Personaliti

“Lagi Berat Ujian, Lagi Besar Rahmat Allah Nak Beri Dalam Hidup Kita. Bersangka Baik Dengan Allah.” Ustaz Ebit Lew

gempak
Huda Hussain
22/03/2021
09:00 MYT
Sponsor Banner
“Lagi Berat Ujian, Lagi Besar Rahmat Allah Nak Beri Dalam Hidup Kita. Bersangka Baik Dengan Allah.” Ustaz Ebit Lew
Sebutlah apa jua musibah yang dilalui masyarakat pasti disantuninya. Bantuan dan sumbangan tetap dihulur walau cepat atau lewat ketibaannya di satu-satu lokasi. Itulah sifat semula jadi Ustaz Ebit Lew. Ujian tanda Allah sayang sering kali meniti dibibirnya sebagai tanda peringatan kepada sesiapa jua yang menimpa musibah atau diduga dengan pelbagai ujian.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Mangsa Rumah Terbakar, Pengkalan Chepa, Kelantan Berita mengenai seorang OKU yang diuji dengan kebakaran rumah pusaka milik keluarganya turut mendapat perhatian team Jejak Ebit Lew. Tujuh jam perjalanan dari Kuala Lumpur, akhirnya seluruh team selamat tiba bagi menyempurnakan misi. Kejadian yang berlaku pada malam itu telah memusnahkan rumah pusaka keluarga yang memiliki seorang anak OKU. Dia yang sudah terbiasa dengan struktur rumah selain menghafal selok-belok jalan di dalam rumah tersebut terpaksa akur dengan ujian ini. Punya masalah penglihatan (buta kedua-dua belah mata), saat Ustaz Ebit Lew tiba dia hanya mampu memegang susuk tubuh Ustaz Ebit Lew. Dan usai berkenalan seraya menceritakan detik kejadian, jarinya menggenggam erat tangan Ustaz Ebit Lew sekali gus menjentik emosi figura ini. Sayu hatinya dengan reaksi spontan Mohd Yazid Mohd Nor. Melihat sisa motosikal roda tiga yang terbakar menambah lagi kesayuan sementelah itulah kenderaan yang ditunggang Mohd Yazid untuk mencari rezeki.
Kredit Foto: Astro Prima
Menurut Ustaz Ebit Lew lagi, Timbalan Menteri Agama akan membantu membina rumah baru bagi membantu keluarga Yazid. Team Ustaz Ebit Lew segera ke kedai motosikal berhampiran membelikan motosikal baharu buat keluarga ini. Terharu dengan bantuan tersebut, berkali-kali dia menyatakan mahu kumpul duit untuk membeli motosikal baharu. Dan tidak menyangka sama sekali akan menerima sumbangan yang amat bermakna baginya.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Pembelajaran Adik Alya, Tumpat, Kelantan Dari Kampung Pangkalan Nangka, team Jejak Ebit Lew bergerak ke Kampung Banggol Petan, Wakaf Bharu, Tumpat pula. Setibanya di rumah keluarga ini, tangisan gembira berbaur syukur menyambut kedatangan team Jejak Ebit Lew. “Doa saya Tuhan kabul dapat berjumpa Ustaz. Saya tengok gambar Ustaz saya doa” ujar Nurha Mohd Nor ibu Nurul Asma Alya Mohamed Zainal Abidin, pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana masalah kewangan dan kesempitan hidup. Menurut ibunya, Alya seorang anak yang pendiam bahkan tidak pernah sekali berkongsi cerita bersama kawan-kawannya mengenai penderitaan yang dialami. “Kalau makcik tanya, adik ada duit tak? Ada dia jawab. Selalu macam itu. Dia tak pernah susahkan makcik” hurainya lanjut. Bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah, kini dia tidak lagi bekerja susulan tempoh PKP. Bahkan dia tidak pernah menceritakan perihal kesempitan hidupnya dengan orang kampung. “Selalu orang tanya, saya hanya berkata bersyukur saja,” sambung wanita cekal ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Untuk keluarga ini, Ustaz Ebit Lew bermurah hati menghadiahkan laptop dan barang keperluan lain seperti makanan, barang-barang dapur, sedikit wang dan apa sahaja yang menggembirakan mereka team Jejak Ebit Lew cuba berikan.
Pesan Ustaz Ebit Lew “Mungkin kadang-kadang kakak sedih, menangis dengan ujian hidup. Berpisah dengan suami dan besarkan anak-anak seorang diri. Tapi sebenarnya lagi berat ujian, lagi besar rahmat Allah nak beri dalam hidup kita. Tapi apa yang kita lalui susah sekarang, satu hari nanti Allah akan beri sesuatu yang lebih baik. Yang penting kita bersangka baik dengan Allah. Walaupun kadang-kadang kita merungut sebab kita manusia kan? Bahagia itu bukan kerana rumah kita atau apa yang ada sekeliling kita. Tapi bahagia itu ada dalam hati. Belajar rajin-rajin, jadi orang baik. Niatkan apa yang kita buat ini satu untuk bahagiakan mak ayah kita, satu lagi kita nak bahagiakan ramai manusia dalam dunia.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Golongan Asnaf, Pasir Mas, Kelantan Sebelum tiba di Kg Binjal Pulau Kubang Terap di Pasir Mas bagi membantu sebuah keluarga asnaf, team Jejak Ebit Lew singgah membeli alat permainan dan barangan untuk menggembirakan anak-anak kecil keluarga ini. Syahdu rasanya apabila mendengar anak sulung keluarga ini, Nurul Farisha Mohd Ridzuan, 12 tahun membantu memasak menggunakan dapur kayu selain menjaga adik-adiknya yang lain. Dan tiba di rumah keluarga ini, anak-anak kecil gembira dan teruja melihat sebegitu banyak permainan yang dibawa team Jejak Ebit Lew. Ujar Ustaz Ebit Lew, “Walaupun sekejap saja mainan ini tapi kadang-kadang membahagiakan mereka. Kita tengok jelling-jeling saja. Tapi siapa lebih bahagia? Saya lebih bahagia. Saya seronok tengok anak-anak itu semua,” terang Ustaz bersungguh.
Kredit Foto: Astro Prima
Untuk anak-anak ini, sebahagiannya dimasukkan ke Maahad Tahfiz Manzil Furqan manakala tiga adik-adik Farisha tinggal bersama ibu saudara mereka. Sementelah sudah lama tidak bersekolah kerana membantu menjaga kebajikan adik-adik, dengan izin Allah mereka dapat tinggal di asrama yang jauh lebih selesa selain dapat menuntut ilmu yang sudah lama ditinggalkan dek kerana kesempitan hidup. Ustaz Ebit Lew bermurah hati membeli barang keperluan sekolah seperti pakaian, beg dan sebagainya untuk Faris dan Farisha.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew Kita fikir tawan hati anak-anak. Gembirakan mereka, mudah-mudahan Allah sayangkan kita. Mudah-mudahan kedua-dua adik Faris dan Farisha berjaya, boleh bahagiakan emak ayah, didik adik-adik, jadi orang yang hebat, kaya raya, boleh bantu ramai manusia di dunia ini. Saya doakan mereka terus berjaya. Walaupun apa yang terjadi, jadikan kekuatan untuk hidup kita.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024