Apabila seorang wanita muda itu melalui fasa penceraian, pasti ramai yang akan kata, “Tak lama lagi kawin lainlah...” Selalu orang menjangkakan wanita yang masih muda pasti akan cari pengganti suaminya kerana berasakan tidak mudah untuk seorang wanita hidup sendiri tanpa suami di sisi.


Ironinya, zaman kini ramai wanita yakni ibu tunggal, selepas ditinggalkan suami tidak terburu-buru mencari suami baru. Ada yang lebih selesa membesarkan anak-anak sendiri tanpa mengharapkan mana-mana lelaki. Banyak faktor yang menyebabkan kenapa wanita ingin terus sendiri dan memegang status ‘janda’.



Kesakitan Lama Jadi Pengajaran Berharga


Rata-rata yang melalui fasa penceraian pastinya meninggalkan pengalaman menyakitkan. Jarang pula kita dengar, orang yang berecerai meninggalkan rasa bahagia dan suka. Memang ada sesetengah wanita berasa serik untuk kahwin lagi kerana pengalaman dengan suami dulu yang memberi kesan ‘trauma’ dan negatif.


Bukan menyalahkan semua lelaki tetapi mungkin bukan rezeki untuk seseorang wanita itu ditemukan dengan jodoh yang baik dan seperti yang diimpikan. Jika ada lelaki yang mahu mengisi kekosongan hati, ada pula compang-camping di sana sini. Ya, benar. Tidak semua lelaki itu sempurna, namun yang sedikit calar itulah yang menggagalkan semua kriteria.


Ada lelaki hanya datang sekadar mahu mengisi masa lapang, tidak serius dan memandang janda sebagai teman berhibur semata. Jangan berperasaan jahil seperti itu kerana wanita tetap namanya wanita. Punya maruah dan harga diri yang tinggi. Dan kerana sikap segelintir mata keranjang inilah yang menyebabkan para janda lebih berhati-hati.
Kredit Foto: Google



Ujian Menjanda Besar


Ia bukan seperti dalam drama tv semata-mata. Memang hakikatnya, melalui kehidupan sebagai janda ini banyak dugaannya yang datang tak bertepi. Bukan setakat dugaan ekonomi dan sara hidup, di mana ibu tunggal harus ‘struggle’ untuk menjana pendapatan tanpa bantuan suami, apa lagi yang punya anak berderet.


Kemudian, ditambah dengan pandangan serong segelintir masyarakat yang menganggap itu dan ini, melabel mereka ikut sedap mulut. Walau dizahirkan dengan sebaik-baik imej dan tingkah laku tetap ada yang tidak kena di mata sesetengah orang. Justeru, mereka ini lebih suka menjauhi masyarakat dan buat hal sendiri.


Apa pun, ibu tunggal atau janda, kalian wanita hebat yang mampu berdepan ombak dan badai. Tuhan tidak menguji hamba-Nya di luar kemampuannya untuk menggalas. Maka, janganlah bersedih kerana di sebalik ujian itu ada rahmat dan rezeki lain yang Tuhan sedang sediakan untuk kalian. Usah peduli apa orang nak kata. Manusia tetap namanya manusia.



Dulukan Kepentingan Anak Dari Kebahagian Sendiri


Begitu antara jawapan yang selalu diberikan oleh kebanyakan ibu tunggal jika ditanya, “Tidak mahukah menamatkan zaman solo?” Ada betulnya. Anak-anak harus diberi keutamaan dan difikirkan sebelum sebarang keputusan dibuat terutamanya berkaitan suami baru.


Bukan mudah untuk membawa lelaki baru yang tidak dikenali ke dalam keluarga kita yang sudah sedia ada. Dengan anak-anak yang sedang membesar dan pastinya punya seribu satu persoalan di hati. Tambah kritikal, kalau suami baru turut punya anak sendiri dengan perkahwinan lama, pasti sukar untuk diseimbangkan.


Namun, tidak semua begitu. Ada juga perkahwinan baru yang berjaya dan harmoni. Ia bergantung pada bagaimana kedua-dua pihak menguruskan kedua-dua belah keluarga. Nampak rumit tapi jika berjaya dikendali, pasti membuahkan kebahagiaan yang tak terucap. Apa pun, seorang ibu pasti mendulukan anak-anak, kemudian barulah tentang masa depannya. Mintalah petunjuk daripada Allah yang satu.




Kredit Foto: Google