Semua itu dianggap perkara biasa dan tidak mendatangkan sebarang ‘kuman’, apa lagi mahu bermasam muka selepas itu. Budaya berjiran dahulu kala terutama di kampung umpama bersaudara. Walaupun rumah dulu-dulu terletak jauh antara satu sama lain, tapi setiap orang di situ saling mengenali.
Malangnya kini, harus diakui budaya hidup berjiran sudah semakin pupus dan bagaikan tiada erti lagi makna jiran di kala ini. Jiran hanya membawa maksud orang awam yang duduk berhampiran rumah kita saja. Tidak lebih dari itu, apa lagi memainkan peranan penting dalam hidup kita seharian.
Sedangkan, kalau difikir-fikirkan jiranlah individu penting kerana berada berdekatan kita. Apa-apa terjadi, pasti jiran yang boleh kita cari dulu. Apatah lagi, jika kakum keluarga kita duduknya jauh. Kawan-kawan juga bersepah di ceruk lain. Kalau apa-apa pasti makan masa untuk membantu.

Kredit Foto: Google
Banyak Kes Gejala Sosial, Keganasan Rumah Tangga Berlaku Kerana Jiran Kurang Prihatin
Bukan hanya di Malaysia, malah di mana-mana negara pun, kebanyakan kes dan isu besar yang berlaku dalam sesebuah keluarga seperti dera, bunuh diri dan sebagainya berlaku kerana kurangnya sikap prihatin jiran tetangga. Entah kenapa kabanyak kita menganggap mengambil berat hal jiran umpama ‘busy body’ dan satu dosa besar.
Sedangkan itulah tanggungjawab sesama insan yang agama suka untuk kita lakukan. Ramai yang memberi alasan ‘tidak mahu masuk campur’. ‘Si polan jenis yang tak campur orang’. ‘Takut dimarahi’ dan banyak lagi alasan demi alasan diberi apabila berlaku sesuatu isu berat dalam sesebuah rumah itu.
Yang lebih terkilan lagi, ada jiran yang akan beritahu, “Ya, selalu dengar budak menangis..” atau “Selalu dengar suaminya mengamuk..” Dan, ayat selepas itu. “...Tapi saya ingat biasa je hal rumah tangga orang...” Allahu, sebak dada mendengarnya. Dan, akhirnya berlakulah kematian akibat penderaan ibu kepada anak atau suami terhadap isteri.
Ambil Tahu dan Laporkan
Anda tidak perlu bertindak sendirian. Ada banyak cara untuk anda selesaikan masalah itu tanpa perlu melibatkan diri anda secara langsung. Jika takut untuk bertanya secara terus kepada mangsa, buat laporan kepada pihak tertentu. Jika tidak mahu mengadu kepada Ketua Kampung misalnya, boleh saja terus ke balai membuat laporan polis.
Jika itu pun agak berat untuk anda lakukan, angkat telefon dan hubungi saja Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp kepada polis di talian 019-2615999. Beritahu kemusykilan dan keraguan anda terhadap sesuatu situasi pelik yang berlaku dalam rumah jiran. Mungkin ada sesetengahnya salah anggap tetapi tidak mengapa.
Setidak-tidaknya, anda telah menjalankan tanggungjawab sebagai manusia dan jiran terdekat. Nah, jikalah benar berlaku seperti apa yang anda fikirkan, bagaimana? Pasti anda lega apabila dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Inilah yang kita mahu, mencegah sebelum terjadi bukan sudah terjadi baru mahu ditangisi.

Kredit Foto: Google
Kenapa Budaya Kejiranan Semakin Hambar?
- Kuatnya sikap individualistik atau pentingkan diri sendiri sehingga anda tidak mahu ambil tahu hal orang lain.
- Rasa selesa dengan kehidupan sendiri dan keluarga anda sehingga melupakan orang sekeliling.
- Tidak suka bercampur orang dan bergaul.
- Mementingkan kerjaya dan kebendaan sehingga melupakan sifat kemanusiaan.
- Salah sangka dengan maksud menjaga tepi kain orang dan sentiasa takut dilabelkan sebagai ‘busy body.
- Kurangnya aktviti kejiranan di kawasan tempat tinggal seperti gotong-royong dan sebagainya.
- Sikap tidak ambil berat dan kurang sensitif dengan keadaan sekeliling.
- Anak-anak tidak dididik untuk bercampur dan menghormati jiran tetangga.
- Kurang bertegur sapa dan bertanya khabar, dalam erti kata lain sombong dan terlalu pasif.
- Tidak mahu bertanggungjawab atas apa saja tindakan dan perlakuan orang kelililing.