Highlights
Memanglah Duit Bukan Segalanya, Tapi Tak Dinafikan Zaman Sekarang Semuanya Perlukan Duit Untuk Teruskan Kehidupan.
Kita sering mendengar pepatah duit bukanlah segala-galanya. Mungkin ia sesuai untuk menggambarkan kedudukan kewangan mereka yang stabil. Ataupun dalam erti kata lain mereka yang sememangnya mampu dan berduit. Tak perlu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang ‘cukup-cukup makan’ ini sahaja perlu berusaha keras demi mencari sesuap nasi. Bahkan ia lebih terasa bagi mereka yang berkeluarga besar. Lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar-bandar besar yakni kos sara hidup yang tinggi.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/intrend/intrend-duit-6.jpg)
Kredit Foto: Google
Rentetan itu, bagi ketua keluarga atau isteri sendiri tidak boleh duduk diam. Umpamanya, otak harus ligat berfikir mencari dan merebut peluang juga ruang yang ada demi menambah sumber pendapatan utama. Walaupun bergaji tetap, tetapi bagi golongan ini ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Apatah lagi yang mempunyai anak-anak bersekolah, pasti lebih mencabar untuk merancang kewangan juga aliran keluar masuk duit saban hari.
Dropship, Ejen, Reviu, 'Personal Shopper' Semua Dicuba
Ledakan ekonomi digital yang memperlihatkan semakin rancak perniagaan berasaskan dalam talian (online), kini ramai dalam kalangan kita yang tidak ketinggalan merebut peluang. Ramai yang sudah bergelar dropship, ejen dan sebagainya untuk mencari pendapatan sampingan. Sama ada dilakukan secara separuh atau sepenuh masa, hasilnya terpulang kepada sejauh mana kerajinan seseorang mengusahakannya.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/intrend/intrend-duit-4.jpg)
Kredit Foto: Google
Pelajari Kemahiran, Ilmu Dan Asah Bakat
Tidak ketinggalan, ada yang meluangkan masa dengan mempelajari ilmu dan teknik untuk memperkasa kemahiran bagi menguasai sesuatu. Antara contoh mudah yang dilakukan adalah menghadiri bengkel masakan, bengkel kecantikan, bengkel kewangan dan lain-lain ke arah menjana pendapatan sampingan. Selepas menguasai ilmu yang diperoleh maka ia terus dimanfaatkan dan cuba berjinak-jinak untuk berniaga. Ada yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti di jalanan. Dan ada juga yang memilih untuk mencuba kaedah berniaga secara online. Tidak kiralah sama ada berasaskan makanan, perkhidmatan, kecantikan dan lain-lain. Pendek kata apa sahaja yang boleh ‘buat duit’ pasti digerakkan. Penat? Mungkin itu soal kedua atau ketiga. Apa yang penting, ada sejumlah wang yang boleh disimpan atau dibawa pulang untuk dikongsi bersama keluarga.![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/intrend/intrend-duit-1_1.jpg)
Kredit Foto: Google
Kuncinya Perlukan Usaha dan Kerajinan
Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Segala apa jua yang diusahakan andai ia berpaksi pada niat dan jalan yang betul pasti akan dipermudahkan-Nya. Walaupun diakui tidak mudah untuk melakukan itu semua, tetapi tuntutan kehidupan masa kini lebih memberi tekanan untuk segelintir daripada kita terus menggunakan apa yang ada. Sama ada bakat, kemahiran, ilmu dan kelebihan jika ia boleh mendatangkan sumber pendapatan, mengapa tidak dilakukan? Soal kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan beban kewangan menuntut kita untuk terus berusaha. Rajin adalah kriteria utama dalam segala perkara.
Selebihnya, dapatkan bantuan nasihat atau kepakaran daripada mereka yang arif dalam sesuatu bidang. Selama mana kita mahu hidup mengharapkan bantuan dan belas ehsan kan? Sama ada muda atau tua, belum terlambat untuk memulakan sesuatu untuk mengubah dan membantu dalam membentuk hala tuju kehidupan kita. Dan kita yang bertanggungjawab mencorak kehidupan kita. Lakukan dengan cara yang halal, betul tanpa menindas atau mengetepikan nilai-nilai moral dan agama kita. Insya-Allah, pasti berkat hasil usaha dan doa kita.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/intrend/intrend-duit-5.jpg)
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video