Sejak hampir seminggu Pulau Langkawi menerima kehadiran pelancong tempatan, pelbagai versi cerita yang memenuhi media sosial. Bagi industri pelancongan dan perhotelan pastinya peluang ini seakan memberi nafas buat mereka dapat kembali beroperasi setelah hampir dua tahun lumpuh dek penangan PKP.

Begitu juga dengan peniaga kecil dan sederhana, pengusaha rumah inap dan ramai lagi menyambut usaha baik daripada pihak kerajaan ini. Masakan tidak, ini periuk nasi mereka. Dan sebagai tanda sokongan itu, inisiatif kerajaan menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan.

Kredit Foto: Google


Memetik sumber BH Online, Pulau Langkawi di Kedah, yang menjadi projek rintis Gelembung Pelancongan di negara ini, mula menunjukkan kejayaan sejak ia dibuka pada Khamis lalu apabila merekodkan kedatangan 9,500 pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata setakat ini, tiada kes COVID-19 direkodkan dalam kalangan pelancong seperti dimaklumkan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo baru-baru ini.

A post shared by OH MY NETIZEN! (@netizen.ohmy)

Kredit Video: IG Oh My Netizen


Meskipun begitu apa yang mengecewakan adalah apabila melihat rakaman video ini yang menunjukkan sampah hanyut terapung diperairan laut di pulau tersebut. Video yang dirakam seorang pengguna media sosial ketika aktiviti berkayak memaparkan kawasan perairan laut dicemari dengan sampah seperti botol minuman plastik, cebisan dan sisa plastik yang lain. Jika beberapa minggu lalu ramai yang meluahkan rasa marah dan kecewa apabila melihat longgokan sampah berselerakan di kawasan riadah seperti sungai. Dan kali ini laut pula menjadi mangsa dek tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Entah bagaimana lagi mahu ingatkan orang ramai agar lebih peka dan prihatin mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan adalah kerjasama daripada semua pihak. Kalau sampah di tempat awam mungkin ada pekerja yang mengutipnya. Tapi kalau di laut seperti ini?

Sudahlah berseronok di tepian pantai bermandi-manda namun sampah dibuang begitu sahaja. Benarlah firman Allah dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Kawasan peranginan, tempat tumpuan orang ramai bercuti merehatkan fikiran usahlah dikotori dengan sampah sarap sedemikian rupa. Kalau dah jadi macam ni, bagaimana hati nak tenang kan? Fikir-fikirkanlah. Ini adalah tanggungjawab bersama, maka gunakanlah akal yang waras untuk memeliharanya.