Menjadi kelaziman setiap insan memasang impian, menanam azam apabila memasuki tahun baru. Lebih-lebih lagi tahun baru dalam kalendar Islam. Pastinya ia lebih bermakna. Sinonim dengan penghijrahan yakni perubahan ke arah yang lebih baik, maka asbab itulah yang memungkinkan barisan selebriti ini memilih untuk tampil dengan imej berhijab. Sama ada bertudung litup sepenuhnya atau tidak, bagi penulis langkah dan nawaitu pertama inilah yang akan menjadi titik tolak ke peringkat seterusnya.

A post shared by Betty Rahmad (@bettyrahmad)

Kredit Foto: IG Betty Rahmad

Benar, yang dituntut itu seperti yang terkandung dalam Surah An Nur, ayat 31 yang bermaksud: "Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka”. Perihal yang sama Allah berfirman dan termaktub dalam Al Quran menerusi Surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud: “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya (tudung kepala yang labuh menutupi dada) ke tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal dan tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”

Tetapi biarlah ia dilakukan seiring dengan kefahaman dan ilmu. Beri masa dan ruang buat saudara seagama kita untuk memahami konteks menutup aurat yang sebenar. Mungkin hari ini tudungnya sedikit singkat. Siapa tahu saat mereka atau si dia mula mendalami tuntutan agama, satu persatu dilabuhkan dan ditutup.

A post shared by Izara Aishah Adib (@izaraaishahofficial)

Kredit Foto: IG Izara Aishah

Mula dengan menutup kepala, kemudian disusuli dengan pakaian longgar lagi labuh. Lalu diikuti dengan pemakaian stoking, tudung menutup dada, hand socks dan lain-lain. Ya, biarlah berperingkat-peringkat. Perlahan-lahan sesuai dengan kefahaman. Kerana perubahan dan penghijrahan itu perlu dilalui dengan proses yang normal. Sedikit demi sedikit.

Hijrah Itu Pengorbanan
Tidak dinafikan dalam usaha menuju ke arah itu, pelbagai perkara harus dikorbankan. Nafsu untuk bercantik-cantik di mata umum perlu ditundukkan demi mencari reda Allah. Percaya dan yakinlah, saat kita memahami apa yang Dia mahukan pasti perjalanan dan langkah itu takkan terasa berat atau dibebani dengan soal lain. Saat terdetik nawaitu dalam hati untuk berhijrah ke jalan yang lebih baik, pasti Dia susun aturkan yang terbaik buat kita.

A post shared by ELIZAD SHARIFUDDIN (@elizadsharifuddin)

Kredit Foto: IG Elizad Sharifuddin

Hijrah itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Lebih-lebih lagi dalam dunia glamor selebriti. Dilimpahi kemasyhuran, pujian dan sanjungan. Yang mungkin ada kalanya secara tidak sengaja menerbitkan rasa ujub dan riak. Lalu hanyut dan alpa dibuai dek semua yang hakikatnya bersifat sementara. Apabila ramai mata memandang, keyboard warrior dan netizen seakan sepantas kilat mahu mengambil kerja tuhan untuk menjatuh hukum. Dan bermulalah ujian satu per satu. Hanya yang benar-benar kuat imannya akan terus mencari dan menyesali kekhilafan diri seraya berubah ke jalan yang diredai.

Mungkin ada dalam kalangan mereka yang berpendirian soal hijrah dan hijab ini terlalu privasi untuk dikongsi. Tak mahu dicanang sana sini kerana masih banyak perlu diperbaiki. Juga kerana ia soal pegangan, jati diri dan hubungan antar hamba dengan Pencipta yang benar-benar ikhlas mahu meraih cinta-Nya. Maka untuk itu, ada keperluan untuk kita sebagai saudara seagama memahami cara dan pendekatan mereka. Raikan perubahan dan penghijrahan mereka dengan rampaian doa. Moga kita juga bisa memulakan langkah seperti mereka.

A post shared by Vicha_Barbie (Besar&Chubby) (@vicha_barbie)

Kredit Foto: IG Vicha_Barbie

Hidayah Perlu Dicari
Ada yang berpandangan belum sampai seru untuk menutup kepala, berhijab dan segala. Tetapi hakikatnya jika kita sedar dengan apa yang berlaku di akhir zaman ini, seharusnya kita manfaatkan masa yang masih berpihak kepada kita.

Sungguh hidayah itu anugerah terindah daripada Sang Pencipta buat hamba-Nya yang benar-benar mahu memiliki dan meraihnya. Lantaran itu, ia perlu dicari dengan pelbagai cara. Dan dalam proses menuju` ke arah itu, pasti hati akan jatuh cinta dengan keindahan yang selama ini disyariatkan agama.

Mungkin bertitik tolak daripada terdetiknya hati memikirkan kematian ada yang berfikiran sama seperti mereka. Kerana pastinya kita mahukan pengakhiran hidup yang lebih baik sebelum menutup mata buat selamanya. Sudah tentu husnul khotimah yang didambakan semua. Justeru, selagi dipinjamkan nyawa yang kian rapuh dek wabak ini, cubalah penuhi tuntutan agama sebagai panduan dan peringatan kita bersama.

A post shared by WAN SYAHERA PUTRI APRENA (@mrsaprenamanrose)

Kredit Foto: IG Aprenamanrose

Dan buat barisan selebriti ini, hanya sekalung doa mampu dititipkan agar mereka kekal istiqamah dan terus dibimbing untuk mencari keredaan Allah dipermudahkan. Dan doa yang baik-baik juga buat kita semua agar dilimpahi rahmat, kasih sayang dan sentiasa dalam keberkatan-Nya.