Oleh: Dr. Faisal Tehrani

Sumber foto: Arkib @intrendmalaysia

TENTU, saat bercinta dan belajar merenih asmara hanya pantun dan puisi cinta bersulam bahasa:

Memetik mawar tangan terluka,

Duri tajam usah diraut;

Tuan tolong rawatkan saya,

Mata nakal cepat terpaut.

Setelah lama menghambur janji, mencicip manis lidah maka ikatan pun diresmi. Demikian kompang berbunyi, nasi hujan panas bertukar senduk, acar dikecap dan daging dimamah. Tetamu pun bertandang. Bunga manggar rebah direbuti anak-anak. Pinggan dan mangkuk diusung pulang. Khemah gesit diturunkan. Rimah dan cebis makanan dikutip. Ketawa dan senyum dirakami terus berkembang.

Kemudian debar pun datang. Debur melebihi persandingan. Cadar putih, maruah yang belum terkoyak, anggota yang belum dielus memanggil seru. Serasa menggosoknya semua berkabut. Malam pun mendakap. Ada yang menghitung dengan asyik. Ada pula mencuba sekian yang menjadi misteri selama ini.

Mungkin ada yang sudah dinasihati oleh teman-teman, apa yang perlu dilakukan pada saat ranjang itu dipanjati. Saling menyerah. Saling semua. Setelah segalanya terselak, tiap satu sudah terbuka dan yang sulit puas disingkap; maka bermulalah dunia sebenar sebuah perkahwinan. Tentu, kau tidak senaif itu. Perkahwinan bukan persetubuhan sahaja.

Pengantin Baharu Pun Lama-lama Kepam Jua

Ada yang mengatakan perkahwinan adalah sebuah penjelajahan. Ada juga mengaku ia adalah sebuah penawanan, bahasa lain untuk penaklukan. Nakal-nakal tertawan itulah yang masuk ke dalam kalbu. Dan menjadi lafaz kasih rindu. Santak menjadi sebuah ikatan perkahwinan. Iya, panau yang tidak terlihat saat bercinta sudah dikesan. Apa nak buat? Iya, selulit yang disembunyikan isteri saat bertukar rindu dahulu, kini sudah ditatap; sungguh apa nak buat. Inilah pasangan kita yang halal oleh seungkap akad dan segoncang jabat tangan yang kukuh.

Setelah hari demi hari pergi, tiba masa bulan madu. Masih banyak manis belum disedut tentunya. Senggol dan gesel selalu. Jelir usah disebut. Pendek dan panjangnya, kecil dan besarnya, persatu terakam dengan satu kata; indah dan sedap belaka. Begitulah minggu-minggu awal perkahwinan

Namun, masa memang iri. Ia berlari pergi. Pengantin sudah tidak bergelar baharu lagi. Malah mesti mengejar waktu yang bergulir. Kita lupakan tentang pak cik dan mak cik yang belum sempat diziarahi walau sudah berjanji. Lupakan juga hutang piutang saat merencana kenduri. Inikan bulan madu.

Ada dua ceritera ingin saya rakam buat tatapan pembaca. Ini ceritera benar milik seorang kenalan. Maafkan aku kerana membocorkan rahsia kalian; demi kebaikan pembaca yang sedang dilamun keasyikan sebuah dunia dalam kayangan.

Sumber foto: Arkib @intrendmalaysia

Bila Suami Muda Beristerikan Isteri Tua

Seorang kenalan saya, yang perempuannya; dia lebih berusia daripada suaminya. Takdir. Ia kan sering terjadi. Jodoh. Ia kan tak harus diingkari. Kala bercinta sungguh muluk-muluk sahaja suaminya. Pantun seumpama, syair tiadalah, tetapi bahasa puisi selalu juga. Ia memilih untuk memanggil suaminya ‘abang’, kadang-kadang ‘sayang’. Kerana menurutnya, walau ia lebih tua; suamikan tetap abang dan isterikan tetap adik menurut kuntum dan dahan pohonnya orang Melayu.

Kata ‘sayang’ memang diungkap jujur dan ikhlas. Setelah cadurnya direnggut dan cadar tercemar, semua sudah tumpah di perbaringan itu tentulah rasa sayang berbangkit dengan sendiri. Mereka pun berbulan madu. Tidak jauh katanya. Dalam negara. Mereka belum ada wang untuk berkelana. Isteri pun pasrah mengekor suami. Demikian, satu malam yang tiada dijangka; suaminya terlajak berpuisi atau mungkin pantunnya kini tidak menjadi. Kata teman saya, kasur menjadi saksi.

Pengakuan Suami, “Saya Kahwini Awak Sebab Kasihankan Awak…”

Kata suaminya, ‘Kita kahwini awak kerana kita kasihan. Usia kan dah berlebih. Kalau kita tidak ambil, awak tidak akan merasa berkahwin.’

Waktu itu, teman saya direntap keluar dari dunia kayangan yang dibina beberapa minggu sebelumnya. Ia rasa bagai dihambat dan diusir keluar dengan penyapu lidi lalu dinista dan dicaci. Ia memilih untuk menelan kata-kata itu.

Memang dia sudah terlebih umurnya. Memang dia tidak berteman sebelum suaminya, maka jika suami tiada mengajak ia berkahwin; serasa-rasa ia tak akan berkahwin sampai bila-bila. Jadi ia memilih untuk diam. Dan tunduk. Ia menangis sahaja dalam hati. Selepas ucapan pedih itu, mereka berusaha untuk mendapatkan anak pertama. Selepas ucapan sedih itu, suami gigih menabur benih.

Betullah, Suami Mudanya Curang Tiga kali Dengan Wanita Muda

Dua puluh lima tahun kemudian, dengan lima orang anak-anak yang sudah belasan usia; teman saya itu masih menelan kata-kata yang sama setiap hari setiap malam dengan penuh nestapa. Bulan madu itu baginya adalah bulan untuk membaca kenyataan. Bulan untuk mengenang penaklukan. Bila ia menceritakan semua ini kepada saya, suaminya sudah tiga kali curang dengan perempuan lebih muda. Ia diam. Kali keempat, ia bersuara; ‘Berilah saya kemerdekaan yang selayaknya saya beroleh.’

Suaminya enggan. Segan kepada anak-anak. Teman saya terpaksa mempertahankan rumah dan tangga. Walau dalam hidup perkahwinan ia tidak diberi peluang memilih hatta parti apa yang patut diundinya.

Isteri akur dan patuh ini adalah jalan Tuhan, pastinya. Pahala. Nanti di syurga biarlah ‘abang’ dengan bidadari, dia memilih untuk mendara sampai tua (sungguh tiada istilah tua di syurga kelak).

Suami yang Ini Pula Pelik, Suka Asah Keris dan Parang Sebelum Bersama

Cerita kedua, milik seorang teman yang lain. Dia mengaku dengan saya, ‘Kakak tidak cantik mana. Kalau ada laki yang juga tidaklah sekacak mana, maka Kakak terima sahaja. Biarlah cocok dan serasi dengan muka Kakak yang juga tidak lawa ini.’

Mereka pun berkahwin. Minggu pertama ia mengenal hobi suaminya, menghimpun keris dan parang, kadang mengasah pedang sebelum bersenggama; senjata tajam itu disimpan di kepala katil. Senjata tajam lain dibiarkan menusuknya kerana itukan kerja rutin seorang isteri. Ibadah, kata suaminya bila ia merengek meminta. ‘Kakak biarkan kerana itu hobinya. Masakan Kakak menegah hobi suami, malah wajarlah Kakak mendorong bukan?’

Sekian banyak pedang dan parang, tersangkut di dinding kamar tidur. Ia mengatakan kepada saya, ‘Kadang Kakak rasa seperti mengahwini seorang Shogun, Kakak mungkin seorang geisha yang melayani sahaja.’

Kami tertawa bila analogi tidak senonoh itu diperi.

Dan hobi Kakak?

‘Mengumpul setem.’ Katanya kemudian tertawa.

Beberapa minggu kemudian, suami mengajaknya berbulan madu. Dalam negara. Di sebuah pulau di utara ibu kota. Nama pulau itu Pangkor. Tahu? Dan mereka pergi bertiga untuk berbulan madu. Bukan, Kakak kenalan saya itu bukannya bunting pelamin dan sudah berbadan dua. Suami membawa sama ibunya. Maka bulan madu itu juga adalah bulan mengenal mertua buat kenalan saya. ‘Tentu, Kakak tidak membantah. Ibu dia ibu Kakak juga kan. Jadi Melayu, kahwini pasangan maka kahwini seisi keluarga.’

Tujuh tahun perkahwinan itu, belum punya anak; serta pertengkaran yang tidak pernah senyap. Kenapa, saya bertanya; apa salah dan padahnya?

Dia menjawab, ‘Faktor orang ketiga?’

‘Curang? Perempuan?’ Soal saya.

‘Perempuan? Tapi mertua. Itulah dia orang ketiga.’

Tetapi kenalan saya itu memilih untuk tidak menjadi gila. Dia memilih untuk ketawa. ‘Tahu siri televisyen Everybody Loves Raymond?’

Saya angguk. ‘Kakak anggap Kakak memeran watak Debra dalam komedi itu. Dengan itu Kakak akan sentiasa waras dan tidak kabur selalu.’

Bulan kahwin memang bulan madu. Ia juga bulan untuk mengenal sesuatu yang akan kita pertahankan seumur hidup kita.

Makanya, ia juga bulan hempedu.

Selamat berkahwin. Selamat menikmati semua. Semua, maksud saya.

Dan selamat mengecap manis; juga pahitnya...