon pintar. Dan pastinya untuk mengakses semua itu memerlukan kata laluan yang kita cipta sendiri.

Kredit Foto: Google

Berbicara mengenai kata laluan, penulis yakin setiap pasangan suami isteri pasti punya pendekatan tersendiri dalam menyimpan sesuatu yang bersifat peribadi. Tidak kurang juga ada yang berpandangan, apabila berkahwin tiada apa yang perlu disembunyikan. Pendek kata tiada istilah rahsia, private and confidential (P and C) antara suami dan isteri. Segala perihal suami, isteri ketahui. Siapa rakan baik suami untuk dihubungi kalau berlaku kecemasan, apa kata laluan Maybank2u suami, emel dan lain-lain semua ditulis dan disimpan untuk rujukan isteri. Ya, mungkin itu yang dilakukan oleh sebilangan suami isteri.

Kredit Foto: Google

Atas Dasar Kecemasan
Ada yang berpendapat tiada sebab mahu menyembunyikan kata laluan telefon bimbit terutamanya daripada pengetahuan pasangan. Hal ini kerana jika berlaku apa-apa kecemasan, telefon bimbit antara peranti penting yang diguna pakai untuk menghubungi sesiapa yang berkenaan. Maka dengan itu, pasangan perlu tahu kata laluan masing-masing.

Begitu juga perihalnya dengan akses perbankan internet, KWSP, Tabung Haji, akaun unit amanah, emel dan lain-lain yang mempunyai kata laluan. Ada keperluan untuk pasangan mengetahui semua kata laluan ini. Misalnya jika berlaku kematian, pasangan boleh rujuk untuk tindakan susulan. Segala hutang piutang umpamanya boleh diselenggara dan bagi memudahkan sebarang urusan dilakukan.

Kredit Foto: Google

Tapi Bila Dah Tahu ‘Password’ Lain Pula Jadinya
Mungkin terdapat segelintir daripada kita yang curi-curi periksa telefon bimbit pasangan. Mungkin dengan sekadar meneka kata laluan, secara kebetulan ia boleh diakses. Dan usai itu berjaya dibolosi, maka terbongkarlah segala yang tersimpan rapi selama ini. Ada yang ‘kantoi’ curang dengan pasangan, ada yang rupanya jadi mangsa sindiket peminjam wang ‘Along’, ada yang simpan koleksi foto juga video lucah dan bermacam lagi. Yang semuanya bermula daripada kata laluan telefon bimbit. Hinggakan ada yang berkata lebih baik tak perlu tahu password pasangan daripada mengusutkan kepala memikirkan pelbagai perkara. Mahu fikiran lebih tenang tanpa perlu menambah masalah sedia ada. Ya, mungkin itu pandangan sebilangan daripada kita.

Ketelusan Dan Bersikap Terbuka
Tetapi terpulang kepada setiap pasangan sama ada mahu atau tidak berkongsi kata laluan. Mungkin ada yang berpendapat ia terlalu peribadi untuk dikongsi. Masih ada batas privasi yang perlu dihormati dan difahami selain punya alasan tersendiri mengapa kata laluan tak perlu dikongsi. Waima apa sekalipun, ia berbalik kepada sejauh mana keterbukaan pasangan dalam soal ini. Adakah pasangan telus, jujur dan okey untuk mengetahui atau tidak kata laluan masing-masing. Kerana setiap perlakuan dan keputusan itu ada pro dan kontranya. Kalian sendiri lebih matang dalam membuat penilaian.