Highlights
Maid Erra Bagi RM1000 Belikan Beg MCM Hadiah Birthday – “Erra Layan Kak Muti Macam Keluarga.”
Erra Fazira menyambut hari jadinya pada 9 Febuari yang lalu. Sebagai selebriti tersohor, pasti banyak bingkisan hadiah yang diterimanya sempena ulang tahunnya itu. Namun, antara banyak-banyak kejutan yang diterima, ada satu yang sangat istimewa untuknya tahun ini – hadiah backpack MCM yang daripada Kak Muti!
Biar betul, pembantu rumah bagi hadiah mahal kepada majikannya? Itulah seperti yang diceritakan pembantu peribadi Erra sendiri, Sharendra Razak kepada penulis. “Memang betul, tempoh hari Kak Muti panggil saya ke dapur dan tanya mahu bagi apa kepada maam? Katanya, semua maam sudah ada,” Cerita Endera memulakan perbualan.
Teringat beberapa hari lalu, Erra ada bergurau yang dia berhajatkan backpack MCM. Dan, mendengarkan perkara itu, Endera ada bercadang untuk membelikan Erra beg tersebut. Kak Muti terus menghulurkan wang 1000 ringgit kepada Endera meminta Endera tambah lagi untuk dibuat hadiah kepada majikannya itu.
Kak Muti Simpan Duit Sikit-Sikit
Walaupun Kak Muti bukanlah berduit tetapi setiap kali Erra berikan duit tepi (Erra jenis suka bagi duit ekstra kalau minta belikan apa-apa, kemudian baki tidak mahu diambil), dengan duit itulah Kak Muti simpan sikit demi sikit dan pada hari jadi Erra kali ini, dia mahu wang itu digunakan untuk hadiah Erra.
“Disebabkan Kak Muti dah berhajat, Endera pun ambil wang itu dan Endera tambah untuk cukupkan membeli hadiah tersebut. Waktu buka hadiah tu, memang Erra sangat terkejut. Dia tak sangka kami belikan hadiah semahal itu walaupun dia ada sebut tentang beg itu. Kak Muti sampai menangis ketika memberikannya. Kak Muti memang hati tisu. Hahaha..” Tambah Endera lagi.
Erra Majikan Yang Sangat Baik
Kak Muti sudah bekerja dengan Erra sejak Erra mengandungkan Aleesya lagi. Sehingga kini masih setia. “Saya sendiri sebagai pekerja Erra memang akui yang Erra seorang majikan yang sangat baik. Dia melayan kami seperti keluarga sendiri, suka dukanya sentiasa dikongsi dengan kami membuatkan kami rasa penting dan dihargai,” Ujar Endera.
Kak Muti berasal dari Semarang, Indonesia dan kini berusia 48 tahun. Sedihnya, pada 19 Febuari ini, Kak Muti terpaksa pulang ke kampung halamannya untuk menjenguk ibunya yang sakit. Dalam keadaan pandemik ini, tidak tahulah boleh atau tidak Kak Muti kembali semula?
“Apa pun, kami doakan yang terbaik untuk Kak Muti. Kak Muti memang pembantu rumah yang sangat baik yang kami anggap seperti kakak sendiri. Dia menjaga Erra sesempurnannya. Kalau boleh dia tak mahu buat salah kerana dia tahu kalau salah, pasti ditegur maam nanti. Tapi, tidak sekali Kak Muti terasa hati kalau ditegur Erra.”
“Sempena hari jadi Erra ini juga, Endera nak ucapkan Happy Birthday, semoga dikurniakan keimanan, ketawaan yang tinggi, panjang umur, dianugerahkan pasangan berkekalan kelak. Tetaplah menjadi Erra Fazira yang kami kenali, yang baik hati budi, merendah diri dan sentiasa menghargai orang di sekeliling. We love you, maam!” Ucap Endera sebak.
Must-Watch Video