gaya hidup
Memang ‘Benda Dah Jadi’ Tapi Ambil Ini Sebagai Peringatan, Panduan. Semua Perlu Main Peranan.
Jujurnya hingga hari ini penulis masih belum cukup kuat mahu tonton video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan insiden menyayant hati itu. Entah mengapa, serasanya tidak sampai hati mahu tonton kerana bimbang akan terus teringat-ingat memandangkan penulis juga punya anak kecil yang masih bersekolah. Walaupun tidak menggunakan perkhidmatan van sekolah tetapi pastinya insiden ini menjadi tumpuan semua.
Benar, walau macam mana kita bersedia dan peka sekalipun andainya Allah takdirkan sesuatu perkara itu terjadi, maka jadilah ia. Sungguhpun begitu, nyatanya apa yang berlaku wajar dijadikan iktibar agar semua lebih peka dan jangan sesekali ambil mudah soal keselamatan anak-anak. Maklum sajalah mereka masih kecil dan sememangnya memerlukan pemantantauan rapi dari orang dewasa.
Kredit Foto: Facebook Public Health Malaysia
Seperti apa yang dikongsikan di laman Facebook Public Health Malaysia, perkara ini bukan sahaja penting untuk ibu bapa tahu, tetapi paling penting adalah kita sebagai ibu bapa perlu beritahu dan pesan pada anak-anak.
Jarak 10 kaki dari kenderaan adalah zon bahaya terutamanya di kawasan titik buta (zon merah)iaitu di hadapan kenderaan dan sisi belakang. Selepas kenderaan berhenti, lihat kiri dan kanan dan terus keluar dari zon bahaya (lihat zon hijau).
Sama juga ketika hendak naik bas/ van. Ingatkan anak anak untuk elak dari mengutip barang yang terjatuh. Apabila mereka tunduk mengutip barang, pemandu tidak akan nampak langsung. Peranan pemandu juga penting. Ingat, ada puluhan nyawa anak anak kecil dibawah tanggungjawab anda.
Selebihnya kita hanya mampu bertawakal kepada-Nya usai segala usaha dan ikhtiar agar berjaga-jaga dilakukan. Perit dan pahit untuk ditempuh khususnya buat keluarga arwah Nur Alisha Safiya Mohd Azlin. Namun itulah takdirnya, moga seluruh keluarga diberi kekuatan untuk menempuhinya. Salam takziah, Al-Fatihah.