Highlights

Masih Menanti Zuriat – Pesan Mufti Datuk Zulkifli; “Banyakkan SEDEKAH, Solat, Moga Doa Dimakbulkan.

gempak
Afiza Kamarulzaman
06/02/2020
01:44 MYT
Sponsor Banner
Masih Menanti Zuriat – Pesan Mufti Datuk Zulkifli; “Banyakkan SEDEKAH, Solat, Moga Doa Dimakbulkan.
Episod akhir program Currhat Isnin baru ini benar-benar menyentuh hati ramai pasangan suami dan isteri apabila membincangkan topik Zuriat Syurga. Yang mana mencungkil rahsia hati insan-insan yang berdepan masalah untuk memiliki anak sendiri, sebutir permata yang masih berada di syurga yang belum diberi keizinan Tuhannya untuk turun ke bumi berada di rahim mereka yang masih terus berimpian.
Eksklusif untuk episod terakhir ini, penerbit Currhat menjemput Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai salah seorang pakar jemputan untuk bercakap dari sudut agama. Kita mungkin sudah kerap mendengar perbincangan perihal belum dapat zuriat dari sudut sains dan perubatan, maka menjenguk kepada sisi berbeza, Currhat mahu pasangan merenung seketika dari sudut rohani, agama dan inspirasi diri yang mungkin boleh memberi dorongan jiwa dan kekuatan.
Rentetan daripada episod itu juga, ada pula netizen yang memviralkan persoalan adab tetamu wanita lain kala bersama mufti terhormat itu. Ada netizen yang mengecam kenapa diletakkan wanita tidak menutup aurat di sisi mufti itu? Secara peribadi, penulis tidak nampak di mana isu besarnya di situ, yang sampai menutup mesej-mesej lain yang ingin disampaikan. Apakah para netizen mahu mengatakan sesorang yang tidak menutup aurat dengan sempura tidak layak duduk berhampiran seorang ulamak? Walau pada ketika dia sedang diberi ilmu?
Malah mufti sendiri sepanjang program kelihatan amat tenang dan sentiada memberikan kata-kata semangat buat tetamu di sisinya. Malah, mufti sempat menitipkan doa buat mereka. Bukankah mereka lebih beruntung berbanding kita yang mana dapat duduk dekat dengan mufti sambil diberi keberkatan doa secara terus? Bukan penulis mahu berpihak kepada mana-mana, namun sebagai netizen yang berasakan diri ini sempurna, ayuh tumpulkan sedikit mata penulisan kita di media sosial. Sebaliknya, tajamkan doa kita untuk orang-orang yang kita rasakan perlukan perubahan kepada dirinya.
Nah, sama-sama kita baca perkongsian indah daripada Datuk Dr. Zulkifli. berkenaan doa pasangan yang masih ditangguhkan untuk memiliki zuriat. Ambil yang baik dan jadikan setiap pesanan satu pegangan positif untuk melalui kehidupan ini. Penulis aminkan doa setiap pasangan yang sedang berkeinginan untuk memiliki zuriat sendiri. Insya-Allah, pada satu hari yang Tuhan akan kata ‘kun faya kun’. Amin...
Kredit Foto: Google
Boleh Datuk komen sedikit tentang masyarakat yang suka benar bertanyakan kepada pasangan yang belum dikurniakan anak tentang bila, bila dan bila?
Sebaik-baiknya, jangan ditanya; bila nak dapat anak, berapa orang anak dan sebagainya. Dalam Islam sendiri menegaskan supaya kita tinggalkan sesuatu yang tidak ada kena-mengena dengan kita. Ada dan tidak apa masalahnya?
Bagaimana dengan suami yang memilih untuk berkahwin lain atas alasan isteri tidak mampu melahirkan zuriatnya?
Dalam Islam, sememangnya tidak melarang poligami. Namun, ia tertakhluk pada syarat-syarat yang tidaklah mudah. Bukan sekadar kemampuan batin, tetapi juga dari segi kewangan dan keadilan, mampukah kita menyempurnakannya? Hukum kahwin sendiri ada lima yakni harus, wajib, sunat, makruh dan haram. Dan poligami ini termasuk dalam kategori sunah sahaja. Jadi, sebelum buat keputusan untuk berpoligami, tanyakan dulu kepada diri sendiri kemampuan dari semua segi itu.
Apa pendapat Datuk mengenai rawatan alternatif yang dilakukan pasangan untuk memiliki zuriat?
Islam sendiri menggalakkan umatnya untuk merawat sebarang penyakit. Nabi ada menyebut, “Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.” Tidak salah untuk mencuba rawatan alternatif atau moden asalkan sahaja ia mengikut adab dan etika yang betul yang tidak melanggar hukum agama. Hukumnya haram jika cara perubatan itu mempunyai unsur syirik. Selain menerusi perubatan pakar, sebenarnya kita juga ada kaedah lain dalam Islam yakni dengan doa. Malah, cara lain yang juga sangat bagus ialah dengan bersedekah. Rasulullah sendiri ada menyebut, “Ubatilah di kalangan kalian yang sakit dengan sedekah.” Kisah Al-Hakim juga boleh dijadikan iktibar di mana pada satu masa dia mengalami sakit muka yang teruk. Kemudian membelil sebiji bekas air lalu disedekahkan air itu untuk kegunaan orang-orang miskin. Dengan izin Allah, wajahnya pulih. Inilah mukjizat daripada amalan sedekah kerana Allah.
Kredit Foto: Astro Prima
Orang selalu kata, selagi tak kena kepada diri kita sendiri, kita tidak akan tahu bagaimana rasaya? Kalau Datuk sendiri melalui ujian ini, apa agaknya yang Datuk lakukan?
Saya melihat dalam isu ini ia berkait dengan kefahaman ilmu, isu Tuhan. Allah sebut dalam al Quran, “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan)...” Ia adalah daripada kuasa Allah. Lihat, bagaimana Nabi Ibrahim minta kepada Allah sehingga hanya pada usia baginda sekitar 120 tahun, barulah doanya untuk memiliki zuriat dimakbulkan Allah swt. Bermakna untuk doa kita diperkenankan atau tak itu hak Allah. Seumpama kita minta duit orang, itu hak dia untuk memberi atau tak? Paling penting, kita harus reda dan sabar. Besar hikmahnya sabar itu.
Ada yang cetek ilmunya, mengaitkan isu tiada anak ini dengan perbuatan lampau seseorang itu. Bolehkah kita menghukum sampai begitu Datuk?
Tidak! Kita diberi pilihan dalam kehidupan ini untuk melakukan sesuatu perbuatan. Imam Nawawi sendiri tidak mempunyai anak dan meninggal pada usia masih muda yakni 45 tahun. Namun, menurut ramai orang mengatakan bahawa kitab-kitab yang beliau hasilkan yang menjadi panduan anak-anak muridnya itu jauh lebih baik dan bermanfaat daripada memiliki anak. Itulah aset terbesar beliau. Jadi, bagaimana untuk kita hukum seseorang itu hanya kerana dia tidak berjaya mendapat anak? Sheikh Hanafi seorang yang sangat kaya juga tidak punya anak dan pergi menemui pakar paling handal untuk merawat masalahnya itu. Namun, apabila masih tidak berjaya, beliau berasa amat sedih. Dan kesedihannya itu dilihat oleh seorang kawannya ketika beliau berada di masjid. Selepas Sheikh Hanafi mencerita perihal kesedihannya itu, maka kawannya pun berkata; “Eh, jadi di mana Allah?” Ia membuatkan Sheikh Hanafi tersentak. Bukankah kita punya Allah, lakukan solat dan dengan kuasa Allah mampu merealisasikan semuanya.
Kredit Foto: Astro Prima
Dan, ternyata ia bukanlah balasan Tuhan terhadap dosa-dosa kita, bukan?
Lihatlah sesuatu itu dengan positif. Andainya, kita ada melakukan dosa, maka bertaubatlah, lakukan ibadah dan terus berdoa. Kisah lalu tidak boleh menghukum. Ia bukan ajaran Islam. Allah suka umat-Nya yang bertaubat. Allah akan sentiasa menguji hamba-Nya dari pelbagai sudut. Maka, teruskan bersabar dan Allah akan berikan khabar gembira kepada mereka yang sabar. Pesan saya, istigfar banyak-banyak, taubat, solat, tingkatkan takwa dan banyakkan sedekah.
Apa kesimpulan yang boleh Datuk buat mengenai isu ini?
Perjalanan hidup ini pastinya disulami dengan pelbagai ujian dan ujian itu pelbagai. Ada yang diuji menerusi anak, pasangan, pekerjaan, harta, sakit, jiran-jiran dan sebagainya. Setiap hari saya didatangi orang-orang yang mengadu tentang masalah hidup mereka dan bagi saya satu sahaja, lihatlah masalah itu dari sudut positif. Orang cerdik pandai ada berkata, jika seseorang itu memberi kamu minuman limau yang masam, janganlah marah atau dibuang air itu. Sebaliknya, campurkan sedikit gula dan ia pasti menjadi minuman yang sangat sedap. Kita selalu melihat bahagia dalam kehidupan orang lain dan tidak berusaha untuk membahagiakan diri sendiri. Paling penting, jaga hubungan dengan Allah dan bersama pasangan dan keluarga. Rasulullah pernah kata, “Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.”
Kredit Foto: Astro Prima
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024