gaya hidup
Masa Baru Kahwin, Makan Bersila Depan TV Pun Dah Happy Tapi Kenapa Bila Dah Kaya, Jadi Tak Bahagia?
Asam garam rumah tangga itu pelbagai rencahnya. Tiada satu pun rumah tangga itu mampu dijalani secara lurus tanpa ada liku dan bengkoknya. Seteguh mana pun mahligai itu, tipulah kalau tidak pernah disinggah badai, diuji getir dan sebagainya. Orang kata, lima tahun pertama perkahwinan, ujian datang mendadak.
Lima seterusnya, semakin kukuh dan membenih bahagia. Nah, lima tahun ke depan lagi mula diuji lagi. Dan kali ini ujiannya berbeza dan bukan biasa-biasa. Seiring dengan penambahan usia dan pengalaman, pasti perjalanan juga jadi semakin jauh dan penuh onak ranjau. Maka, kita akan lihat ramai yang bercerai-berai pada usia ini; 10 tahun ke atas!
Kredit Foto: Google
Masuk ke rumah sewa; kosong. Lalu, berbekalkan duit yang tak banyak mana, suami dan isteri kumpul sikit demi sikit perkakas rumah. Daripada televisyen 21 inci ke peti ais, kemudian sofa comel, mesin basuh dan sebagainya. Makan pun apa yang ada sahaja. Maklumlah duit dah banyak habis buat kenduri kahwin.
Kereta pun pakai sebuah saja, itu pun Myvi yang masih berhutang lima tahun. Pergi dan balik kerja bersama-sama. Kongsi duit sama-sama bayar sewa rumah, bil api, air, data internet dan sebagainya. Waktu itu kehidupan harmoni, tiada siapa pun datang menganggu. Masalah duit diselesaikan bersama.
Tidak lama selepas itu dikurniakan anak. Selepas seorang, jadi sepasang. Ada rezeki lagi membiak ke tiga atau empat orang. Dan, selepas itu bos bagi naik gaji, isteri pula dinaikkan pangkat. Nah, duit mula datang mencurah. Rezeki anak, orang kata. Maka, taraf hidup turut berubah. Anak pun dah bertambah, rumah dan kereta mestilah bertukar.
Kredit Foto: Google
Hilang Ujian Duit, Datang Ujian Lain
Sesungguhnya, Tuhan tidak akan berhenti menguji hamba Nya untuk melihat sejauh mana keimanan dan kesabaran seseorang dalam mendepani cabaran hidup. Namun, janganlah salah sangka, ujian yang diwujudkan itu bukan tanda Tuhan tidak sayang, tetapi ada rahmat dan ganjaran yang ingin diberikan untukmu selepas itu.
Selepas diangkat ujian daripada segi kewangan, didatangkan pula dengan ujian lain. Ada antaranya ujian berkaitan anak, orang ke tiga, keluarga ipar, kesetiaan, kecurangan, fitnah dan sebagainya. Walaupun pada waktu ekonomi sudah stabil, malah rezeki melimpah-ruah, namun kebahagian kian hilang.
Di manakah silapnya? Adakah benar duit tidak mampu membeli kebahagian dalam rumah tangga? Jadi, apa yang pentingnya dalam sebuah perkahwinan itu? Duhai suami dan isteri, duit bukanlah tidak penting namun ia tidak boleh dijadikan ‘tuan’ kepada kita. Jika ini berlaku, kita akan terus dijajah dan hidup tak keruan.
Jika diberi rezeki duit dan harta yang berlebihan, bersyukurlah dan gunakan ke jalan yang baik. Jangan rasa selamat selepas itu. Haruslah ada sikap hati-hati dan sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan. Walau duit bukan lagi masalah, namun jangan dipandang mudah hati pasangan. Jangan jadikan duit pengganti diri.
Teruslah menjadi suami dan isteri yang sama seperti mula-mula berkahwin dulu. Ya, mungkin kamu boleh ubah rumah dan keretamu, namun sikap kamu janganlah dijajah oleh kemewahan itu. Pasangan menyukai kamu kerana apa adanya dirimu ketika awal perkenalan dulu. Dan, ingat dalam kemewahan yang diperolehi, jangan mudah membenarkan ‘parasit’ atau ‘virus’ hinggap dalam rumah tangga. Selebihnya, serahkan kepada Allah yang satu.
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video